TERBITAN SEPTEMBER 2017
IKLAN

Juadah Istimewa Negeri Selatan Tanah Air


JOHOR Darul Takzim sememangnya sebuah negeri yang unik dengan kepelbagaian destinasi bersejarah serta menarik yang boleh dikunjungi selain aneka hidangan warisan yang sudah terbukti keenakannya.

Juadah tradisi popular negeri itu seperti laksa Johor, soto, mi bandung serta tidak ketinggalan nasi beriani gam semestinya menjadi santapan wajib bagi mereka yang berkunjung ke sana.

Berikut, ditampilkan beberapa lagi hidangan tradisional Johor yang unik serta harus dicuba.


HARISSA

Dipercayai berasal dari negara Arab, harissa atau turut dikenali dengan nama arisa merupakan satu juadah klasik warisan istana Johor yang mana suatu ketika dahulu hanya menjadi menu santapan istimewa bagi golongan diraja dan juga bangsawan.

Ia lazimnya menggunakan daging ayam sebagai bahan mentah utama yang diadun bersama bijirin oat atau gandum dan turut dihidang bersama pelengkap sampingan seperti cili potong, madu serta cili yang ditumbuk bersama garam.

BOTOK-BOTOK

Secara ringkasnya, botok-botok merupakan kepingan ikan yang dikukus bersama campuran rempah serta pelbagai jenis ulam-ulaman bagi menghasilkan rasa yang unik.

Juadah ini dibuat dengan meletakkan kepingan ikan di atas daun pisang sebelum dilapis dengan ulam-ulaman serta campuran rempah secara selang-seli sebelum dibungkus dan dikukus.

Ia biasanya dihidangkan bersama nasi panas dan amat terkenal sebagai juadah berbuka puasa.

ROJAK PETIS

Mempunyai pelbagai gabungan sayur-sayuran, keistimewaan hidangan rojak petis sudah tentulah terletak pada rasa unik yang dimiliki oleh kuahnya yang digaul mesra bersama bahan-bahan utama lain.

Pembuatan kuah bagi rojak petis hanya menggunakan bahan harian biasa seperti cili boh, petis udang, gula serta air yang didihkan buat satu jangka masa.

Kebiasaannya hidangan rojak petis yang enak menggadingkan hirisan tauhu, nenas, sengkuang, timun, tauge serta kangkung yang dicelur seterusnya digaul dengan kuah yang telah disediakan dan disuddahi dengan taburan kacang tanah.

MI SIPUT

Tidak diketahui akan asal usulnya, mi siput turut dikenali sebagai mee sanggul di negeri-negeri lain dan kebiasaannya dimakan bersama sambal kicap atau sambal tumis ketika masih lagi dalam keadaan panas.

Tekstur mi siput itu sendiri adalah keras dan mempunyai rupa seakan-akan keropok dan perlu digoreng di dalam minyak yang banyak terlebih dahulu sebelum boleh dimakan.

Bahan-bahan asas yang digunakan untuk membuat makanan tradisi tersebut merangkumi tepung gandum, tepung sagu, pewarna kuning serta air yang kesemuanya diuli bagi menghasilkan doh yang kemudiannya dibentuk, dijemur sebelum digoreng untuk dihidangkan.

 


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan