TERBITAN SEPTEMBER 2017
IKLAN

Apa Itu Chinlone?


Baru-baru ini skuad Chinlone Malaysia telah menjadi penyumbang emas pertama buat kontinjen negara dalam Sukan SEA 2017. Kejayaan tersebut sekaligus menamatkan kemarau emas skuad negara sejak sukan tersebut diperkenalkan empat tahun lalu. Sukan Chinlone jarang diperkatakan terutama dalam kalangan masyarakat negara ini, malah ramai yang mengakui pertama kali mendengar nama sukan tersebut pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Ingin tahu mengenai Chinlone? Ini fakta yang kami kongsikan untuk anda!

SEJARAH

Chinlone adalah sejenis permainan yang berasal dari Myanmar yang bermaksud bakul bulat. Bolanya diperbuat daripada rotan dan mengeluarkan bunyi ‘clicking’ tatkala ditendang, dan itu adalah sebahagian daripada keseronokan serta nilai estetika permainan tersebut.

Permainan ini dikatakan telah wujud sejak lebih dari 1,500 tahun lalu dan pernah dimainkan untuk tontonan raja-raja di Myanmar suatu masa dahulu. Ia dikategorikan sebagai salah satu daripada keluarga permainan bola sepak yang dimainkan di seluruh dunia.

Corak permainannya mempunyai asas atau konsep yang sama dengan sukan yang dimainkan di negara-negara rantau Asia Tenggara yang lain. Di Thailand ia dikenali sebagai ‘takraw’, manakala masyarakat di Malaysia, Singapura dan Indonesia memanggilnya ‘sepak raga’, Filipina (sipa), Laos (kator) dan Vietnam (da cau).

Ia juga dikategorikan sebagai salah satu daripada keluarga permainan bola sepak yang dimainkan di seluruh dunia. Ia dikategorikan sebagai salah satu daripada keluarga permainan bola sepak yang dimainkan di seluruh dunia.

KEUNIKAN DAN KESERONOKAN

Chinlone adalah acara berpasukan yang menggabungkan sukan, tarian dan keseronokan. Ia bukanlah sejenis sukan yang berbentuk pertarungan antara lawan dalam satu gelanggang. Sebaliknya ia dinilai berdasarkan betapa cantiknya pemain bermain sebagai satu pasukan, mengikut peraturan dan tradisi permainan Chinlone itu sendiri.

CARA PERMAINAN

Chinlone memerlukan kemahiran pemain untuk menimang bola takraw mengikut disiplin atau kategori tertentu. Ia dimainkan oleh dua pasukan dengan enam pemain bagi satu pasukan. Setiap pemain akan menghantar bola kepada rakan-rakan menggunakan kaki, lutut kepala ketika mereka bergerak dalam bulatan.

Setiap pasukan akan beraksi selama 20 minit dalam dua set (10 minit setiap set) dengan dua minit rehat selepas berakhir set pertama. Pasukan yang mengumpul mata tertinggi setelah menamatkan kedua-dua set akan muncul pemenang. Ketika pemain memberikan bola kepada rakan, seorang pemain akan berada di tengah bulatan dan mencipta rentak tarian. Sekiranya pemain menjatuhkan bola, permainan perlu dimulakan kembali.

PENGIRAAN MATA

Satu mata akan diberikan sekiranya bola berjaya diberikan kepada setiap ahli pasukan dengan pasukan mengumpul mata terbanyak akan dinobatkan sebagai pemenang. Setiap pemain perlu menimang bola menggunakan enam sentuhan berbeza menggunakan tapak kaki, lutut dan kepala sebelum menghantar bole kepada pemain lain di tengah gelanggang.

KOMPOSISI PEMAIN

Tidak ada halangan dari segi jantina mahupun umur untuk bermain Chinlone. Lelaki dan wanita boleh bermain dalam satu pasaukan. Malah sesebuah pasukan juga boleh dianggotai individu dewasa dan kanak-kanak. Sebagai tambahan kepada gaya sukan Chinlone, yang dipanggil “wein kat” atau tendangan bulatan, terdapat juga gaya prestasi solo yang dipanggil “tapindaing”. Gaya solo ini biasanya dilakukan oleh wanita mungkin kerana keindahan seni Chinlone dipertingkatkan dengan keindahan pergerakan tarian wanita.


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan