TERBITAN OKTOBER 2017
IKLAN

Melancong Sambil Berbakti di Siem Reap


Kemboja merupakan salah sebuah negara Asia Tenggara yang terkenal di serata dunia melalui Kompleks Kuil Angkor Wat yang kaya dengan keindahan seni bina Hindu abad Ke-12. Namun sekitar tahun 70an, negara ini menggemparkan dunia dengan kisah pemerintahan kuku besi parti komunis yang dikenali sebagai ‘Rejim Khmer Rouge’ pimpinan Pol Pot yang banyak mengorbankan rakyat mereka sendiri. Ikuti kisah penulis melancong sambil berbakti di negara tersebut dengan menjadi guru sukarela kepada anak-anak Kemboja.

Siem Reap merupakan bandar kedua yang pesat membangun di Kemboja selepas ibu negaranya Phnom Penh. Siem Reap juga lebih tenang berbanding Phnom Penh. Namun, dari sudut pelancongan, Siem Reap merupakan bandar yang paling ramai dikunjungi saban tahun gara-gara daya tarikan monumen purba Kompleks Kuil Angkor Wat yang pernah menjadi lokasi filem aksi Hollywod ‘Lara Croft’ lakonan Angelina Jolie.

Penulis sebenarnya telah memasang impian untuk ke sini sejak dari bangku sekolah lagi apabila menonton sebuah rancangan dokumentari yang memaparkan sejarah serta keindahan Angkor Wat. Impian yang diiringi dengan usaha akhirnya membuahkan hasil apabila penulis berpeluang menjejakkan kaki ke negara ini. Bagi menambahkan makna kepada penjelajahan ini, penulis telah mendaftarkan diri sebagai sukarelawan bagi mengajar subjek Bahasa Inggeris kepada anak-anak Kemboja.

Mengajar

Kekangan kekurangan sukarelawan ketika itu menyebabkan penulis terus bertugas sebaik sahaja tiba di sebuah sekolah di Kampung Lolei yang jaraknya kira-kira 30 minit perjalanan dari bandar Siem Reap.

Ketika melangkah pertama kali ke kelas, penulis dapat melihat rata-rata kanak-kanak di sana jelas serba kekurangan dari segi kemudahan pengajaran dan pembelajaran seperti alat tulis dan buku. Beg sekolah mereka juga hanyalah beg plastik yang biasa didapati di kedai runcit. Namun hal ini tidak mematahkan semangat dalam mencari ilmu.

Penulis ditempatkan mengajar di kelas pra dengan jumlah murid seramai 20 orang dan berumur sekitar umur enam hingga 12 tahun. Pelbagai ragam yang mencuit hati berlaku sepanjang menjadi guru di sana. Salah satunya merupakan bahasa perantara yang kami gunakan ketika sesi pembelajaran. Sempat juga penulis belajar serba sedikit bahasa Khmer yang asas seperti “Sor Ser” yang bermaksud tulis dan “ang kuy” yang bererti duduk bagi memudahkan urusan memberi arahan kepada murid di dalam kelas.

Keinginan untuk belajar yang ditunjukkan dalam kalangan kanak-kanak mulus Khmer menjadikan penulis bersemangat untuk berkongsi ilmu dengan mereka. Reaksi comel ketika berbalas soalan di dalam kelas bertambah lucu apabila panggilan guru dalam bahasa Inggeris “Teacher” dipendekkan menjadi “Cer”.

Turut menjadi kenangan ialah subjek mengenai ular. Biasanya di Malaysia ular menjadi subjek yang menakutkan ataupun menggelikan. Akan tetapi lain pula dengan penerimaan kanak-kanak di Kemboja. Sewaktu penulis memberi nama haiwan dalam bahasa Inggeris yang bermula dengan huruf “S”, rata-rata mereka menyebut “Snake” dengan ekspresi wajah gembira sambil menyebut “yum yum” yang memberi makna ular merupakan makanan kegemaran mereka. Ianya adalah snek yang enak.

Namun di sebalik setiap kisah lucu dan gembira sewaktu menjadi guru sukarela di Kemboja, ada sisi lain yang turut menjadi perhatian penulis. Penulis lihat kebanyakan murid perempuan menggalas tugas tambahan dengan menjaga adik-adik mereka walaupun ketika di dalam kelas. Penulis juga lihat ada murid yang tertidur di dalam kelas bukan kerana sikap malas tetapi akibat kepenatan dalam membantu keluarga dan membanting tulang di sawah.

Program Beras

Selain mengajar, penulis turut membantu mengagihkan beras dari hasil sumbangan orang ramai dari seluruh dunia kepada badan bukan kerajaan (NGO) di sini. Beras diagihkan pada setiap hujung bulan dan dibahagikan kepada dua masa. Pagi untuk warga emas dan ibu tunggal manakala petang kepada setiap murid yang datang menimba ilmu di sekolah tersebut.

Akibat dari peratusan rakyat miskin yang agak tinggi di Kemboja menjadikan makanan sebagai sumber yang sukar untuk diperolehi terutamanya mereka yang berada di pinggir bandar Siem Reap, seperti di Kampung Lolei tempat penulis mengajar ini. Hampir 100 guni beras diagihkan hampir setiap bulan kepada warga miskin di kampung ini namum ada waktunya mereka tidak membawa pulang sebarang habuan. Ini kerana jumlah sumbangan beras yang diperolehi masih belum konsisten.

Sewaktu membantu dalam program mengagihkan beras, penulis dapat lihat senyuman lebar di wajah setiap murid sebaik sahaja sahaja tamat kelas pada hari beras akan diagihkan. Setiap guni yang berisi dengan lima kilogram beras itu tampak berat bagi kanak-kanak Kemboja yang rata-rata bertubuh kecil.

Ada seorang murid yang berumur sekitar enam tahun mencuri perhatian apabila dia kelihatan terhuyung-hayang dalam cubaan mengimbangi badan dan mengangkat guni beras ke bakul basikal dewasa yang ditunggangnya. Segera penulis berlari ke arahnya dan cuba membantu meletakkan guni beras berkenaan ke dalam bakul yang lebih tinggi dari kepalanya namun dengan sopan dia menolak pertolongan itu.

Penulis pasti dia ingin berdikari dengan menyelesaikan masalah tersebut sendiri. Melihat keazaman anak kecil itu, penulis menjadi sebak. Pengalaman di sekolah ini menjadi sebagai salah satu pemangkin untuk memajukan diri sendiri apabila pulang ke tanah air nanti.

Angkor Wat

Walaupun jadual yang padat bertugas sebagai guru sukarelawan di sana, namun penulis tidak melepaskan peluang berkunjung ke Angkor Wat, salah sebuah kuil lama yang menjadi daya tarikan utama di Siem Reap, Kemboja.

Perjalanan dari Lolei ke Angkor Wat mengambil masa 40 minit dengan menaiki “tuk tuk” yang merupakan pilihan pengangkutan utama bagi pelancong. “Tuk tuk” merupakan motor yang diubahsuai menjadi teksi dan mampu membawa tiga hingga empat penumpang. Kemboja masih belum mempunyai sistem pengangkutan awam yang baik, jadi kebanyakan rakyat mereka memiliki basikal serta motor.

Niat asal penulis adalah melihat matahari terbit di Angkor Wat. Penulis ada diberitahu oleh sukarelawan yang lain mengenai keindahan saat matahari menampakkan diri dan memancar ke arah kuil purba yang tersergam megah itu. Kelakarnya, penulis tersalah mengira perbezaan masa bila mana matahari di Siem Reap terbit sekitar 5.30 pagi, dan waktu itu kami masih berada di dalam “tuk tuk” menuju ke Angkor Wat.

Namun pemandangan dari atas “tuk tuk” tidak kurang indahnya. Setibanya di Angkor Wat, penulis dikenakan caj sebanyak 37USD bagi tiket masuk. Walaupun terdetik di hati mengenai harga yang sedikit mahal namun apabila masuk sahaja ke dalam kompleks kuil yang dibina pada abad Ke-12 ini, penulis rasakan wang yang dilaburkan itu berbaloi dengan pengalaman yang diperoleh di situ.

Antara yang terkenal di kompleks kuil tersebut merupakan Ta Phrom, Bayon dan Angkor Wat sendiri sebagai pusat kuil. Ta Phrom menjadi lokasi bagi penggemar seni fotografi kerana kuil ini banyak memberi sudut-sudut yang menarik untuk dipotret. Akar-akar dari pokok berusia ratusan tahun melingkar mengelilingi dinding dan badan kuil lama itu.

Pada zaman dahulu, Kompleks Angkor Wat ini juga merupakan pusat pentadbiran selain keagamaan. Oleh itu, dikatakan Raja, pengikut, sami serta dayangnya tinggal di dalam kompleks ini.

Apabila berjalan menyusuri batu-batu yang hijau berlumut, tergambar di mata penulis bagaimana kemeriahannya suatu ketika dahulu.

Kompleks kuil Angkor Wat ini menjadi sebuah pengalaman yang menceritakan bagaimana Kemboja pernah maju dari segi peradaban ketika itu. Penulis yakin negara seperti Kemboja pasti akan berdiri kembali jika anak-anaknya terus menimba ilmu dengan penuh azam.


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan