Berikan Aku

— oleh Zain Idris At-Tobiari —

Berikan aku sebuah padang hijau
akan ku penuhkan sebuah lembah
dengan kawanan sapi dan kambing
ku susuri denai tapak-tapak Musa
di kesunyian perbukitan Madyan

Berikan aku sebuah gunung
akan ku pahat mahligai bertingkat
ku saingi kehebatan kaum Add
sayup melampaui tunjak-tunjak menara
Iramazatil Imad

Berikan aku sebuah teluk
akan ku kembangkan layar
ku bongkar sauh bahtera pusaka Noh
ku redah gelombang garang
meluncur laju ke tanah seberang

Berikan aku!
Berikan aku!!
Bukan sebuah gubuk setinggan
bukan sekangkang tanah haram
hampas dan sekam
reja dan perca-perca kemakmuran
yang kau laung-laungkan
Berikan aku!
Berikan aku!!

Zain Idris At-Tobiari
Jitra Kedah D.A

 


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan