TERBITAN OKTOBER 2017
IKLAN

SEMAI BAKAT ATLET NEGARA - Alumni Boleh Bantu Pacu Kecemerlangan Sukan Sekolah


Perkarangan SJI yang kini telah dinaiktaraf dengan kemudahan sukan bertaraf antarabangsa Perkarangan SJI yang kini telah dinaiktaraf dengan kemudahan sukan bertaraf antarabangsa

SEBUT sahaja St. John’s Institution (SJI), Victoria Institution (VI), Methodist Boy School (MBS) dan Setapak High School (SHS), terdapat satu persamaan yang cukup terserlah mengenai institusi-institusi tersebut. Bukan sahaja sekolah-sekolah berkenaan mempunyai sejarah dan legasi tersendiri dari segi infrastrukturnya, kehebatan para muridnya tetapi juga dari aspek kecemerlangan sukan. Masing-masing dengan kehebatan yang tersendiri.

Siapa tidak kenal Datuk Misbun Sidek, bekas jaguh badminton dunia dan kini jurulatih pasukan negara? Beliau merupakan bekas murid VI dan menjadi inspirasi kepada kebanyakan pemain badminton negara.

Nama Allahyarham Tan Sri Ghani Minhat yang terkenal dengan gelaran Raja Bola satu ketika dahulu adalah produk dari SJI. Begitu ramai “Johannian” (jolokan kepada murid warga SJI) berjaya dilahirkan sama ada dalam bidang sukan, hiburan, kewartawanan, politik dan akademik. Antaranya, Datuk Marina Chin dalam sukan olahraga, Adam Malik dalam sukan tenis, Datuk James Selvaraj dalam sukan badminton, Khairuddin Zainal dalam sukan hoki Farish Noor (akademik) dan yang terkini, Syafique Ridhwan Abd Malek (bowling).

Dalam lapangan hiburan pula, SJI telah melahirkan ramai penghibur yang berbakat seperti Dato’ Hans Isaac, Harith Iskander dan Afdlin Shauki. Arena politik pula menyaksikan SJI telah melahirkan tokoh-tokoh seperti Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Begitu juga dengan SHS yang terkenal dengan skuad ragbinya yang digemari oleh pasukan lawan. Kecemerlangan sukan itu seterusnya dicemburui oleh banyak sekolah di seluruh negara. Kecemerlangan dalam acara sukan juga memberikan satu penyuntik semangat kepada pihak pengurusan sekolah dan alumni bahawa kejayaan sesebuah institusi pendidikan haruslah diseim­bangi dengan kecemer­langan akademik dan sukan.

Apa gunanya jika seseorang murid itu hanya cemerlang dalam akademik tetapi lemah dalam sukan dan begitu juga sebaliknya? Bukankah dalam kehidupan seharian kita, segalanya perlu seimbang hendaknya?

Kecemerlangan tersebut wajar diraikan tetapi janganlah kita dibuai leka dengan kejayaan masa lampau. Masa tidak akan menunggu kita semua dan disebabkan senario sukan negara sudah jauh berubah, maka adalah kritikal jika agenda pembangunan sukan diberikan penekanan yang sepatutnya.

Dalam merencanakan agenda pembangunan sukan, pastinya peranan alumni sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mahupun Lembaga Pengelola Sekolah adalah kunci kepada usaha murni itu. Setiap pihak masing-masing mempunyai peranan untuk menjayakan visi yang direncanakan itu.

Sebagai contoh, alumni sekolah, yang rata-ratanya dianggotai oleh bekas-bekas murid, lebih-lebih lagi jika ada kalangan mereka yang sudah menempa nama atau berjaya, boleh menggerakkan usaha untuk merangka pelbagai pelan bertindak dalam membantu meningkatkan mutu sukan sekolah masing-masing.

Pelan bertindak terbabit boleh wujud dalam kempen mengutip derma, menggerakkan modal insan untuk melatih bakat-bakat terpendam ataupun berganding bahu dengan pihak pengurusan sekolah dalam menjaga tahap prestasi bakat-bakat yang terpilih itu.

Realitinya, misi untuk melahirkan atlet-atlet sukan yang berjaya tidaklah semudah yang disangka sebaliknya menuntut kesungguhan, keazaman bahkan kekentalan mental yang cukup tinggi dalam diri semua pihak. Misi tersebut perlu bermula awal dan memerlukan perancangan yang rapi.

Pihak alumni perlu bergerak seia-sekata dengan PIBG dan pengurusan sekolah bagi memastikan misi yang ingin dilaksanakan itu berjaya mencapai matlamat yang di­sasar­kan. Amatlah menye­dihkan jika tidak wujud konsensus dalam melaksanakan misi sedemikian kerana pada akhirnya nanti yang merana adalah para pelajar sekolah itu sendiri.

Dengan adanya perancangan yang rapi, secara tidak langsung, agenda ini akan dapat membantu usaha kerajaan untuk mencungkil lebih ramai bakat-bakat yang terpendam dalam memajukan sukan negara kita dan siapa tahu, atlet pertama merangkul pingat emas dalam Sukan Olimpik nanti.

Pastinya, kita mahu melihat lebih banyak sekolah di negara ini berupaya melahirkan atlet-atlet yang berbakat. Jika SJI dan VI merupakan kuasa besar dalam bidang sukan satu ketika dahulu, tidak ada sebab mengapa sekolah-sekolah lain tidak boleh berbuat demikian. Adalah menjadi harapan kita agar setiap sekolah dapat melahirkan atlet yang berbakat selanjutnya menjadi ‘feeder’ kepada pasukan kebangsaan dalam acara-acara sukan kelak.

Berbekalkan keazaman yang membara, perancangan yang rapi dan sokongan tidak berbelah bahagi oleh semua pihak berkepentingan, misi tersebut akan dapat direalisasikan. Ibarat pepatah Melayu yang berbunyi, melentur buluh, biarlah dari rebungnya.

Oleh itu, misi untuk mengasah bakat-bakat terpendam harus bermula dari sekarang. Biarpun era dan senario sudah berbeza, namun matlamat ke arah mengekalkan legasi kecemerlangan sukan tidak berubah.

Natijahnya, agenda pembangunan sukan tidak wajar dikesampingkan hanya semata-mata untuk mencapai kecemerlangan akademik yang dilihat lebih penting oleh segelintir. Realitinya, kecemerlangan akademik dan sukan saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain.

Tindakan Persatuan Alumni Sekolah St. John’s atau St. John’s Alumni Association (SJAA) dalam usaha mengekalkan kecemerlangan sekolah tempat mereka pernah menimba ilmu dalam bidang sukan, yang telah menggerakkan satu projek yang diberi nama Sports Facilities Development Programme atau ringkasnya SFDP mungkin wajar dijadikan teladan.

Seperti yang telah tersiar dalam laporan media tempatan, idea untuk melaksanakan projek SFDP itu dicadangkan pada April 2016 dan mendapat sokongan Lembaga Pengelola Sekolah serrta PIBG SJI. Projek itu merangkumi dua fasa pelaksanaan iaitu pertama membabitkan penambahbaikan dan pengubahsuaian pada gelanggang badminton, bola tampar, bola keranjang, futsal dan sepak takraw. Sementara fasa kedua pula melibatkan padang sekolah yang bakal menggunakan teknologi rumput tiruan.

Melalui projek SFDP ini, murid SJI berpeluang menikmati kemudahan sukan sekolah bertaraf antarabangsa pada kos penyelenggaraan yang minimum. Malah selepas siap sepenuhnya nanti, kemudahan-kemudahan sukan bertaraf antarabangsa di SJI juga boleh diguna dan dimanfaatkan oleh murid enam buah sekolah lain di sekitar Bukit Nanas, Kuala Lumpur iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) St. John’s 1 & 2, SK Convent Bukit Nanas 1 & 2, serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Nanas dan St. John’s International School.

Kepada alumni-alumni dan pengurusan sekolah di seluruh negara, perjuangan untuk membela anak bangsa masih belum selesai. Maka gunakan kesempatan yang terluang ini untuk meneruskan agenda murni itu. Mungkin impak daripada projek tersebut tidak dapat dirasai dalam tempoh terdekat, tetapi pastinya, generasi-generasi pelajar akan datang bakal merasai nikmat usaha yang telah dicurahkan oleh pihak yang berkenaan.

Nota: Artikel ini hanyalah pandangan peribadi penulis yang merupakan bekas Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di sebuah sekolah di ibu negara dan kini berkhidmat sebagai penjawat awam.


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan