Migrain! - Sakit Kepala Luar Biasa


Pernah tidak ada satu hari, anda mengalami sakit kepala yang teramat disertai dengan rasa mual, muntah dan disertai dengan sensitif kepada cahaya? Saat itu anda rasakan ia cuma sakit kepala biasa sahaja. Tapi tahukah anda, itu adalah simptom-simptom migrain?

Rasa sakit migrain adalah jauh lebih sakit daripada sakit kepala biasa. Migrain boleh menyerang kanak-kanak, remaja dan orang dewasa.

Infografik beza antara migrain dan sakit kepala biasa

APA PUNCA MIGRAIN?

Migrain berlaku bila saluran darah mengembang atau melebar dan mengecut dengan cepat. Beberapa perkara penting yang menyebabkan fenomena ini berlaku adalah di sebabkan oleh faktor keturunan, perubahan hormon, tekanan emosi, persekitaran yang terlalu terang (matahari atau lampu), merokok atau terdedah kepada asap rokok dan sebagainya.

Terdapat juga beberapa jenis makanan yang dikatakan boleh mengakibatkan serangan migrain. Contohnya, terlalu banyak mengambil minuman berkafein, minuman beralkohol, makanan segera, makanan atau minuman yang mengandungi pemanis tiruan dan makanan tenusu yang mengandungi tyramine.

SIMPTOM MIGRAIN

Terdapat beberapa jenis simptom migrain yang tipikal. Awas! Jika anda mengalaminya, mungkin anda salah seorang penghidap migrain.

Rasa ngeri seperti ditusuk dengan jarum pada sebelah bahagian kepala sama ada kiri atau kanan sahaja. Namun, ia boleh melibatkan bahagian kepala yang lain kemudian merebak ke sekitar bahagian hidung dan mata.

  • Sakit kepala yang berdenyut-denyut.
  • Sakit yang berlanjutan daripada empat jam hingga ke 72 jam.
  • Tekak merasa loya, muntah dan kadangkala tangan dan kaki menjadi sejuk.
  • Pesakit akan terlalu sensitif terhadap sebarang bunyi atau suara.
  • Pandangan silau, kabur, kadangkala menjadi gelap.
  • Sakit di bahagian tengkuk.

BAGAIMANA UNTUK MENGATASINYA?

Migrain boleh dirawat dengan menggunakan ubat-ubatan iaitu ubat tahan sakit (pain killer) yang perlu diambil bila ia menyerang dan ubat-ubatan ini perlu diambil secara berterusan. Namun demikian pengambilan ubat tahan sakit yang terlalu kerap boleh menyebabkan berlakunya kerosakan terhadap buah pinggang.

Anda juga boleh cuba tip untuk meng­hilangkan migrain dengan mendapatkan rehat dan tidur yang secukupnya. Minum air lemon atau perahan limau untuk dapatkan kelegaan segera, dapatkan rawatan akupuntur, rendam tangan di dalam ais serta cuba bernafas dengan lebih efisien sambil menutup mata.

LANGKAH PENCEGAHAN

Mencegah itu lebih baik dari merawat. Sebelum terkena, mungkin anda boleh mengambil langkah percegahan seperti banyakkan minum air kosong, kurangkan pengambilan makanan segera, amalkan diet yang seimbang, ambil makanan yang kaya dengan magnesium, perbanyakkan senaman ringan dan elakkan diri daripada tekanan emosi atau stres.