Guru Perlu Main Peranan Utama Kesan Bakat Lahirkan Penulis Muda


Menurut statistik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sehingga 31 Julai 2016 terdapat sebanyak 10,180 buah sekolah yang beroperasi di seluruh Malaysia, iaitu 7,772 buah sekolah rendah dan 2,408 buah sekolah menengah. Daripada bilangan sekolah tersebut, terdapat seramai 2,685,403 orang murid berada di sekolah rendah dan 2,188,525 orang murid lagi di sekolah menengah. Ini belum termasuk sejumlah 200,684 murid prasekolah.

Jika difikirkan secara mendalam, bilangan ini bukan sekadar angka semata-mata tetapi ia merupakan jumlah aset yang sangat berharga kepada negara. Hal ini kerana setiap murid tersebut tidak kira murid sekolah rendah mahupun menengah pasti memiliki bakat serta potensi tertentu, sama ada yang sedia diketahui mereka sendiri atau yang masih terpendam dalam diri mereka belum dapat dikesan.

Bakat atau kebolehan yang terdapat pada murid-murid ini sememangnya pelbagai dan berbeza antara satu sama lain. Ada yang berbakat besar dalam bidang sukan, ada yang mempunyai potensi besar dalam bidang seni, tidak kurang ramai yang sangat berkebolehan dalam bidang teknikal atau ketukangan, dan macam-macam lagi. Bakat dan potensi dalam diri merekalah jika diasah, digilap dan dikembangkan akan menjadikan mereka aset dalam bentuk modal insan kepada negara dan bangsa. Salah satu bakat yang bersifat unik yang ingin penulis ketengahkan di sini adalah menulis atau berkarya.

Namun, berapa ramai antara hampir 5 juta murid sekolah rendah dan menengah di negara ini yang mempunyai bakat dalam bidang penulisan? Berapa banyak murid yang telah menyedari mereka memiliki bakat tersebut? Berapa banyak murid pula yang mempunyai bakat tersebut tetapi tidak disedari dan ia masih terpendam dalam diri mereka tanpa dicungkil dan diasah? Bukankah satu kerugian besar jika bakat kanak-kanak dan remaja murid-murid sekolah ini tidak diberi perhatian dan akibatnya terbiar terus terkubur dalam diri mereka tanpa ada sebarang usaha untuk memperkembangkannya?

Persoalan yang lebih besar di sini adalah siapakah yang perlu memikul tangungjawab untuk merealisasikan perkara ini, yakni mengesan kebolehan, kecenderungan dan bakat menulis kanak-kanak serta remaja ini dan mentranformasikan diri mereka menjadi murid-murid yang berpotensi besar dalam bidang penulisan bagi menzahirkan penulis muda dari peringkat sekolah lagi? Siapa lagi jika bukan seorang guru? Sekali lagi penulis petik statistik KPM, kali ini berkenaan guru. Angka terkini menunjukkan terdapat seramai 421,828 guru sedang berkhidmat di semua lebih 10 ribu sekolah kerajaan di bawah KPM di serata pelosok negara ini. 239,850 daripada mereka bertugas di sekolah rendah manakala baki 181,978 lagi di sekolah menengah.

Hayatilah definisi guru yang memperlihatkan makna yang besar dalam fungsi dan struktur pendidikan negara. Tugas guru bu­kan sahaja mengajar semata-mata tetapi juga berperanan mendidik bagi membangunkan potensi murid dalam pelbagai aspek. Tema “Guru Pembina Negara Bangsa” yang buat kali keempat dipilih sebagai tema sambutan Hari Guru 2017 pada Mei lalu sudah cukup jelas menggambarkan peranan yang diharapkan daripada setiap guru. Oleh itu, penekanan dalam pencarian bakat terpendam dan pembangunan potensi murid, termasuk khususnya dalam aktiviti penulisan perlu dipandang serius sama seperti usaha mengesan bakat atau potensi murid dalam bidang-bidang lain untuk digilap. Usaha murni guru dalam hal ini dapat menyediakan generasi pelapis dalam bidang penulisan untuk negara kita, terutamanya bagi memartabatkan penghasilan karya seperti cerita, esei, rencana, puisi, cerpen, drama, novel malahan juga menyediakan asas untuk penulisan ilmiah. Usaha ini juga mampu memberi nilai tambah kepada perkembangan landskap penulisan tanahair bukan sahaja dalam konteks pertambahan bilangan penulis baharu lagi muda tetapi juga kepada kuantiti penghasilan serta penyebaran ilmu daripada penulisan yang dilakukan.

Sehubungan dengan itu, peranan semua guru dalam membantu mengenal pasti dan membangunkan potensi murid dalam bidang penulisan mampu menjadikan murid tersebut bergelar penulis muda yang bakal menggoncang landskap penulisan negara pada masa hadapan. Pelbagai kerjasama dapat diberikan oleh guru dalam menjamin keberhasilan murid yang memiliki potensi menulis supaya aktif menulis dan mengembangkan bakat yang sedia ada pada mereka. Dalam hal ini, dorongan dan motivasi oleh guru adalah pemangkin kepada murid untuk bergiat aktif dalam penulisan.

Berdasarkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dikendalikan oleh guru dan pemantauan terhadap perkembangan murid dalam pendidikan maka sudah pasti guru dapat mengenal pasti potensi setiap anak didik masing-masing, termasuk murid yang memiliki bakat dalam penulisan. Guru harus menyedarkan murid tersebut tentang bakat dan potensi mereka dalam penulisan selain mendedahkan hala tuju yang dapat dicapai dalam jangka masa panjang hasil penglibatan dalam bidang penulisan. Motivasi perlu disuntik dari semasa ke semasa agar murid berkenaan menghasilkan karya mereka dengan yakin. Bantuan guru dari segi pandangan, idea, cara berfikir dan teknik menulis selain rujukan bahan bacaan yang berkualiti selaras usia murid turut dapat memperbaiki kualiti penulisan murid. Komen dan kritikan membina daripada guru dapat memberi inspirasi kepada murid untuk terus berkarya dan melebarkan sayap dalam apa juga genre atau bidang penulisan yang digemari.

Selain itu, guru juga perlu mendorong partisipasi murid dalam bengkel-bengkel penulisan yang diadakan oleh pihak tertentu. Bengkel sebegini dapat membantu mengasah bakat kanak-kanak dan remaja dalam bidang penulisan karya yang bersifat pelbagai. Partisipasi murid dalam bengkel sebegini membolehkan mereka menimba kemahiran menulis daripada penceramah atau fasilitator yang berpengalaman dalam penulisan. Ilmu dan pengalaman yang digarap daripada bengkel penulisan juga mampu memberi keyakinan kepada murid untuk berkarya. Guru juga boleh mendapatkan maklumat hebahan berkaitan mana-mana bengkel penulisan yang diadakan di lokasi berhampiran atau yang dapat disertai oleh murid bagi membolehkan mereka memanfaatkannya.

Lebih efektif lagi jika guru bukan sahaja perlu mendorong murid untuk menulis menghasilkan karya tetapi juga menggalakkan mereka untuk menerbitkan hasil karya tersebut. Ada beberapa surat khabar dan majalah tertentu banyak menyediakan ruangan untuk penerbitan hasil karya murid serta pelajar. Ruangan ini dapat dimanfaatkan oleh murid untuk menghantar hasil karya yang ditulis untuk diterbitkan. Ada juga syarikat penerbitan tertentu yang mengalu-alukan manuskrip cerita, cerpen atau novel daripada karya kanak-kanak serta remaja dan berhasrat untuk membukukannya jika ia mencapai kualiti dan memenuhi kriteria yang ditetapkan. Sehubungan dengan itu, guru berpeluang untuk memastikan agar bakat penulisan murid masing-masing terus dipertajam sehingga hasil karya mereka diangkat dalam bentuk penerbitan. Melihat karya mereka diterbitkan mampu mengukuhkan lagi keyakinan dan minat mereka untuk terus berkarya. Dalam hal ini, bantuan dan sokongan guru amat penting dalam bentuk nasihat dan pemakluman kepada murid mengenai kewujudan platform-platform yang sesuai untuk menerbitkan hasil karya mereka.

Satu lagi cara untuk mengasah bakat menulis, menajamkan gaya penulisan malah turut mampu membantu membina kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) ialah dengan menyertai pertandingan menulis. Oleh itu, guru boleh juga mendorong murid yang mereka kenal pasti berpotensi dalam penulisan untuk menyertai pelbagai pertandingan penulisan yang diadakan oleh pelbagai pihak. Pertandingan sebegini biasanya sering diadakan dari semasa ke semasa sempena program tertentu dan hebahan berkaitan pertandingan lazimnya dapat diakses dengan mudah melalui internet. Guru yang benar-benar komited serta efisien pastinya akan membantu mendapatkan maklumat lengkap mengenai sebarang pertandingan yang sesuai untuk disampaikan kepada anak didik masing-masing bagi mendorong mereka menyertainya. Lebih banyak pertandingan yang disertai murid berkenaan, nescaya akan lebih tinggi semangat yang akan ditunjukkan oleh mereka dalam penulisan dek kerana keinginan dan iltizam untuk berjaya. Menulis secara konsisten serta penyertaan yang kerap dalam pertandingan penulisan akan mematangkan murid dalam bidang penulisan dan juga diri mereka sendiri.

Sebagai tambahan, penubuhan Persatuan Penulis Muda di sekolah mungkin merupakan satu inisiatif yang perlu difikirkan oleh guru bagi menghimpun dan mengasah bakat-bakat penulis muda selain membangunkan potensi murid yang berminat dalam bidang penulisan. Pelbagai aktiviti dapat diatur bagi merealisasikan perkara ini. Penubuhan persatuan ini membolehkan pelbagai aktiviti berkarya dapat diadakan. Ia turut menjadi platform kepada sekolah untuk mengadakan bengkel penulisan efektif dan menganjurkan pertandingan-pertandingan berkaitan penulisan bagi menarik lebih ramai murid untuk cuba mempelopori bidang ini. Penulis-penulis tempatan yang popular dan sudah lama berkecimpung dalam bidang penulisan boleh dijemput sebagai penceramah atau fasilitator bagi memimpin dan meniupkan api semangat kepada golongan pelapis ini untuk merintis perjuangan dalam bidang penulisan.

Di samping itu, kolaborasi antara sekolah dalam mengenal pasti bakat muda dan merancang program yang sesuai untuk mengasah bakat-bakat tersebut juga amat baik untuk dipertimbangkan. Kolaborasi antara sekolah boleh digembleng di peringkat zon, daerah mahupun di peringkat negeri. Kerjasama erat antara guru setiap sekolah untuk menjayakan matlamat ini mampu menzahirkan kumpulan penulis muda yang berbakat. Mereka ini dapat dibimbing secara konsisten dan dibekalkan ilmu serta kemahiran yang diperlukan untuk menjadi penulis tersohor negara kelak. Dengan cara ini, setiap negeri akan mempunyai barisan penulis muda berbakat yang bakal menggemilangkan persada penulisan tanahair.

Kesimpulannya, guru memainkan peranan yang penting dalam menzahirkan penulis muda di sekolah masing-masing sama sepertimana mereka komited berusaha mengenalpasti potensi murid dalam bidang-bidang lain. Bak kata pepatah “melentur buluh biar dari rebungnya” maka komitmen dan kesunguhan guru amat diperlukan dalam mengenal pasti murid yang berbakat dalam penulisan, seterusnya membantu membangunkan potensi murid tersebut ketika mereka masih di peringkat persekolahan lagi. Tanpa sokongan dan kerjasama guru aspirasi untuk menzahirkan lebih ramai penulis muda yang bakal menjadi tulang belakang negara dalam bidang penulisan tidak mungkin dapat direalisasikan sepenuhnya.

• NOTA: Penulis adalah pensyarah di Bahagian Antropologi dan Sosiologi, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.