TERBITAN OKTOBER 2017
IKLAN

UNITY RIDE - Projek57


Foto : Ihsan Projek57

MENYEDARI akan pentingnya usaha mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan warga Malaysia, sebuah badan sosial, Projek57 menganjurkan acara berbasikal yang digelar Unity Ride baru-baru ini.

Unity Ride merupakan salah satu daripada inisiatif yang dilaksanakan oleh Projek57 dalam memartabatkan lagi integrasi nasional di negara ini selaras dengan penubuhan badan tersebut yang komited dalam membina perpaduan dan harapan terutama dalam kalangan belia di Malaysia.

Acara berbasikal merentas Malaysia yang berlangsung sehingga 16 September itu menyelusuri kampung-kampung serta bandar-bandar kecil dengan keseluruhan sembilan bahagian perjalanan.

Kembara tersebut singgah di lokasi-lokasi terpilih di mana mereka menganjurkan aktiviti-aktiviti yang menerapkan unsur-unsur perpaduan melibatkan anak-anak muda dari universiti selain acara-acara komuniti.

Dilancarkan pada 6 Ogos lalu di perkarangan monumen bersejarah, Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, bahagian pertama Unity Ride menyaksikan penyertaan sejumlah 40 penunggang yang diketuai oleh dua pengasas bersama Projek57 sendiri, Syed Sadiq Albar dan Collin Swee.

Mereka melakukan kayuhan sejauh 57 kilometer (km) menuju IOI City Mall, Putrajaya untuk turut menjayakan satu lagi program bertema perpaduan yang dianjurkan dengan kerjasama Touch n Go.

Bahagian kedua kayuhan berlangsung pada 7 Ogos lalu bermula di Pekan Kampar, Perak ke Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Kampar yang turut dimeriahkan dengan sejumlah pelajar dari universiti berkenaan.

Persinggahan di UTAR turut diisi dengan sesi dialog di antara murid sekolah bersama panel jemputan khas dengan isu yang dibangkitkan berkisar perpaduan selain mengetengahkan akan peranan yang boleh dimainkan oleh murid sekolah dan pelajar IPT dalam komuniti setempat.

Sepanjang kayuhan ini, antara destinasi lain yang dilawati adalah Sekolah Menengah Sains Dungun, Terengganu yang mana turut diadakan bengkel perpaduan di dewan sekolah yang telah dijayakan oleh wakil pelajar dari Taylor’s University.

Kayuhan ke Melaka pula menyaksikan mereka singgah di Rumah Kebajikan Bhagawan Sri Ramakrishna bagi menyelami kehidupan serta mendengar luahan hati anak-anak kurang bernasib baik di sana.

Bahagian keenam kayuhan membabitkan destinasi dari Kota Tinggi, Johor menuju ke EcoWorld Gallery, Eco Botanic, Iskandar Puteri, dan ketibaan mereka disambut meriah di sana.

Sejumlah 100 orang murid dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Abdul Rahman Yassin, Johor Bahru turut hadir bagi memeriahkan Bengkel Perpaduan yang diadakan seperti di lokasi-lokasi lain, mereka didedahkan dengan pembelajaran bagi penyelesaian masalah, berfikir di luar kotak, kemahiran berkomunikasi dan sebagainya.

Apa yang menariknya pada destinasi kali ini, para perserta terlibat memperoleh sehelai kemeja-T setiap seorang yang memaparkan potret Bapa Kemerdekaan Negara, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Kemeja-T berkenaan yang ditaja oleh Majalah Pendidik turut memuatkan petikan kata-kata oleh beliau iaitu “Masa hadapan kita bergantung kepada betapa eratnya pelbagai kaum boleh hidup secara harmoni and kerjasama’’ yang mana secara tidak langsung meniktikberatkan soal perpaduan.

Dalam Bengkel Perpaduan yang dijalankan sepanjang berlangsungnya program Unity Ride ini, para peserta turut dihiburkan dengan tayangan filem Ola Bola yang dibawakan oleh Astro Shaw.

Collin dan Syed Saddiq melaungkan slogan perpaduan bersama murid-murid sekolah sepanjang kayuhan mereka.
Majalah Pendidik turut menyokong Unity Ride.
Unity Ride Syed Saddiq (depan ) dan Collin (kiri) membawa mesej pentingnya perpaduan.
Perpaduan perlu disemai seawal usia murid.

Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan