Frasa: Elakkan Penggunaan Yang Lewah!


Kita sering menemukan frasa yang lewah sama ada dalam lisan ataupun penulisan. Hal ini berlaku demikian kerana pengguna tidak menyedari bahawa dalam bahasa Melayu terdapat beberapa perkataan yang mengandungi makna “banyak”, iaitu lebih daripada satu orang, benda, perkara atau sebagainya.

Antara perkataan tersebut termasuklah perkataan rombongan, rentetan, himpunan, menghimpunkan, bertaburan, bergantungan, dan sebagainya. Perkataan ini telah pun mendukung maksud “banyak”. Oleh itu, perkataan yang hadir sebelum atau selepas perkataan ini tidak sepatutnya digandakan. Jika digandakan juga frasa yang terhasil akan menjadi lewah.

Yang berikut ialah contoh frasa yang lewah.

A. Kata bilangan yang mengandungi makna banyak + kata ganda

Ayat contoh:

  1. Kebanyakan peserta-peserta yang menyertai kursus itu berasal dari pantai timur.
  2. Pelbagai kuih-muih dijual di bazar Ramadan itu.
  3. Semua kerja-kerja pembinaan jalan di kampung itu dilakukan sejak minggu lalu.
  4. Tiga orang daripada penjenayah-penjenayah itu telah diberkas oleh pihak polis.
  5. Keseluruhan pemain-pemain telah memberikan persembahan yang baik dalam perlawanan itu.

Penerangan

  1. Dalam ayat i – v di atas kata bilangan kebanyakan, pelbagai, semua, tiga orang, dan keseluruhan sudah pun menunjukkan maksud jamak. Oleh sebab itu, perkataan yang hadir selepas kata bilangan ini tidak perlu digandakan.
  2. Bentuk yang betul bagi ayat di atas ialah kebanyakan peserta, pelbagai kuih, semua kerja, tiga orang daripada penjenayah, dan keseluruhan pemain.

B. Awalan se- + kata bilangan + perkataan

Ayat contoh:

  1. Sekawan burung-burung kelihatan terbang di kawasan pantai itu.
  2. Serangkai manik-manik menghiasi baju baharu yang dipakainya.
  3. Segerombolan pengganas-pengganas telah menyerang penduduk di kawasan pedalaman itu.
  4. Sekandang lembu-lembu milik Pak Mat telah dipindahkan ke kandang yang baharu.
  5. Sekelompok awan-awan hitam kelihatan bergerak perlahan-lahan menuju ke selatan.

Penerangan

  1. Walaupun awalan se- dalam ayat i – v di atas bermaksud satu, perkataan yang dirangkaikan dengan awalan tersebut masih mengandungi makna jamak. Oleh sebab itu, perkataan yang hadir selepas awalan se- + kata bilangan tidak perlu digandakan.
  2. Bentuk yang betul bagi ayat di atas ialah sekawan burung, serangkai manik, segerombolan pengganas, sekandang lembu, dan sekelompok awan.

C. Perkataan yang mengandungi makna banyak + kata ganda

Ayat contoh:

  1. Mesyuarat Ketua-ketua Jabatan akan diadakan di Melaka pada minggu hadapan.
  2. Senarai nama-nama pelajar yang akan mengikuti rombongan ke Langkawi telah ditampal pada papan kenyataan.
  3. Kegagalan murid dalam mata pelajaran Bahasa Melayu telah mendapat perhatian daripada kalangan tokoh-tokoh akademik.
  4. Bapa saya masih menyimpan koleksi lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
  5. Nama calon yang akan menduduki peperiksaan itu telah ditulis mengikut susunan abjad-abjad.

Penerangan

  1. Perkataan mesyuarat, senarai, kalangan, koleksi, dan susunan dalam ayat di atas bermaksud lebih daripada satu orang, benda, perkara atau sebagainya. Oleh sebab itu perkataan yang hadir selepasnya tidak perlu digandakan.
  2. Pembetulan bagi kesalahan frasa di atas ialah Mesyuarat Ketua Jabatan, senarai nama pelajar, kalangan tokoh akademik, koleksi lagu, dan susunan abjad.

D. Imbuhan meN-, meN-…-kan, dan ke-…-an yang mendukung maksud banyak + kata ganda

Ayat contoh:

  1. Kerajaan telah membanyakkan kemudahan-kemudahan di kawasan luar bandar.
  2. Kami menjumlahkan wang-wang bagi membeli buku yang dipesan oleh peserta bengkel.
  3. Pihak sekolah telah menghimpunkan murid-murid yang layak untuk menerima bantuan.
  4. Adik telah melambakkan barang-barang itu di atas meja sebelum dipilih untuk dijual.
  5. Kekurangan buku-buku ilmiah dalam bahasa Melayu di pusat pengajian tinggi perlu ditangani dengan segeranya.

Penerangan

  1. Kata kerja membanyakkan, menjumlahkan, menghimpunkan, melambakkan, dan kata nama kekurangan telah menunjukkan maksud jamak. Oleh itu, frasa nama yang hadir selepasnya tidak sepatutnya digandakan.
  2. Pembetulan bagi perkataan di atas ialah membanyakkan kemudahan, menjumlahkan wang, menghimpunkan murid, melambakkan barang, dan kekurangan buku.

E. Frasa nama + ber-…-an yang bermaksud jamak

Ayat contoh:

  1. Lampu-lampu neon bergantungan di sepanjang jalan di Dataran Merdeka.
  2. Mayat-mayat etnik Rohingya bergelimpangan akibat kekejaman tentera Myanmar.
  3. Kera-kera bergayutan di dahan kayu.
  4. Di langit kelihatan bintang-bintang bertaburan.
  5. Ayam-ayam berkejaran ketika Mak Minah menaburkan padi.

Penerangan

  1. Perkataan bergantungan, ber­gelim­pangan, bergayutan, bertaburan, dan berkejaran dalam ayat di atas telah pun mendukung maksud banyak/jamak. Oleh sebab itu frasa nama yang hadir sebelumnya tidak perlu digandakan
  2. Pembetulan bagi kesalahan frasa di atas ialah lampu neon bergantungan, mayat etnik Rohingya bergelimpangan, kera bergayutan, bintang bertaburan,dan ayam berkejaran.

Demikianlah sedikit banyak huraian tentang kesalahan yang sering dilakukan oleh kebanyakan pengguna bahasa. Kelaziman pengguna untuk menggandakan sesuatu perkataan yang telah pun mendukung maksud jamak perlulah dielakkan. Pengguna harus meneliti makna sesuatu perkataan terlebih dahulu sebelum menggandakannya. Makna sesuatu perkataan hanya dapat difahami dengan mudahnya jika pengguna sentiasa merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, tahun 2005, terbitan DBP. Dengan cara ini, penggunaan frasa yang lewah dapat diatasi. Diharapkan pengguna bahasa dapat memanfaatkan penerangan yang serba ringkas ini dalam usaha membina ayat yang betul, tepat, dan gramatis. Akhirnya, “Betulkan yang biasa, biasakan yang betul!”.