TERBITAN SEPTEMBER 2017
IKLAN

Gunakan Bahasa Yang Persis - Kesilapan Penggunaan Kata Sendi Nama


Sukarkah untuk kita mengenal kata sendi nama? Persoalan ini saya kemukakan kerana kesilapan dalam penggunaan kata sendi nama didapati semakin leluasa. Yang lebih menyedihkan apabila ada segelintir pengguna bahasa tidak dapat mengecam kata sendi nama dan tidak tahu akan cara untuk mengenal kata tersebut. Sekiranya pengguna bahasa memahami kata sendi nama dan rumusnya, pasti kesilapan dalam lisan dan penulisan dapat dielakkan.

Definisi Kata Sendi Nama

Perkataan yang letaknya di hadapan kata nama atau frasa nama.
(kata sendi nama + kata nama/ frasa nama)
Contoh:

Kata sendi namaKata nama/ frasa nama
di asrama
ke pejabat
dari sudut ekonomi
daripada Kementerian Pendidikan
kepada arnab
selain adik-beradik
pada minggu lepas
bagi kegunaan murid-murid
demi kemajuan negara
untuk mangsa Rohingya
 
seperti kilat
bagai
umpama
laksana
 
sejak semalam
semenjak
 
terhadap kakitangannya
tentang isu semasa
akan negara
oleh pihak polis
 
hingga peringkat sarjana
sampai
antara kedua-dua buah negara
dengan jirannya
dalam mesyuarat

Dengan berdasarkan contoh di atas, jelaslah bahawa kata sendi nama dikuti oleh kata nama atau frasa nama. Walau bagaimanapun, pengguna bahasa perlu berhati-hati. Ada beberapa perkataan yang bentuknya seolah-olah kata sendi nama seperti yang terdapat dalam contoh di atas. Perkataan tersebut sebenarnya telah berubah golongan daripada kata sendi nama kepada kata bantu, kata arah, dan kata kerja.

Kesilapan penggunaan kata sendi nama

Yang berikut ialah beberapa contoh kesilapan penggunaan kata sendi nama.


Latihan

Baca dan teliti ayat yang berikut. Pilih ayat yang mengandungi kata sendi nama yang salah.

  1. Muhd. Hasif Hanis beroleh keputusan yang cemerlang di dalam semua mata pelajaran.
  2. Butiran lanjut tentang pertandingan debat ala-Parlimen itu telah dimuatkan di dalam Lampiran A.
  3. Selain itu, pencatat minit juga perlu menguasai aspek bahasa bagi menghasilkan minit mesyuarat yang berkualiti.
  4. Ibu tua itu masih setia menunggu kepulangan anaknya sejak dari pagi tadi.
  5. Selain dalam bidang akademik, semua murid diseru untuk aktif dalam bidang kokurikulum.
  6. Pejuang berani mati itu sanggup berjuang demi untuk menegakkan kedaulatan negaranya.
  7. Tarikh, masa, dan tempat mesyuarat telah ditetapkan seperti berikut:
  8. Borang jawaban perlulah dihantar sebelum atau pada 10 Julai 2017 ke alamat seperti yang berikut:

Penggunaan kata sendi seperti contoh di atas sering ditemukan dalam penulisan dokumen rasmi seperti surat, memo, laporan, minit mesyuarat, kertas kerja, dan sebagainya. Keadaan ini menjadi semakin serius apabila pengguna bahasa sendiri menganggap perkataan tersebut sebagai betul. Anggapan ini sering kali dikaitkan dengan penggunaannya oleh banyak pihak. Oleh sebab itu, apabila perkataan tersebut dikatakan salah, ada pihak yang bertegas untuk mempertahankan penggunaan yang salah itu. Alasannya, penggunaan tersebut sudah menjadi kelaziman dalam kalangan pengguna.

Diharapkan menerusi penerangan di atas pengguna dapat membetulkan kesilapan mereka dengan mematuhi rumus pembinaan kata sendi nama yang telah dinyatakan. Penggunaan kata sendi nama yang berderetan atau penggunaan kata arah atau kata kerja selepas kata sendi nama perlulah dielakkan. Yang perlu diingat ialah kata sendi nama mesti diikuti oleh kata nama atau frasa nama. Jika pengguna memahami prinsip pembinaan kata sendi nama ini, kesilapan yang kerap dilakukan dalam kebanyakan dokumen rasmi dapat diatasi dengan mudahnya.

Akhirnya, “Betulkan yang biasa, biasakan yang betul!”.


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan