Bersedekah Punca Rezeki Bertambah


Amalan bersedekah merupakan amalan terpuji dan dituntut dalam Islam. Malah, ia merupakan amalan yang paling disukai oleh Allah SWT.Ganjarannya begitu besar berbanding amalan lain.Bersedekah tidak perlu menunggu sewaktu seseorang itu berharta,lapang atau mendapat ‘durian runtuh’,tetapi ia boleh dilaksanakan sepanjang masa,walaupun ketika seseorang itu miskin atau dalam kesempitan.Pasti anda terfikir,apa yang hendak disedekahkan ketika diri sendiri sangat memerlukan?Apa kelebihan bersedekah ketika dalam keadaan susah? atau adakah lebih baik memiliki harta dahulu,kemudiannya baru bersedekah?

MEMBERI TANPA MENGHARAPKAN BALASAN

Bersedekah merupakan suatu pemberian kepada seseorang yang memerlukan tanpa mengharapkan sebarang timbal balik daripada orang yang menerima dengan niat mendapat reda daripada Allah SWT.Hakikatnya bersedekah merupakan manifestasi lambang kepercayaan seseorang kepada Allah SWT dengan cara menuruti segala perintah-Nya melalui perbuatan seperti amalan bersedekah.

Amalan bersedekah banyak dinyatakan dalam al-Quran.Pelbagai ayat menjelaskan kelebihan dan kemuliaan amalan bersedekah, hinggakan ayat yang membicarakan mengenai bersedekah seringkali digandingkan dengan perkara besar dan penting seperti hubungannya dengan hari kiamat,kematian,keimanan dan sebagainya.Ini secara tidak langsung menunjukkan istimewanya amalan ini dan beruntunglah orang-orang yang sentiasa mengamalkannya baik ketika senang mahupun susah.Antara nas al-Quran dan hadis yang menunjukkan kelebihan amalan bersedekah ini adalah seperti berikut: 

1.Saranan menginfakkan harta sebelum datangnya hari kiamat.Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! sebarkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu,sebelum tibanya hari (kiamat)yang tidak ada jual-beli padanya,dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat),serta tidak ada pula pertolongan syafaat.Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim”.

2.Harapan si mati agar dihidupkan kembali supaya dapat bersedekah.Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi,supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh”. (Surah al-Munafiqun: 10).

 

3.Ganjaran bersedekah digandakan berlipat kali ganda.Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bandingan (derma)orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai;tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat)kurniaNya,lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya”. (Surah al-Baqarah: 261).

KEUTAMAAN SEDEKAH ORANG MISKIN

Melihat betapa istimewanya amalan bersedekah sepertimana yang dinyatakan,semestinya kita perlu berlumba-lumba mengambil peluang ini tidak kira sewaktu berharta atau miskin.Bersedekah dan memberi ketika kaya dan senang adalah suatu perkara yang biasa dan lumrah,tetapi bersedekah sewaktu dalam kesempitan dan kesusahan,adalah perkara luar biasa dan jarang diamalkan. Sudah pasti ganjarannya juga lebih besar daripada bersedekah sewaktu lapang dan senang.Tuntutan bersedekah daripada orang miskin sudah tentu mempunyai manfaat dan faedah yang hanya diketahui oleh Allah SWT.Andainya tiada manfaat daripada amalan sedekah orang miskin sudah tentu Allah SWT tidak memerintahkan perkara ini,dan Rasulullah SAW juga sudah tentu tidak mengamalkan dan menggalakkan para sahabat baginda bersedekah.Pastinya wujud hikmah yang besar di sebalik tuntutan bersedekah kepada golongan miskin ini. Berikut adalah beberapa nas al-Quran dan hadis yang menuntut agar mereka yang berada dalam keadaan miskin dan susah juga turut bersedekah,antaranya:

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang disempitkan rezekinya,maka hendaklah dia memberi nafkah daripada apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberkati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan”. (Surah Al-Talaq:7) 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah),Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik”.Surah Ali-Imran: 134.

Diriwayatkan daripada Adibin Hatim r.a: Bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Siapa yang sanggup menghalang dirinya dari api neraka walaupun dengan(bersedekah) sebelah buah kurma,maka hendaklah dia lakukan(segera): (HR Muslim).

Berdasarkan dalil-dalil diatas jelas menunjukkan bahawa bersedekah tidak perlu menunggu kaya dan senang, malah seseorang yang menginfakkan harta sebelum hijrah lebih susah dan sukar berbanding keadaan selepas hijrah.Begitu juga keadaan seseorang yang hanya memiliki sebiji tamar, disarankan bersedekah sebahagiannya.Ia jelas menunjukkan keadaan seseorang yang tidak memiliki apa-apa.

Timbul persoalan, mengapa orang miskin atau dalam kesusahan turut dituntut untuk bersedekah?Hakikatnya merekalah yang seharusnya menerima bantuan.Inilah antara tanda-tanda dan bukti kekuasaan Allah SWT yang memerintahkan sesuatu yang tidak mampu dijangkaui oleh akal pemikiran manusia.

Antara hikmahnya, sedekah daripada orang miskin dapat menyuburkan harta dan menambah keberkatan pada rezeki mereka.Lazimnya,orang miskin memang berhajat untuk menambahkan rezeki.Rupa-rupanya amalan bersedekah daripada mereka sendiri,mampu menambahkan lagi keberkatan rezeki.Malah hikmah yang terbesar adalah mudahnya mereka masuk ke syurga berbanding orang kaya kerana orang kaya akan dihitung punca harta diperoleh dan di mana mereka membelanjakannya.

 

MEMUPUK AMALAN BERSEDEKAH DALAM KALANGAN MURID

Penerapan amalan bersedekah hendaklah dimulakan sejak daripada kecil lagi.Murid sekolah sebagai contoh, perlu dipupuk dengan konsep sedekah yang menyeluruh di mana ia tidak terbatas kepada sedekah menggunakan wang ringgit semata-mata.Bahkan ia sangat luas mencakupi segala kebaikan fizikal,material dan selainnya.Justeru, senyuman, membantu orang lain,menggembirakan orang lain,berzikir,berkata yang baik, membuang halangan dijalanan,membuang sampah dan sebagainya juga adalah sedekah.

Andainya konsep sedekah ini dapat dihayati oleh murid sejak dibangku sekolah lagi,sudah pasti amalan ini dapat memupuk sikap prihatinan dan tolong menolong sesama mereka.Aktiviti ini secara tidak langsung mampu membentuk budaya yang sihat sesama rakan sekolah dan guru.Guru perlu sentiasa memberi kefahaman kepada murid bahawa Allah SWT memandang tinggi sesuatu pemberian itu walaupun nilainya sangat kecil sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:Siapa yang sanggup menghalang dirinya daripada api neraka walaupun dengan (bersedekah)sebelah buah kurma, maka hendaklah dia lakukan (segera). (HRMuslim)

Ganjaran kepada pemberi sedekah menjadi berganda apabila sedekah itu dilaksanakan secara tersembunyi tanpa pengetahuan orang lain sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a yang bermaksud: “Tujuh golongan yang dinaungi Allâh SWT dalam naunganNya pada hari di mana tidak ada naungan kecuali naunganNya: …seseorang yang bersedekah dengan satu sedekah lalu ia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diinfaqkan tangankanannya.” (HR Bukhari)

 

PERKARA YANG MENGHAPUSKAN GANJARAN BERSEDEKAH

Terbukti amalan bersedekah mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Ia merupakan amalan yang paling disukai oleh Allah SWT dan ganjarannya adalah pahala dan dimurahkan rezeki serta dimudahkan untuk masuk ke syurga.Namun begitu,amalan sedekah ini perlu dilakukan dengan ikhlas kerana Allah SWT dan cubalah sedaya upaya menjauhkan diri daripada dua perkara yang boleh menghapuskan ganjaran amalan sedekah,iaitu mengungkit-ungkit pemberiannya dan menyakiti hati penerimanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit(pemberiannya) dan tidak pula menyinggung atau menyakiti(pihak yang diberi),mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.”(Surahal-Baqarah: 162)

Kesimpulannya, harta yang Allah SWT pinjamkan kepada kita semua, hakikatnya terdapat bahagian orang lain yang perlu dikembalikan kepadanya atau diinfakkan untuk kesejahteraan umat Islam.Justeru, marilah bersama-sama kita mengambil tawaran hebat daripada Allah SWT untuk kesejahteraan di dunia dan diakhirat dengan melaksanakan amalan bersedekah tidak kira semasa senang mahupun susah.Semoga amalan kita semua dinilai sebagai ibadah yang akan diberikan ganjaran pahala di akhirat nanti.