Sebutir Coklat Sehampar Kenangan


Aku belajar di sebuah sekolah pedalaman yang agak terpencil dalam satu daerah.Aku sangat gembira apabila dapat bertemu semula dengan kawan-kawanku setelah cuti akhir tahun berlalu dan hari pertama persekolahan bermula.

 Aku berada dalam Tingkatan 3A.Setelah tiga hari kelas bermula,kelas kami didatangi oleh seorang guru baharu.Dia seorang guru wanita yang cantik dalam lingkungan umur dua puluhan.

Orangnya tinggi lampai,berkulit putih,dan berambut panjang.Dengan nada suara yang lembut dia memperkenalkan namanya Cik Norzaini.Aku terpaku melihatnya.Dia memang cantik dan pada aku dialah satu-satunya guru yang cantik yang pernah mengajar di sekolahku.Sejak mula kehadiran Cik Norzaini,hampir semua kawan-kawanku yang perempuan sering bercerita tentang kecantikannya.

Cik Norzaini mengajarkan subjek Bahasa Inggeris di kelasku. Suaranya lembut tetapi jelas,wajahnya ceria dan dia menggunakan pelbagai teknik dalam pengajarannya. Kelasku menjadi riuh dan sangat ceria setiap kali Cik Norzaini mengajar.

Aku dan kawan-kawanku sangat gembira dan setiap hari kami seolah-olah tidak sabar menantikan kemunculan Cik Norzaini ke dalam kelas. Jika sebelum ini aku tidak berminat untuk belajar Bahasa Inggeris,namun dengan strategi pembelajaran yang pelbagai aku sudah mula menyukai subjek ini.

Masih kuingat,Cik Norzaini meminta kami membuat beberapa kumpulan yang terdiri daripada lima orang murid dalam setiap kumpulan.Setiap kumpulan diberikan tugasan seperti berpidato,bercerita,berlakon, dan berpuisi.Kami mempunyai autonomi untuk menentukan ahli jawatankuasa dan objektif tugasan kumpulan.

Masih kuingat,satu teknik pembelajaran Bahasa Inggeris yang sangat berkesan bagiku yang diajukan oleh Cik Norzaini ialah “LEARN A WORD A DAY”.Teknik inilah inilah yang menyebabkan aku mula tahu menggunakan kamus dan ensaiklopedia. Setiap kali ingin memulakan pengajarannya,kami diminta menyebutkan satu perkataan dalam Bahasa Inggeris serta memberikan maksud perkataan tersebut.

Jika sebelum ini aku sangat kurang pasti tentang cita-citaku,namun dengan kehadiran Cik Norzaini aku mula memasang angan-angan menjadi seorang guru seperti Cik Norzaini.

Aku masih ingat, pada suatu pagi,Cik Norzaini masuk ke kelas kami dengan membawa sebiji bola.Dia meminta kami mengikutinya berjalan beramai-ramai ke tengah padang.Aku sangat gembira kerana aku fikir kami akan bermain bola jaring.

Apabila sampai di padang kami diminta berdiri dalam satu bulatan dan dia berdiri di tengah-tengah bulatan itu.Dia mengarahkan,“sesiapa yang menangkap bola ini harus menyebutkan satu ayat penyata atau ayat tanya dalam Bahasa Inggeris”.Aku sangat gembira.Kelas menjadi riuh dan ceria.Kami berfikir dengan sangat aktif dan kreatif.Pada akhir sesi, beberapa orang murid yang menjawab dengan cemerlang diberikan hadiah. Aku salah seorang daripada mereka. 

Hadiahnya kecil sahaja mungkin sebutir gula-gula yang diikat dalam satu bungkusan kecil. “Aku akan simpan hadiah ini dan akan kubuka apabila pulang ke rumah nanti,”fikirku.

Apabila aku mula merebahkan diri untuk tidur aku teringat akan hadiah yang diberikan oleh Cik Norzaini pagi tadi.Lantas aku mengambilnya,lalu membukanya.Wah! Cantiknya bungkusan itu.Ia sebutir coklat yang cantik bentuknya.Aku tidak pernah melihat coklat seperti itu di mana-mana kedai dikampungku.

Tidak terfikir pula olehku untuk berkongsi coklat itu dengan adik-adikku.Mereka pun sudah tidur fikirku.Aku menikmati coklat itu seorang diri.Hmm…sungguh lazat.Inilah coklat yang terlazat yang pernah aku nikmati.Bagiku inilah hadiah terindah yang pernah kuterima daripada seorang guru.

Seiring dengan berlalunya waktu-waktu persekolahanku dan aku juga semakin meniti usia dewasa,cita-citaku untuk menjadi seorang guru semakin jelas. Aku berjanji pada diriku bahawa jika ditakdirkan pada suatu masa aku menjadi seorang guru aku akan sentiasa menghargai dan menyayangi murid-muridku.Aku harus memberikan penghargaan kepada mereka dan memberikan hadiah sebagai tanda penghargaan itu walaupun hadiahnya hanya sebutir coklat.

Masih kuingat semasa aku belajar di universiti dulu,seorang pensyarah Psikologi Pendidikan pernah menyebut bahawa perbuatan memberikan hadiah kepada seseorang murid walaupun hadiah itu berupa sebatang pensel,ia merupakan satu teknik ‘belaian fizikal’ yang seterusnya akan berubah menjadi ‘belaian spiritual’, ‘belaian mental’, atau ‘belaian emosi’.Bagiku,manfaat daripada penghargaan dan pemberian daripada seseorang guru kepada seseorang murid merupakan penawar jiwa sepanjang hidup mereka.

 

“SELAMAT HARI GURU 2018”

“GURU PEMACU TRANSFORMASI PENDIDIKAN”