TERBITAN SEPTEMBER 2017
IKLAN

Amal Chia Seed Boleh Kurus?


Jika anda beranggapan chia seed dan biji selasih adalah sama, itu adalah satu tanggapan yang salah. Walaupun rupa bentuk kedua-duanya seakan-akan sama tetapi chia seed dikatakan mempunyai khasiat yang jauh lebih baik daripada biji selasih. Ingat, bagi anda yang baru ingin mengamalkan chia seed, anda dinasihatkan agar tidak tersalah beli biji selasih pula ya.

‘SUPER FOOD’

Bijian chia atau lebih dikenali sebagai chia seeds adalah sejenis bijian yang diperoleh dari pokok chia (Salvia hispanica). Bijian ini banyak didapati di Mexico dan Guatemala. Dikatakan puak Mayan dan Aztec telah menganggap bijian ini sebagai makanan yang memberikan kekuatan luar biasa.

Bijian chia dilabel sebagai ‘super food’ kerana nilai nutrisinya yang tinggi. Ia mengandungi mineral dan serat yang tinggi dan sumber lemak omega-3 yang amat bagus. Pengambilan bijian chia secara berterusan dalam jangka waktu yang panjang mampu merendahkan LDL (lipoprotein berketumpatan rendah) dan meningkatkan HDL (lipoprotein berketumpatan tinggi) yang baik untuk kesihatan kardiovaskular (jantung).

EJEN MENGURUSKAN BADAN

Bijian chia juga bersifat ‘mucillaginous’ (menghasilkan lendiran) seperti bendi. Apabila direndam, bijian ini boleh menyerap air sehingga 10 kali ganda dari beratnya dan menghasilkan lendiran likat seperti gelatin. Sebab itulah bijian ini popular untuk dijadikan ‘ejen’ menguruskan badan. Kita akan terasa kenyang lebih cepat dan lebih lama apabila mengambil bijian ini dalam diet seharian.

Dikatakan bahawa bijian chia dapat memperlahankan penghadaman dan memberikan pelepasan glukosa yang perlahan dan seragam untuk tenaga yang berterusan. Namun yang paling utama, ia bukan bahan ajaib yang boleh membuatkan anda kurus!

MAMPU KAWAL NAFSU MAKAN

Bijian chia sebenarnya mempunyai kalori yang agak tinggi (empat kali lebih dari nasi yang diambil pada amaun yang sama). Jika anda berniat untuk kurus, pengambilan bijian chia cuma mengawal nafsu makan kerana anda akan terasa kenyang lebih lama. Pusat rasa kenyang memiliki tempat khusus di otak, yang memberitahu sama ada perut telah penuh atau tidak. Ia mengawal rasa lapar dan kenyang, serta dapat membantu mengatur nafsu makan.

Pengambilan makanan yang sihat dan seimbang serta bersenam adalah jalan utama untuk mendapatkan berat badan yang ideal. Kalori yang diambil juga perlu diambil kira dan diselaraskan dengan pengambilan bijian chia tadi.

Bijian chia adalah makanan yang sihat dan selamat untuk diambil. Cuma, bijian ini adalah makanan, bukan ubat ajaib yang boleh menyelesaikan masalah kesihatan anda dalam sekelip mata!

 


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan