TERBITAN SEPTEMBER 2017
IKLAN

Datuk Omar Mohd Hashim - Pemikir dan Perancang Pendidikan Negara


NAMA Datuk Omar Mohd Hashim bukan saja terpahat dalam tinta sejarah negara kita sebagai seorang pemikir dan perancang pendidikan tetapi namanya turut disegani di peringkat antarabangsa. Sumbangan beliau yang tidak terhingga terhadap pendidikan Negara menyaksikan beliau dinobatkan sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan pada tahun 2012

Ketika menerajui Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) beliau telah berjaya meyakinkan Universiti of Cambridge untuk membolehkan lembaga berkenaan mengambil alih pelaksanaan dua peperiksaan penting dalam sistem persekolahan negara ini iaitu Malaysian Certificate of Education (MCE) yang kemudian dikenali sebagai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Higher School Certificate (HSC) yang kemudian dinamakan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Ini juga sekali gus melonjakkan namanya di mata dunia.

Nama Omar pada mulanya terpahat sebagai tokoh yang bertanggungjawab membolehkan peperiksaan MCE dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM)Kementerian Pelajaran pada 1978 yang sebelum itu daripada England oleh Universiti Cambridge, hinggalah akhirnya nama peperiksaan peringkat menengah atas itu dikenali sebagai SPM.

Kerjaya Omar sebenarnya bermula di LPM pada tahun 1963 dan di sinilah beliau telah menghabiskan sebahagian besar kerjayanya dalam perkhidmatan pendidikan. Pada tahun 1972, Omar dilantik sebagai Pengarah Pelajaran sebelum dilantik sebagai Pengarah Pendidikan Sabah sehingga Mei 1975.

Datuk Omar menanam sepohon ‘Royal Palm’ sempena persaraanya pada tahun 1990 di Penang Free School.

Sekembalinya ke Semenanjung, Omar dilantik pula memegang jawatan Timbalan Pengarah Bahagian Sekolah pada bulan Mei 1975. Namun tidak lama kemudian, beliau dilantik sebagai Pengarah Pelajaran Johor pada 1 Julai 1975. Omar seterusnya dilantik sebagai Pengarah Peperiksaan LPM mulai tahun 1976 hingga 1984.

Semasa berkhidmat di LPM beliau telah banyak membuat pembaharuan bagi memantapkan kedudukan, sistem, kewibawaan dan prestasi lembaga itu.

Semasa pentadbirannya, Omar gigih berusaha untuk mengambilalih tugas pengendalian peperiksaaan daripada pihak University of Cambridge di England. Pada waktu itu, kejayaan beliau turut membolehkan peperiksaan awam menggunakan bahasa Melayu.

Ia seterusnya disusuli berita yang sebenarnya amat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia. Pada awal bulan November 1977, Matriculation Board of Cambridge menyatakan bahawa pihak University of Cambridge telah memutuskan bersetuju mengiktiraf kelulusan dengan kepujian bagi semua mata pelajaran MCE dan SPM sebagai sama tarafnya dengan kelulusan mata pelajaran yang sama dengan GCE peringkat biasa bagi memenuhi syarat matrikulasi di United Kingdom.

Tidak lama kemudian menyusul pula pengiktirafan yang serupa daripada Schools Examination Council University of London, Joint Matriculation Board Manchester dan semua universiti di Scotland.

Pengiktirafan itu yang diterima sebelum peperiksaan kali pertama MCE/SPM kendalian LPM selesai dijalankan merupakan kejayaan yang amat besar dalam sejarah LPM mengendalikan peperiksaan awam untuk tujuan memenuhi keperluan negara di samping menunjukkan keteguhan kepercayaan badan-badan antarabangsa kepada kewibawaan dan keupayaan Malaysia.

Paling membanggakan Omar, pengiktirafan ini sekali gus menempelak dan menghapuskan keraguan serta anggapan sesetengah pihak kononnya peperiksaan SPM yang dijalankan dengan menggunakan bahasa Melayu itu tidak mempunyai nilai atau tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Pada masa itu LPM terlibat mengendalikan dua entiti peperiksaan terpenting iaitu SPM dalam bahasa Melayu dan MCE dalam bahasa Inggeris.

Selepas 15 tahun merancang dan membuat persiapan secara senyap sejak 1978, akhirnya Lembaga Peperiksaan berjaya mengambilalih sepenuhnya tanggungjawab pengendalian peperiksaan MCE/SPM daripada pihak Cambridge. Bagi Omar peristiwa ini merupakan satu peristiwa besar lagi bersejarah untuk dirinya dan negara.

Kejayaan ini melambangkan kemampuan profesionalisme anak tempatan memikul tanggungjawab penting mengendalikan urusan peperiksaan dalam negara seiring dengan tugas mentadbir negara sendiri. Kejayaan ini seterusnya memberi keyakinan kerajaan untuk mengambilalih peperiksaan HSC/STPM pada tahun 1982.

Buku Biografi “Omar Mohd. Hashim: Menongkah Gelombang Pendidikan” terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 2013

Era seterusnya memperlihatkan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa pengantar bukan sahaja di sekolah-sekolah rendah dan menengah malah turut dijadikan bahasa pengantar di universiti-universiti tempatan khususnya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang telah mula menggunakan bahasa Melayu dalam semua jurusan ilmu sejak ditubuhkan pada 1972.

Nyata, Omar telah menghabiskan sebahagian besar kerjayanya selama 29 tahun dalam perkhidmatan pendidikan di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Kerjayanya di kementerian ini mencapai kemuncaknya apabila beliau di lantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran 1.

Semasa beliau menjawat jawatan di KPM, pelbagai rancangan dan dasar baharu dilaksanakan sepanjang beliau berkhidmat termasuklah pengenalan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) berikutan terbitnya Laporan Jawatankuasa Kabinet (Laporan Mahathir).

Menerusi Laporan Mahathir pada tahun 1979 ini sekali lagi reformasi pendidikan melibatkan kurikulum dan kokurikulum secara besar-besaran ditekankan. Perakuan yang berkaitan dengan penggubalan dan pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) pada tahun 1982 dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1988.

Tenaga penggerak di sebalik kejayaan melaksanakan KBSR dan KBSM ini ialah Dr. Arfah Aziz, Tan Sri Asiah Samah dan Datuk Aziz Ismail. Dalam KBSR reformasi kurikulum adalah ke arah pendidikan asas untuk semua pelajar. Penekanan diberi kepada penguasaan kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira). Manakala di peringat sekolah menengah, reformasi dilakukan melalui KBSM berpandukan Falsafah Pendidikan (FPK).

Rancangan KBSM menegaskan kesepaduan unsur intelek, rohani, emosi dan jasmani. Bagi Omar kesepaduan unsur-unsur ini diharap membolehkan potensi individu berkembang dengan menyeluruh dan seimbang.

Jelas, Omar yang juga pernah menjadi Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran dari tahun 1985 sehingga bersara pada 1990, beliau merupakan seorang pemikir dan perancang yang telah memainkan peranan yang sangat penting dalam meletakkan asas-asas pendidikan negara. Beliau menyifatkan sistem pendidikan negara yang diasaskannya itu sebenarnya memiliki sistem bertaraf tinggi dan sudah mencapai taraf dunia.

Setelah bersara, beliau dilantik sebagai Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dari 1990 hingga 1992; Timbalan Pengerusi SPR dan seterusnya Pengerusi SPR sehingga 11 November 2000.

Kecemerlangan perkhidmatannya terbukti apabila beliau menerima anugerah Tokoh Guru Pulau Pinang, Tokoh Penaksiran Pendidikan Malaysia, Felo Terutama Institut Aminuddin Baki dan Felo Persatuan Sejarah Malaysia.

Anak kelahiran Dinding, Manjung Perak ini turut dinobatkan sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2012 sempena sambutan Hari Guru 2012 Peringkat Kebangsaan Kali Ke-41.

Omar menyifatkan anugerah yang diterima itu merupakan satu penghormatan kepada beliau yang telah berkhidmat di dalam bidang pendidikan yang dicintainya selama lebih 30 tahun.


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan