MILIK KITA

— oleh ZAID MD SAMAN AL-HAJ —

Mengimbau sejarah pembukaan negeri-negeri
di watan Semenanjung Emas
dan jaluran pejajahan kuasa sarakah dunia
Portugis
Belanda
Inggeris
dan Jepun
telah menjadi khazanah milik kita.

Percikan api darurat saudara sekandung
telah memayatkan ramai insan tidak berdosa
termasuklah gugurnya bunga-bunga bangsa
Leftenan Adnan dek sarakahnya nafsu Jepun
Rosli Dobi dek sarakahnya nafsu Keluarga Broke
dan pelbagai tragedi ngeri-menyayat hati
Bukit Kepung
Gubir
Kalabakan
angkara hitam-ganasnya jiwa komunis
yang berjaya mencipta keganasan moden
yang virusnya menjangkit ke jiwa pengganas Sulu
lalu berjaya mecipta tragedi Lahat Datu
hinggalah tersimpan tersimpul
sebagai milik kita.

Sejarah indah perjuangan dan pengorbanan
tokoh-tokoh kemerdekaan negara kita
yang telah berwakdat dalam bait-bait sosial kontrak
dengan janji utama akan hidup aman sentosa
bersaling bantu laksana sauara sekandung
telah berjaya menjentik jiwa nurani penjunjung bendera Union Jack
tersentak lalu menurunkan bendera koloni ini
dan anak-anak patriot segera menaik-kibarkan Jalur Gemilang
serentak dideraikan lagu Negaraku
dan laungan slogan keramat Rukun Negara
terukir besama kemekaran Bunga Raya, Bunga Kebangsaan kita
yang berjaya memayungi Melayu-peribumi, Cina,India
dan ratusan etnik lagi
yang menghuni Sarawak Bumi Kenyalang
dan Sabah Bumi Negeri Di bawah Bayu
yang juga milik kita.

Kemeriahan dua Hariraya
kerlipan pelita Depavali
keriuhan dan kerancakan tarian Gong Xi Fa Chai
kerdipan api di pohon Krismas
Pesta Gawai dan Pesta Menunai
dan puluhan perayaan lagi
telah kita miliki bersama.

Tetapi…
dalam kalut-kabut lebih tiga puluh juta rakyat memikirkan
kenapa terjadi perseteruan
mengapa terjadi pergaduhan
kenapa-mengapa terjadi perpecahan
jelas tercipta akibat perbezaan fahaman politik sarakah
yang dihantui oleh gejolak rasa dengki-khianat
ingin lebih berkuasa
sifat sentiasa ingin disanjung-dijunjung
tanpa memikirkan bahawa cita-rasa sarakah ini
akan menjerumuskan watan tercinta kita
ke lembah kehancuran
sedangkan
penomena ini
bukanlah milik kita.
bukan…

ZAID MD SAMAN AL-HAJ,
Air Baning, Negeri Sembilan

 


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan