TERBITAN SEPTEMBER 2017
IKLAN

Katakan Tidak Pada Stress


Stres? Ya, kebelakangan ini hampir setiap orang bercakap mengenai stres atau tekanan. Kita bukan hanya mendengarnya melalui perbualan harian tetapi juga dapat mendengar dan mengetahuinya melalui media massa dan media sosial. Pernyataan ini disetujui oleh ramai individu yang menyatakan tekanan adalah satu realiti yang tidak dapat dielak dalam kebanyakan persekitaran terutamanya pekerjaan. Stres sudah dianggap sebahagian daripada perkara yang harus ditempuhi di dalam kehidupan. Malah ada yang berpendapat stres atau tekanan itu adalah rempah ratus kehidupan pada masa kini.

Masalah stres adalah keadaan jiwa yang paling popular di abad ini. Cuba anda ingat kembali berapa ramai orang yang anda jumpa mengatakan bahawa mereka sedang mengalami stress atau mungkin anda sendiri sedang mengalaminya? Stres bukan penyakit, tetapi jika tidak mengatasinya, anda akan mengalami banyak masalah kesihatan lain. Oleh itu, mari kita lihat dengan lebih jelas mengenai isu penting ini.

1. STRES BAIK ATAU TIDAK?

Stres boleh menjadi sesuatu yang positif dan juga negatif. Stres diperlukan untuk kemajuan di dalam kehidupan harian kita. Melalui keadaan tertekan kita dapat meningkatkan keupayaan untuk menyesuaikan diri, mengatasi dan bertindak balas terhadap cabaran kehidupan. Sebaliknya, stres memberi kesan yang tidak baik apabila ia tidak ditangani dengan sebaik mungkin atau dilihat sebagai negatif. Pengurusan stres yang lemah akan mengakibatkan perasaan luar kawal dan seterusnya menyebabkan pemilihan daya tindak yang tidak sihat.

3. DIAGNOSIS STRES

Jika anda menyedari degupan jantung meningkat, pernafasan menjadi cepat bagi membekalkan sebanyak mungkin oksigen kepada otot-otot dan mengalami masalah tidur, anda mungkin sedang mengalami stres. Selain itu, jika anda turut merasa diri mengalami perasaan negatif seperti keresahan, kebimbangan, ketakutan atau kemarahan dan kurang selera makan, itu juga adalah petanda kepada masalah ini.

2. PENYEBAB STRES

Terdapat beberapa faktor utama yang berpotensi mewujudkan stres antaranya ialah tekanan di tempat kerja disebabkan oleh faktor individu, organisasi dan persekitaran. Faktor-faktor tersebut boleh mendatangkan kesan kepada tahap tekanan kalangan pekerja dalam sesebuah organisasi. Faktor lain seperti suasana sosial dan suasana fizikal juga boleh menjadi penyebab utama stres. Perselisihan pendapat di sekolah atau rumah ditambah pula dengan persekitaran yang kurang selesa akan menjurus seseorang itu untuk mengalami tekanan.

4. CARA MENGATASI

Pertama, tarik nafas dan perlahankan pernafasan anda. Kurangkan pergera­kan atau beristirehat untuk mengurangkan degupan jantung. Pastikan anda tukar pemikiran dari berfikiran negatif dan tidak rasional kepada yang lebih positif dan membina. Jauhkan diri anda dari suasana yang boleh memberikan tekanan dengan melibatkan diri dengan aktiviti yang menyeronokkan. Penting! Anda harus kenal pasti masalah dan cari jalan penyelesaiannya. Rileks dan senyum!


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan