Saling Berhubung Kelas Menerusi FROG Mengguna Google Hangout & Skype


Ledakan teknologi maklumat yang dinamakan internet telah mewujudkan satu medan interaktif yang membolehkan manusia dari hampir semua negara di seluruh dunia berhubung melalui rangkaian sistem telekomunikasi tanpa mengira sempadan geografi.Dalam masa yang singkat,penggunaan internet semakin terserlah kesan daripada perkembangan kaedah pembelajaran secara terbuka dan dari jarak yang jauh.

Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi telah banyak mempengaruhi budaya kehidupan masa kini.Dalam bidang pendidikan khususnya, pengaplikasian teknologi ini dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran(PdP) seperti melalui teknik atau pendekatan pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc)telah memberikan satu anjakan baharu dalam teknik pedagogi guru.

Beberapa penyelidikan lepas telah membuktikan bahawa penggunaan teknologi telah dapat merevolusikan teknik pengajaran guru,kaedah murid belajar,dan secara keseluruhannya cara pendidikan dikendalikan sesuai dengan era digital masa kini.

Pertemuan di ruang maya mungkin berlaku secara sinkroni yakni masa yang sama atau disebut juga masa sebenar (real-time) ataupun asinkroni iaitu pada masa yang tidak sama atau bukan masa sebenar.

Perbincangan dan pertemuan antara ahli komuniti secara sinkroni adalah seperti melalui ruang sembang (chat room),persidangan video (video conference) dan seumpamanya.Manakala pertemuan secara asinkroni di ruang maya adalah seperti komunikasi melalui e-mel, forum,bulletin boards,massage board,group discussion,dan seumpamanya.Semuanya bertujuan untuk membincangkan sesuatu isu yang mempunyai kepentingan bersama seperti isu alam sekitar,kesihatan,pendidikan,kepercayaan dan sebagainya.

Frog Connected Classroom merupakan suatu kemudahan pembelajaran maya (virtual learning) tanpa sempadan yang menggunakan platform Frog VLE bagi menyampaikan bahan pembelajaran yang disediakan oleh guru untuk dikongsikan kepada murid sama ada di sekolah guru itu sendiri mahupun di sekolah yang berlainan.

Bahan PdPc yang disediakan ini boleh diakses oleh murid dari sekolah-sekolah yang berlainan untuk belajar secara bersama-sama secara maya dibantu dengan aplikasi Google Hangout atau Skype sebagai medium sebagai medium persidangan video melalui sambungan internet.

 Guru membimbing murid menjalankan aktiviti yang sama di antara dua buah sekolah yang berlainan.

Terdapat pelbagai takrifan tentang pembelajaran maya dan ia berubah-ubah mengikut perspektif di mana pembelajaran maya tersebut dilaksanakan.Pembelajaran maya juga sering dikaitkan dengan istilah-istilah atau konsep lain seperti e-pembelajaran,pembelajaran secara atas talian (on-line learning), pembelajaran jarak jauh,pembelajaran berasaskan laman web (web based learning) dan sebagainya.

Saya berpendapat bahawa pembelajaran maya adalah pembelajaran yang berasaskan penggunaan internet.Ini adalah kerana istilah pembelajaran maya itu sendiri mula digunakan seiring dengan perkembangan teknologi internet.

Pembelajaran maya adalah satu corak menyampaikan ilmu dan mendidik menggunakan pendekatan penyampaian pengajaran bertujuan membolehkan berlaku perubahan kekal dalam diri seseorang individu dari segimental,pemikiran, konsep,sikap dan perlakuan melalui pengalaman yang tertentu menggunakan suatu sistem atas talian (online)yang menguruskan pembelajaran,membekalkan mekanisme penghantaran pengetahuan dan maklumat,serta menyediakan sistem pemantauan prestasi,penilaian dan pencapaian murid kepada sumber PdP dengan pantas.

Sidang video online membolehkan sesi PdPc berjalan secara bersemuka walaupun berada ditempat yang berlainan.

Menyanyi merupakan unsur didik hibur yang boleh dijadikan set induksi ketika PdPc.

Penggunaan media sebagai alat bantu PdP bukan sahaja dapat menarik minat murid untuk mengikuti proses PdPc dengan lebih baik,tetapi juga mampu membantu meningkatkan pemahaman murid dan memudahkan pendidik menyampaikan ilmu.

Penggunaan teknologi sidang video misalnya didapati dapat menarik minat murid untuk belajar dengan lebih baik dan bersemangat.

Penggunaan teknologi berkenaan dalam proses PdPc mempunyai hubungan secara langsung dengan konsep penggunaan teknologi maklumat dalam pendidikan kerana ia membantu mendekatkan perhubungan antara murid dengan guru serta murid lain di lokasi yang berlainan.

Antara aplikasi sidang video yang popular pada masa kini ialah Google Hangout dan Skype.Kedua-duanya merupakan antara aplikasi media sosial yang ada di internet dan menjadi kemudahan bagi pengguna internet untuk berkomunikasi secara maya sama ada melalui panggilan suara (voice call), sidang video (video call) atau bersembang (chat).

Untuk menjayakan Frog Connected Classroom,guru boleh menggunakan Google Hangout ataupun Skype,komputer atau komputer riba (laptop), kamera web (webcam), paparan (monitor),projektor LCD dan mempunyai akses yang baik kepada jaringan internet.Semua sekolah yang terlibat dengan Frog Connected Classroom ini juga perlu mempunyai peralatan seperti tersebut.

Seiring perkembangan teknologi digital yang menjadikan maklumat seolah-olah berada di hujung jari dan dunia ibarat tanpa sempadan,guru-guru sudah semestinya perlu mengambil inisiatif dalam meraikan kejayaan membolehkan kaedah pembelajaran rentas sempadan dengan sangat mudah kini.Pada masa dahulu kaedahnya sangat sukar kerana banyak kekangan malah hampir mustahil.

 Sesi penilaian PdPc juga dilakukan secara online dengan mengadakan kuiz secara online,dimana semua murid boleh menjawab kuiz tersebut dan melihat ranking mereka masing-masing selepas menjawab kuiz.

Laman pembelajaran yang sama boleh diakses serentak oleh murid di kedua-dua buah sekolah.

Kini Frog Connected Classroom melalui sidang video dapat menghubungkan semua bilik darjah di seluruh negara dan dunia untuk mempamerkan bagaimana teknologi ICT boleh digunakan kearah banyak perkara yang positif termasuk dalam meningkatkan pengalaman pembelajaran serta menjadi saluran untuk saling bertukar idea dan pandangan.

Antara manfaat penting dalam pendidikan termasuk membolehkan murid mengetahui mengenai dunia luar dengan nyata melalui pelbagai kaedah dalam usaha memahaminya berbanding murid zaman dahulu yang sekadar mampu membayangkannya.Faktor jarak kejauhan kini bukan lagi halangan untuk murid belajar tentang globalisasi dan lebih memahami komuniti antarabangsa dengan dibantu oleh teknologi ICT.

Teknologi kini disifatkan bertanggungjawab menjadikan dunia semakin mengecil manakala jaringan rangkaian perhubungan juga semakin meluas hinggakan jarak jutaan batu bukan lagi penghalang untuk manusia berkomunikasi.

 

 Murid dapat mengemukakan idea, pendapat dan jawapan mereka kepada murid di sekolah lain dan boleh berbincang secara “live” untuk mengupas sesuatu isu.

 “PdPc secara maya ini menggalakkan muridl ebih fokus dan aktif mengambil bahagian dalam pembelajaran.Murid menunjukkan lebih keyakinan dalam mengembangkan kemahiran dan menunjukkan daya saing secara sihat.”Zanariah Mohd Idris, 37, GuruMatematik SK Ampangan,Negeri Sembilan.

“Saya amat teruja untuk belajar dengan murid-murid di sekolah yang lain dan berkomunikasi dengan orang lain dari seluruh dunia.Walaupun dipisahkan oleh jarak yang besar,saya tetap dapat belajar budaya mereka,” Nur Najwa Ramli,12,murid SK Bendang Pauh,Pasir Mas, Kelantan.

 

Saya berpandangan,dunia moden hariini membuka peluang baharu yang cerah untuk murid, kerana mereka dapat menggunakan dan memanfaatkan teknologi abad ke-21 bagi memberi kuasa kepada proses pembelajaran mereka.Setakat ini saya telah menjalankan empat sesi Frog Connected Classroom iaitu:

✔ SK Raja Bahar Kota Bharu,Kelantan & SK Ampangan,Negeri Sembilan(PdPc Matematik NomborBulat)

✔ SK Raja Bahar Kota Bharu,Kelantan & SK Kinabutan BesarTawau, Sabah,(Kuiz Kemerdekaan Online)

✔ SK Raja Bahar KotaBharu, Kelantan & SK Bendang Pauh Pasir Mas,Kelantan(Permainan Bahasa)

✔ SK Raja Bahar Kota Bharu,Kelantan & SMK Kubang Kerian,Kota Bharu, Kelantan(PdPc Cybersafe)

Frog Connected Classroom ini membolehkan murid saya belajar bersama-sama murid di sekolah yang berlainan.Semua murid didapati menunjukkan sikap yang aktif ketika sesi Frog Connected Classroom berlangsung kerana masing-masing ingin menonjolkan diri kepada murid sekolah yang lain.Murid saya juga dapat mempelajari sesuatu dengan guru di sekolah lain.Sesi perkongsian ilmu di ruang bilik darjah tanpa sempadan ini telah memberikan suasana pembelajaran yang baharu pada abad ke-21 ini.

• Penulis ialah penerima Anugerah Gold Advocate, Frog asia dan Guru Cemerlang Matematik.