Harapan Pelihara Martabat BM


Isu bahasa Melayu sentiasa dibangkitkan dalam kalangan masyarakat, terutamanya ahli bahasa. Isu yang lazimnya timbul ialah bahasa rojak ataupun bahasa rancu.

Kedudukan bahasa Melayu semakin hari dipandang remeh oleh penggunanya sendiri. Hal ini kerana peranan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di negara ini kian diganti oleh bahasa lain, terutamanya bahasa Inggeris. Sebagai contoh, bahasa Inggeris telah dipilih untuk dijadikan judul buku, jenama kereta tempatan dan sebagainya.

Begitu juga bahasa rojak ini akan menyebabkan kekeliruan bahasa kepada generasi akan datang, terutama murid. Kalangan orang dewasa bercakap soal mendaulatkan bahasa kebangsaan, tetapi mereka sendiri tidak mengamalkannya.

Generasi akan datang akan terkeliru untuk menggunakan bahasa yang sebenar dan sesuai diguna pakai dalam kehidupan seharian. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini pun murid sudah terbiasa mengikut trend bahasa rojak sekarang. Walaupun dasar memartabatkan Bahasa Melayu, memperkukuhkan Bahasa Inggeris telah dilaksanakan sejak 2003 lagi.

Jika isu penggunaan bahasa rojak tidak ditangani dari peringkat sekolah, dibimbangi sudah terlewat untuk memulihkannya kembali. Paling bahaya dikhuatiri bahasa Melayu akan menjadi sejarah pada suatu hari nanti kerana telah hilang identiti bahasa tersebut.

Kalangan guru, murid dan ibu bapa pasti tidak ingin ini berlaku. Kesan yang paling ketara adalah menyebabkan mutu bahasa Melayu baku sama ada lisan atau tulisan merosot.

Perkara ini dapat dilihat dalam bidang pendidikan khususnya dalam kalangan murid. Seandainya penggunaan bahasa rojak dan istilah baru ciptaan remaja tidak dibendung dengan meluas, lama-kelamaan bahasa rojak ini akan menjadi sebati kepada seseorang individu tersebut.

Murid akan turut terpengaruh untuk menggunakan bahasa-bahasa yang digunakan dalam perbualan dalam tugasan penulisan di sekolah. Dengan demikian, mutu bahasa dalam kalangan murid akan semakin menurun dan tidak mustahil sekiranya terdapat sekumpulan murid yang masih tidak mengenal apa itu pantun dan syair.

Bagi mengatasi masalah bahasa rojak ini, maka perlu langkah-langkah yang drastik diambil bagi memastikan pencemaran bahasa tidak berleluasa.  Dalam catatan blog guru di dalam internet banyak menggariskan langkah yang perlu diambil. Antaranya ialah guru-guru sendiri perlu lebih prihatin dalam mengajar bahasa Melayu kepada murid. Setiap kesalahan murid ketika menggunakan bahasa Melayu perlu diatasi dengan segera.

Aktiviti kebahasaan perlu sentiasa diadakan bagi memastikan kesalahan-kesalahan berbahasa boleh diperbetulkan. Ini akan mengurangkan kesalahan-kesalahan bahasa  dan sekali gus melahirkan pengguna bahasa yang betul.  Jangan benarkan murid menggunakan bahasa rojak dalam penulisan bagi semua subjek.

Di samping itu, murid sama ada  di peringkat sekolah rendah mahupun menengah perlu diingatkan jangan mudah mengubah bahasa Inggeris atau mana-mana bahasa asing menjadi bahasa Melayu atau `dimelayukan‘. Mereka perlu mengubah sikap yang menganggap bahawa bahasa Malaysia itu mudah dan boleh `dirojakkan‘.

Guru perlu menasihatkan murid supaya sentiasa peka terhadap perkembangan bahasa Melayu serta meningkatkan pengetahuan mereka dalam bidang bahasa ini. Paling penting, murid perlu digalakkan sentiasa menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Untuk tujuan memantapkan penguasaan bahasa Melayu murid perlu banyak membaca buku, majalah dan bahan bacaan yang tulis dalam bahasa Melayu dan seterusnya dapat meningkatkan pengetahuan mereka dalam bahasa.

Di samping itu, penggunaan bahasa rojak yang mencemarkan bahasa Melalui dalam media sosial dan internet bagaikan satu usaha yang sukar untuk disekat dan dikawal. Guru peringatkan murid tentang bahasa rojak di dalam radio, televisyen dan filem dan nasihatkan kepada mereka supaya boleh mendengar dan menonton tetapi jangan ikut kekeliruan yang diketengahkan.

Atas nama keuntungan dan perniagaan, agensi pengiklanan tidak mengambil peranan untuk menyekat iklan-iklan dalam bahasa Melayu yang menyalahi tatabahasa akibat daripada terjemahan yang salah.

Oleh itu peranan guru terutamanya guru subjek Bahasa Melayu dan guru Bahasa Inggeris di sekolah hendaklah diperkasakan. Guru-guru perlulah mengubah sikap murid yang suka berkomunikasi menggunakan bahasa rojak secara lisan mahupun WhatsApp atau Facebook, dan Twitter.

Pencemaran bahasa akibat penggunaan bahasa rojak ini merupakan suatu isu yang semua pihak menyedarinya tetapi sukar untuk menangganinya. Namun, jika pihak-pihak yang bertanggungjawab menjalankan tugas dengan penuh teliti dan kerap, tidak mustahil bahasa kita akan menjadi bahasa antarabangsa yang berada di tahap terpenting khususnya dalam bidang pendidikan dan perniagaan.

Oleh itu, kepada guru, murid dan ibu bapa disandarkan harapan supaya sama-sama bertanggungjawab untuk menjaga martabat bahasa kebangsaan. Semua peringkat masyarakat harus dididik dan sedar untuk menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, sebutan, dan tatabahasa bahasa Melayu.