Cerpen:Liku-Liku Perjalanan


Pagi itu cuaca agak dingin.Hujan telah membasahi bumi Ketengah pada malam hari.Tanah masih berlecah.Jalan berliku menuju ke sekolah itu kini berselut.Sudah seminggu cuaca sebegini melanda.Biasanya, apabila daerah ini didatangi hujan dua atau tiga hari berturut-turut,suasana pagi dilitupi kabus tebal.Sungguh dingin dan nyaman.

Memang begitulah keadaannya, apabila musim hujan, murid-murid datang agak lewat ke sekolah.Mungkin ada kaitannya dengan kedinginan yang mencengkam.Bagi murid yang datang berjalan kaki,kasut mereka dicomoti tanah selut kuning.Ada juga yang menggunakan selipar.Itulah padahnya jika kasut diletakkan ditangga rumah semalaman.

Cikgu Badrul membelek diari hariannya dan menandakan tarikh untuk diadakan mesyuarat panitia. Kemudian dia bergegas ke bilik darjah Satu Cempaka.Cikgu Badrul melangkah dengan pantas,maklumlah cikgu muda dan bersemangat.Kehadirannya di dalam bilik darjah disambut dengan ucapan salam secara serentak oleh anak muridnya.

“Salman, tolong buka lampu.Saya tidak nampak awak semua,”Cikgu Badrul bersuara. Bilik kelas itu yang ketiga di aras bawah.Cuaca yang redup membuatkan kelas itu agak gelap.Salman segera bertindak, tubuhnya yang agak tinggi memudahkannya mencapai suis lampu.

“Opi mana?” tanya Cikgu Badrul mengharap sesiapa yang tahu.Biasanya kelibat anak murid yang dianggap istimewa itu sentiasa berlegar dalam bola matanya.Opi tidak duduk diam. Ada saja kerenahnya.Pantang cikgu tiada di dalam kelas, dia akan mengusik rakan sekelas.Paling tidak pun, dia akan meninggalkan kerusinya untuk mengintai suasana di luar kelas.Tiada yang menjawab. Cikgu Badrul meninjau di luar tingkap.

“Opi masih tidurlah cikgu,”Atikah bersuara. Atikah jiran Opi,mungkin dia mudah mengetahui keadaan Opi di rumah.Sudah dua hari Opi tidak hadir.Mungkin demam lagi, Cikgu Badrul meneka dalam hati.

Ahmad Shaufi, itulah nama yang ada dalam benak Cikgu Badrul apabila mengenangkan kerenah anak muridnya.Murid ini istimewa. Bukan kerana kecerdikannya atau kerajinannya.Shaufi ialah anak murid hiperaktif.Dia sering bertindak luar kawalan dan kadangkala mengganggu rakan lain. Ramai yang tidak selesa berkawan dengannya malah Shaufi sendiri lebih suka bersendirian.

“Cikgu, Ahmad Shaufi ini, saya letakkan dalam kelas cikgu buat sementara waktu sahaja. Oleh sebab ibunya baru meninggal,bapanya pula terpaksa ke ladang setiap pagi. Bapanya beritahu,Shaufi ni agak nakal. Saya harap cikgu boleh uruskannya,” pinta Guru Besar memohon komitmen.

“Saya akan ambil tanggungjawab ini cikgu,” ringkas jawapan Cikgu Badrul. Jawapan itu penuh dedikasi dan penuh kebertanggungjawaban.Sikap yang menerbitkan rasa bangga guru besar terhadap cikgu muda ini.Bahkan penduduk kampung turut memperkatakan tentangnya.

“Saya amat bangga melihat Cikgu Badrul. Boleh dikatakan berjaya juga dia mendidik Shaufi,anak Che Soh itu. Sedikit pun tidak merungut bila mendapat tugas,”puji Ustaz Ismail kepada imam dan ahli jawatankuasa masjid ketika minum petang setelah selesai bermesyuarat. Ustaz Ismail yangmengajar di sekolah yang sama dengan Cikgu Badrul merupakan Guru Penolong Kanan Hal-Ehwal Murid.

“Ya, saya lihat juga cikgu ini sering datang bersolat Maghrib dan Isyak di masjid kita.Peramah orangnya,” tambah bilal.

“Dengar cerita Cikgu Badrul itu cikgu baharu, susah juga hendak mengajar anak Che Soh seorang tu.Bolehkah cikgu muda itu uruskan?” Pak Imam bersuara minta kepastian.

“Saya lihat Che Soh sendiri tidak sanggup melayan Si Opi itu,” celah Syukur,setiausaha masjid. “Hari ini pun, Che Soh dah dua kali tidak dapat hadir dalam mesyuarat kita,”tambahnya sambil jari-jarinya mengusap janggut.

Melihat situasi tampak melencong, Pak Imam menyampuk“Si Che Soh itu kan baru kematian isteri. Ada banyak urusanlah dia nak buat. Yang dulu itu pun sibuk ke hospital sebab isterinya sakit.”

“Setakat ini saya lihat Cikgu Badrul dapat jalankan kerja dengan baik sekali.Si Opi itu saya lihat tidak pula timbulkan masalah besar.Memanglah pada mulanya rasa kekok cikgu muda itu urus murid macam itu.Masalahnya,Si Opi itu yang lasak tak bertempat.Sudahlah orang tidak faham apa yang dicakapkannya,sekolah itu dibuat macam rumah dia sahaja.Hendak masuk kelas, hendak keluar kelas ikut suka hati dia sahaja,” jelas Ustaz Ismail.

“Jarang ada cikgu lelaki yang lembut dan sabar dengan budak-budak bermasalah macam Opi itu.Kalau nak banding dengan saya ini, memang cepat-cepat saya mengalah.Cepat sangat suara dan tangan naik jika geram dengan anak-anak yang nakal atau tidak dengar kata.Lainlah kalau nak banding dengan Si Syukur yang penyabar orangnya,” gurau Ustaz Ismail sambil menjeling kepada Syukur yang sedang mengetap bibir.Yang lain ketawa serentak tanda geli hati melihat gelagat kedua-duanya yang kemudian saling tersengih selepas itu.

Tengah hari itu Cikgu Badrul tidak turun ke kantin.Ada kerja yang perlu diselesaikan segera.Surat panggilan mesyuarat perlu disiapkan dan diedar lebih awal.Biasanya masa sebegini dia akan berada di kantin bersama rakan-rakan guru. Di samping menghilangkan dahaga setelah sepagian mengajar, guru-guru akan berbual-bual menceritakan apa sahaja isu.

Ketika sedang asyik membuat kerja, suara murid-murid agak riuh diluar.Cikgu Badrul memberhentikan kerjanya.Dia memasang telinga.Suara riuh semakin jelas. Beberapa orang guru perempuan yang ada di bilik guru bangun serentak dan beredar ke koridor bangunan.Wajah mereka kelihatan penuh tanda tanya.

Cikgu Badrul bangun. Dia cuba mengundurkan kerusinya ke belakang sebelum berdiri dari tempat duduk.Dia melihat Cikgu Salim berlari ke arahnya.Wajahnya cemas.

“Cikgu Bad, Cikgu Bad,” Cikgu Salim memanggil sambil berlari.“Ya, ya, ya,” Cikgu Badrul tertanya-tanya.Dia juga mula berasa cemas.Apa yang berlaku masih belum diketahuinya namun dia faham bahawa situasi memang mengejutkan.

“Cikgu Bad,Opi Cikgu Bad,Shaufi Cikgu Bad,” suara Cikgu Salim tergetar.

“Aduhai Opi,” bisik hati Badrul.Cikgu Salim memberi isyarat agar Cikgu Badrul mengekorinya.Badrul faham dan secara spontan juga dia berlari anak mengekori Cikgu Salim.Fikirannya masih tertanya-tanya.Dadanya berdegup kencang. “Apa yang terjadi?” tanya Cikgu Badrul.

Cikgu Salim tidak menjawab bahkan semakin cepat berlari.Badrul terus mengekori menuruni tangga. Seolah-olah kakinya tidak memijak ke bumi. Suasana riuh semakin terdengar kuat.

Murid-murid dan guru dilihatnya sedang mengerumuni sebuah kereta putih.Di situ, terdapat Guru Penolong Kanan Satu dan beberapa guru yang lain sedang berdiri dan berbincang sesuatu.Dua tiga yang lain sedang memarahi murid-murid agar tidak mendekati kawasan tersebut.Suasana amat kelam kabut.

Cikgu Badrul kini telah memintas Cikgu Salim yang tubuhnya agak berisi itu.Kawasan itu semakin dihampiri.Jelas dilihatnya beberapa orang guru dan pekerja sekolah sedang menahan kereta tersebut daripada tergelongsor jatuh kebawah cerun.Hati Badrul terus berdegup kencang.

“Cikgu Bad, Cikgu !” Tempik Cikgu Wan Abdul Wahab, Guru Penolong Kanan Satu.

“Tolong Cikgu Bad, tolong saya.Kereta saya ini,Shaufi buat hal ni,”terputus-putus suara Cikgu Wahab meminta tolong.

Di dalam kereta putih itu,Opi sedang kuat memegang stereng.Wajah menyeringainya menandakan dia amat seronok.

“Macam mana boleh jadi begini cikgu?”

“Saya yang silap.Kunci kereta tidak sedar tertinggal dalam kereta.Masalahnya,Si Shaufi ini sudah menekan semua butang pintu,”keluh Cikgu Wahab.

“Saya risau kalau dia cuba menghidupkan enjin kereta sebab kunci ada di situ,”tambahnya.

“Puas dipujuk. Puas disuruh Si Shaufi tidak mahu juga keluar,Cikgu Bad,” sampuk Cikgu Salim pula yang baru sampai sambil termengah-mengah.

“Kita kena cepat bawa Opi keluar,dia sudah tarik handbreak.Kereta sudah mula menggelongsor menuruni cerun,” jerit pekerja sekolah yang berada di depan kereta.

Cikgu Badrul mengetuk cermin kereta beberapa kali.Semua cermin kereta diketuknya.Nama Shaufi dipanggil agak kuat.Yang lain turut meneriak. Ada juga menepuk kereta putih itu dengan keras tanpa menyedari tuan kereta tersebut turut berada di situ berkerut dahi dan menggaru-garu kepala tanda serba salah.

Wajah Shaufi gembira sahaja.Seolah-olah tiada keributan langsung.Wajah gembira itu membuat sesiapa sahaja tidak ketahuan dan semakin buntu.Tubuh kecil di dalam kereta itu terlompat-lompat memegang stereng seperti sedang memandu gaya pelumba kereta.Ke kiri dan ke kanan stereng itu dipulasnya.Setiap kali itu juga beberapa orang di hadapan kereta menahan kereta itu daripada terus mengelongsor.

“Tambah lagi batu pada tayar depan itu!” seorang guru lain bersuara.Suasana semakin panik.

Cikgu Badrul mengurut dada.Kumat-kamit bibirnya berselawat mencari ketenangan.Juga mencari ilham agar terbuka jalan dalam keadaan secemas itu.Pada ketika itu juga Cikgu Badrul menyedari jam di tangannya sudah menunjukkan waktu tengah hari.Kebiasaannya sebelum pulang sekolah,cikgu muda itu akan membelikan Opi beberapa batang keropok lekor goreng.Opi sangat menyukainya.

Cikgu Badrul berlari ke kantin.Dia mengambil beberapa batang keropok lekor dan mengisinya kedalam plastik kecil. Dibubuhnya sekali kuah colek berwarna merah cair. Mak cik kantin sudah memahaminya kerana dia tahu keropok itu untuk Opi. Badrul bergegas kembali ke kereta putih.

Keropok di dalam plastik kecil itu digoyang-goyangkan di tepi cermin kereta putih.Tangan kiri Cikgu Badrul pula tidak berhenti mengetuk-ngetuk cermin tingkap.Nama Opi dipanggil berkali-kali.Dipanggilnya dengan kuat dan disebut dengan nada panjang.

Opi berpaling. Dia melepaskan stereng kereta. Tangannya ingin mencapai keropok yang digoyang-goyangkan itu.Wajahnya ceria.Jelas, dia begitu gembira dengan pemberian cikgu kesayangannya itu.

“Opi, buka pintu ini,” pinta Cikgu Bad.

“Opi, buka sayang,” pujuknya lagi.

Opi gelisah.Telapak tangannya melekap di cermin tingkap yang tertutup rapat.Dia mahu menurunkan cermin itu dengan telapak tangannya.Hanya tangannya menggelungsur jatuh.Dia cuba lagi.Gagal.

Dalam pada itu,ada juga suara guru yang agak keras meminta Opi menarik butang pada pintu kereta yang telah separuh terbenam.Ada juga yang mencadangkan supaya dipecahkan sahaja salah satu cermin tingkap kereta tetapi cadangan itu tiada sesiapa yang berani menyokong.Cikgu Wahab hanya mendiamkan diri.

Cuaca panas di ruang parkir itu semakin terasa.Semua bimbangakan nasib Opi yang sekarang sudah lencun bajunya dibasahi peluh. Keadaan kian bising.Semakin ramai murid berkumpul di luar kelas memerhati dari jauh.Kebanyakan guru pula berada di tempat kejadian kerana turut membantu menahan kereta daripada terus menggelungsur.

“Sudah beberapa kali saya tunjukkan butang pintu itu, tetapi tidak juga difahami oleh Si Opi Cikgu,” keluh Cikgu Badrul kepada Guru Besar.

“Nampaknya masalah kita ini makin rumit,” Guru Besar menggaru-garu kepalanya.

Di dalam kereta,Opi mula menangis.Mulutnya menyebut “Ekgu, ekgu” beberapa kali.Panggilan itu untuk cikgu kesayangannya.Cikgu Badrul buntu.Dia juga cuba menekap kedua-dua telapak tangan ke cermin untuk menurunkannya namun tidak berhasil.

Opi menangis semakin kuat namun suaranya tenggelam dalam ruang kereta.Mulutnya mencebik sedih seolah-olah manusia di luar yang mengurungnya.Dia seperti keliru.Tangannya masih menekap di cermin.Air mata tidak berhenti mengalir.

Dalam suasana kelam kabut itu,Cikgu Salim menghampiri kereta putih Cikgu Wahab.Tangan kanannya dibaluti tuala.Dia bergerak mengelilingi kereta.Aksinya itu menunjukkan dia sedang memilih cermin tingkap untuk dipecahkan.Lagak Cikgu Salim mendebarkan semua orang di situ.

“Betul Cikgu Wahab? Saya pecahkan, ya?” tanya Cikgu Salim mohon kepastian daripada tuan kereta.

Daripada soalan itu,Cikgu Badrul yakin Cikgu Wahab sudah pun memberikan keizinan kepada Cikgu Salim untuk bertindak.

“Jangan guna tangan cikgu,”tegah Pak Mat,pengusaha kantin yang turut berada di situ. “Kita guna besi pembuka nat tayar baru tangan tak luka,” jelasnya lagi.

“Ya, ya. Betul juga tu,” sokong Guru Besar.

 

Pengalaman ini disimpan dalam kenangan,dikepal dalam ingatan.Opi adalah umpama hadiahpaling bermakna kerana menguruskannya telah mengajar erti ketabahan.

 

Tugas mengetuk cermin diserah kepada Pak Mat. Pak Mat memilih cermin sisi yang kecil sebelah kiri.Besi pendek yang diambil dari bonet kereta Guru Besar di tangan Pak Mat kini.Hayunan pertama tidak meninggalkan apa-apa kesan.Mungkin terlalu berhati-hati dan menghormati tuan kereta yang turut memerhati dari dekat.Pak Mat mengangkat tinggi tangannya.Besi pendek itu digenggam erat.Giginya dikacip.Urat leher dan katupan bibir Pak Mat melambangkan kesungguhan.Pak Mat begitu nekad.Ada antara yang ada di situ menutup kedua-dua telinga seolah-olah ada sesuatu akan meletup.

Besi pendek bercekok itu tepat menghentam cermin sisi kereta.Bunyi kaca pecah berderai menguasai ruang.Semuanya mematikan diri menyaksikan peristiwa di luar jangkaan itu.Sisa-sisa cermin yang masih melekat ditepi bingkai dibersihkan dengan besi itu juga. Kemudian,tuala di tangan Cikgu Salim dihamparkan di tepi bingkai tingkat kecil.Pak Mat memasukkan lengan dan jarinya mencapai butang pintu. Pintu dibuka.Sorakan dan tepukan gemuruh bergema seperti penonton selesai menonton pertunjukaan yang hebat.Itu berlaku secara spontan.

Opi tersengeh ketika Cikgu Badrul memimpinnya keluar dari kereta.Dia seperti pelakon hebat yang turun dari pentas.Semua yang ada di situ menunjukkan reaksi bercampur baur antara suka,sedih, lucu,simpati dan tidak kurang juga yang geram.Cikgu Badrul menyerahkan plastik kecil itu kepada Opi dan Opi mengambilnya sambil berlalu seperti tiada apa yang berlaku.Itulah Opi.

Bapa Opi berlari anak mendatangi kawasan parkir.Mungkin ada yang menyampaikan kejadian tadi kepadanya.Langkahnya sekejap deras sekejap perlahan.Matanya meninjau-ninjau.Dia masih cemas.Namun setelah terpandang Opi yang telah bersama beberapa rakannya menuju ke kelas,barulah wajahnya kembali tenang.Dia mengeluh panjang.

Guru Besar menemuinya. Ada sesuatu yang diperkatakan. Cikgu Wahab turut sama. Kemudian mereka bergerak bersama ke bangunan pentadbiran. Dalam pada itu,sempat juga bapa Opi mengangkat tangan kepada Cikgu Badrul.Wajahnya tersenyum manis.

Dia tahu, orang tua itu menghargai atas keperihatinannya terhadap anaknya yang tiada dosa itu selama ini.

Cikgu Badrul mendapat khabar Opi akan menerima rawatan khas dan akan ditempatkan di sekolah lain.Dia sedar, mungkin sudah tiba waktunya Opi berpisah dengannya.Dia sudah berusaha hingga saat yang mencemaskan itu. Bukan Opi sahaja,bukan sekolah ini sahaja,jika amanah yang sudah diberikan,dia pasti melaksanakannya dengan sedaya mungkin.Itu sudah janjinya.

Pengalaman ini disimpan dalam kenangan,dikepal dalam ingatan.Opi adalah umpama hadiah paling bermakna kerana menguruskannya telah mengajar erti ketabahan.Cikgu Badrul sedar,di hadapannya sentiasa terbentang liku-liku perjalanan yang pasti dijejakinya sebagai insan bergelar guru. Dia perlu belajar membina benteng tabah. 


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan