Ekspedisi ‘Tran Slim’ Uji Skil Pendakian


Misi pengembaraan untuk menjejakkan kaki ke Trans Slim melibatkan pendakian empat puncak iaitu Gunung Liang Timur, Gunung Liang Barat, Gunung Tumang Batak dan Gunung Chondong Gelinting. ‘Tran Slim’ adalah pendakian naik ke empat buah gunung dan turun tidak menggunakan trek pendakian yang sama iaitu melalui jalan yang berbeza.

Sasaran peserta adalah untuk sampai ke puncak Gunung Chondong Gelinting yang berketinggian 1,829 meter dari aras paras laut.Puncak gunung ini terletak di atas laluan sempadan antara Slim River di Perak dan Raub di Pahang.Pendakian ini menarik kerana gunung ‘tran slim’ sangat jarang dinaiki oleh pendaki sama ada dari dalam atau luar negara.Jadi,pendakian ini secara peribadi penulis merasakan satu pengalaman pendakian yang sangat eksklusif dan berkategori “rare”.

HARI PENDAKIAN

Ekspedisi yang dianjurkan oleh Mountain Adventure Group ini disertai oleh 16 orang peserta bersama seorang pemandu arah dari Persatuan Malim Gunung Malaysia(PMGM).Perjalanan hari pertama pendakian bermula seawal pukul sembilan pagi dari Dem Sungai Dara menuju ke Kem Side Lubuk Hantu.Perjalanan tidaklah begitu mencabar kerana keadaan permukaan jalan yang ‘leisure’ dan mudah. Ketika ini kami semua masih boleh bergambar,tersenyum dan mampu bergelak tawa.Laluan trek yang mendatar di sepanjang jalan menuju ke Kem Lubuk Hantu ini boleh dikatakan satu perjalanan untuk memanaskan badan.Sampai di point pertama,kami dijamu dengan pemandangan persekitaran yang amat menyenangkan.Cukup nyaman!

Tidak lama di Kem Lubuk Hantu,kami bersedia untuk meneruskan perjalanan ke Camp Site atau dikenali oleh pendaki sebagai Kem 7E.Pendakian ke Camp Site memerlukan pendaki untuk kekal positif kerana tiada diskaun yang ditawarkan.Bermula dari Kem Lubuk Hantu hanya satu ayat yang sesuai untuk digambarkan tentang perjalanan ke Kem 7E iaitu “pacak sampai atas”.Badan mula terasa penat ditambah pula dengan suasana sejuk dan keadaan hujan agak menganggu keadaan di Camp Site.

Selangkah demi selangkah kami harungi untuk menjejak kepuncak Liang.Jujur penulis katakan pendakian sangatlah menguji mental dan fizikal,terasa puncak seperti sudah dekat tapi ia halusinasi yang tercipta di dalam minda sahaja.Meredah keadaan cuaca yang sejuk,berkabus tebal dan hujan, akhirnya kami sampai juga dipuncak Gunung Liang Timur.Namun,memandangkan cuaca yang terlalu sejuk dan mengelak hypothermia,kami hanya berehat lima minit sahaja sebelum meneruskan perjalanan ke puncak Gunung Liang Barat.

Perjalanan ketika ini masih lagi diiringi hujan sehinggalah kami tiba dipuncak Gunung Liang Barat pada jam lima petang.Perjalanan ke Gunung Liang Barat hanya memakan masa 10 minit sahaja dari puncak Gunung Liang Timur.Setelah sampai, peserta mengeluarkan kamera masing-masing untuk merakam gambar sebagai kenangan sebelum perjalanan diteruskan ke Kem Last Water Point (LWP) Gunung Tumang Batak.

Meneruskan perjalanan ke LWP Gunung Tumang Batak yang jauhnya 7 kilometer dari puncak Gunung Liang Timur,tiada kata bermain di fikiran,selain kaki terus sahaja melangkah ke lokasi yang dituju.Kami selamat tiba di LWP Puncak Tumang Batak pada pukul 10.00 malam tanpa ada sebarang masalah fizikal.Tanpa melengahkan masa, kami terus mendirikan khemah, membuat persiapan untuk makan malam dan membersihkan diri. Setelah perut kenyang,peserta memilih untuk terus beristirehat memandangkan cabaran yang perlu ditempuhi pada keesokan akan lebih sukar.

TREK SEMAKIN MENCABAR

Pada hari kedua ekspedisi,kami bangun seawal pukul 6.30 pagi untuk membuat persiapan sarapan dan menyediakan bekalan makan tengah hari.Selepas siap mengemas kawasan perkhemahan,kami meneruskan perjalanan kepuncak Gunung Tumang Batak.Seperti biasa, sebelum bergerak peserta akan melakukan senaman memanaskan badan dan pemandu arah akan memberi sedikit taklimat tentang perjalanan yang bakal ditempuhi nanti.

Perjalanan dari LWP ke Puncak Gunung Tumang Batak agak mencabar kerana gunung ini sangat jarang diterokai oleh pendaki menyebabkan treknya sangat samar,hampir-hampir tiada atau terputus-putus kerana telah ditutupi oleh pokok-pokok hutan. Banyak masa yang dihabiskan dalam pendakian untuk menebas pokok-pokok hutan dan berduri yang menutupi sepanjang trek.Tibanya di puncak,kami menikmati pemandangan yang dilihat seperti sebuah taman yang dijaga, sangat indah dan mendamaikan jiwa.

Kemudian,perjalanan diteruskan lagi untuk sampai ke puncak Gunung Chondong Gelinting dengan melewati Kem Dengkor.Perjalanan ke puncak mengambil masa kira-kira sembilan jam berjalan.Oleh sebab di puncak Gunung Chondong Gelinting tiada sumber air, maka setiap peserta harus membawa bekalan dua botol air dengan isipadu 1.5 liter seorang yang akan digunakan bagi tujuan memasak dan urusan peribadi.

Menariknya,trek hari kedua ini peserta disajikan dengan keindahan landskap hutan yang pelbagai daripada hutan tropika ke mossy forest yang masih terpelihara dan batu-batuan besar yang diliputi lumut-lumut hijau yang cukup mempesonakan.Perjalanan hari kedua masih lancar walaupun perlu melalui trek yang sedikit mencabar.

Akhirnya tibalah kami di atas puncak Gunung Chondong Gelinting.Aktiviti pertama haruslah dimulakan dengan memasang khemah dan memasak untuk makan malam.Ketika itu, keadaan cuaca di puncak gunung Chondong Gelinting teramatlah sejuk sehinggakan jari-jari kaki dan tangan menjadi kebas sekiranya tidak ditutup.Maka, tiada aktiviti yang dapat dilakukan oleh para peserta melainkan berbual sesama mereka dan melelapkan mata berehat bagi mengumpul tenaga untuk perjalanan pulang keesokannya.

DETIK CEMAS

Hari terakhir ekspedisi,peserta akan menuju ke Dem Sungai Chondong Gelinting dengan menyeberangi dua batang sungai besar yang berarus deras.Perjalanan ini menjadi lebih mencabar kerana keadaan trek yang licin, hujan dan pacat yang banyak untuk merentasi sungai tersebut.Peserta juga perlu melalui Permatang Chondong Gelinting dan trek balak yang sudah lama ditinggalkan.

Awalnya perjalanan agak lancar sehinggalah kami sampai di sungai yang terakhir.Disebabkan arus sungai yang naik dengan cepat dan cukup deras, kami tidak dapat melintasi Sungai Chondong Gelinting.Kami cuba mencari inisiatif untuk melepasi sungai tersebut dengan menebang pokok untuk membuat jambatan. Namun usaha tersebut gagal setelah beberapa kali percubaan dilakukan sehingga menyebabkan hampir dua jam kami terkandas di situ. Namun dengan berbekalkan alat komunikasi dua hala (walkie-talkie), kami berjaya menghubungi Deltar Outdoor My(DOM) iaitu kumpulan pengurusan pengangkutan pacuan 4 roda (4x4)bagi meminta bantuan membawa tali bagi membolehkan kami menyeberangi sungai.Kumpulan 4x4 ini sememangnya menunggu di luar trek untuk membawa kami keluar dari kawasan gunung.

Cukup mencemaskan apabila salah seorang peserta ekspedisi hampir dihanyutkan oleh arus yang deras.Mujur mangsa tidak cemas,dan atas bantuan rakan keadaan dapat dikawal dengan baik.Semua peserta berjaya melepasi sungai dan selamat sampai ke Dem Chondong Gelinting pada pukul 7.15 malam.

Pengalaman mendaki dalam keadaan hujan sepanjang pendakian tidak akan dilupakan.Tambahan pula dengan keadaan fizikal yang tidak cukup rehat dan kuat untuk mendaki,hanya semangat sahaja yang terpahat dalam hati.Tidak banyak cabaran besar yang ditempuhi tetapi ekspedisi ini banyak mengajar tentang perjuangan hidup,berjuang untuk menyelesaikan apa yang dilakukan dan pentingnya sikap berkerjasama.