TERBITAN SEPTEMBER 2017
IKLAN

BAHASA GURU

— oleh Ridzuan Kamis —

Bahasa guru nuansanya berkirana
setiap ungkapan bercahaya makna.

Bahasa dilantun lenggoknya mendidik
lafazan amanah santunan mencerdik.

Bahasa kalimat membistari bangsa
menjadi azimat kejayaan luar biasa.

Bahasa disusun membentuk pekerti
molek menyantun pupukan bererti.

Bahasa indah metafora ilmiah
sarat madah berbait falsafah.

Bahasa akal memaknawi ilmu
berstanza dedikasi tiada jemu.

Bahasa jiwa lambang martabat
menjulang watan gemilang hebat.

Bahasa ukhuwah berkalam perpaduan
tersurat dan tersirat perjuangan penyatuan.

Bahasa budi penyambung legasi
fikir merendang di ladang generasi.

Bahasa wangsa terus menyubur
membina nusa melimpah makmur.

Bahasa bitara pengorbanan meluhur
memancar prestij berkat nan masyhur.

Bahasa guru terjemahan kehidupan
kalimah pahala ke syurga keimanan…

RIDZUAN KAMIS
Sanggar Kayangan, Perlis.


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan