TERBITAN OKTOBER 2017
IKLAN

Dukalara Rohingya

— oleh CT Nurza —

Menyaksikan sebuah kekejaman
pada wanita dan anak-anak Rohingya
bagai tersiat pedih kulit jiwaku
melihat tubuh-tubuh mereka dikelar
rumah-rumahnya diroboh dibakar
wanita-wanita diperkosa dibunuh
masjid-masjid turut dimusnahkan
dan kezaliman ini berlaku berleluasa
penyeksaan demi penyeksaan dilakukan
aku meraung menangis sendiri
terkenang nasib saudara seagama
sampai kapankah mereka mahu ditindas dianiaya
oleh binatang yang bertopeng manusia.

Rohingya...
lantaran perbezaan agama dan kepercayaan
kalian ditembak dan dihapuskan
peluru-peluru berterbangan mencari sasaran
sasaran tepat untuk bangsa yang dibinasakan
kerana dendam dan permusuhan yang membara
penindasan demi penindasan dirancang.

Rohingya...
berdekad-dekad kalian menderita sengsara
namun dunia tiada memperduli dan mendengar
keperitan suatu bangsa yang teraniaya
dalam ketaksuban pemerintahan yang zalim.

Ya Allah!
selamatkan saudara seislamku
teguhkan benteng akidahnya
walau ditimpa derita menduga
Rohingya dalam doaku!

CT Nurza
Jerantut, Pahang

 


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan