Sekolah Cemerlang


Shahida juara Olympiad sains

Murid tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Titiwangsa, Kuala Lumpur, Shahida Hamzah yang diumumkan pemenang utama Pertandingan Olympiad Sains dan Matematik peringkat kebangsaan 2017 akan mewakili negara ke pertandingan sama peringkat antara­bangsa di Australia pada tahun ini.

Shahida memenangi kategori sains dalam pertandingan Olympiad anjuran Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) itu di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

“Belajar sendiri, bimbingan guru dan minat mendalam akan subjek Sains menjadi faktor kejayaan ini,” katanya yang juga murid terbaik sains di sekolahnya.

Selaku juara, Shahida menerima hadiah wang tunai RM1,000, sijil emas pertandingan dan sijil penyertaan.

Sementara itu, murid Sekolah Menengah Sains (SMS) Tengku Muhammad Faris Petra, Pengkalan Chepa, Kelantan, Wan Muhammad Azim Wan Mohd Zain juga akan mewakili negara dalam kategori matematik.

Pertandingan seperti ini dapat memupuk minat murid dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).


SMKA Kuala Abang cipta sejarah

Kreativiti murid Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Abang Dungun, Terengganu mencipta beberapa produk pengguna daripada bahan terpakai meraih kemenangan dalam program International Invention Innovation Design 2017, di Johor Bharu, baru-baru ini.

Ketua projek, Muhammad Danish Aqil Addnin, 17, yang menyifatkan ia suatu pengalaman menyeronokkan berkata, kumpulan 20 murid yang terlibat dalam projek tersebut mengambil masa hampir sebulan untuk mencipta tiga produk untuk dipertandingkan, dan berbelanja tidak lebih daripada RM100.

Menurutnya, idea tercetus berkait dengan rungutan dalam kalangan murid termasuk kolar baju sekolah yang mudah kelihatan berdaki atau kotor yang sukar dihilangkan.

Tiga produk yang dipertandingkan itu termasuklah Easy2 reach iaitu rak barang yang dipasang pada kabinet dapur yang boleh diturun dan dinaikkan.

Di samping itu projek Thi2thin yang berfungsi sebagai pengalas kotoran pakai buang pada kolar baju di samping Air2channel iaitu alat untuk mengalihkan aliran angin yang diletakkan di bawah kipas siling agar tidak statik.

"Produk Thi2thin memenangi hadiah perak manakala dua lagi produk ciptaan kami masing-masing Easy2reach dan Air2channel memenangi hadiah gangsa. Kami bersaing dengan 20 pasukan sekolah-sekolah lain dari seluruh negara, namun produk ciptaan kami yang mudah dan ringkas mendapat perhatian juri," katanya.

Guru penasihat projek, Ahmad Mahzam Ramli, 35, menyifatkan kejayaan murid SMKA Kuala Abang sebagai sesuatu yang amat membanggakan, apatah lagi belum pernah diraih sebelum ini.

Katanya, kumpulan murid tersebut ternyata mempunyai kebolehan dan daya kreativiti sehingga berjaya menyiapkan tugasan dengan sempurna.

"Murid terlibat telah menggunakan daya fikir dan kreativiti mereka dengan menjadikan produk kitar semula seperti kain reja, kayu kotak dan kertas dengan kos paling minimum," ujarnya.

Bagi Pengetua SMKA Kuala Abang, Mat Lazim Mamat pula berkata, kejayaan dalam pertandingan tersebut telah meletakkan sekolah tersebut sebaris dengan sekolah-sekolah ternama.

Selain itu, katanya, ia juga menjadi pembakar semangat dan meningkatkan motivasi untuk murid lain mengikut langkah rakan-rakan yang telah berjaya mengharumkan nama sekolah hingga peringkat kebangsaan.

"Saya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh guru, murid dan juga ibu bapa. Saya berharap program sebegini tidak terhenti di sini sahaja, ia merupakan langkah pertama kita untuk mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang," katanya.

Murid SMKA Kuala Abang menunjukkan produk Easy2reach ciptaan mereka yang berjaya meraih hadiah gangsa pada pertandingan International Invention Innovation Design yang berlangsung di Johor Bahru baru-baru ini.


SMKSI catat sejarah juara pertama

Battle Robot TATIUC 2017 peringkat negeri Terengganu yang julung kalinya diadakan pada 19 April lalu mencatatkan permulaan yang cukup memberangsang dengan penyertaan 80 pasukan daripada 28 buah sekolah menengah.

Dalam program anjuran Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrikal & Automasi (FTKEA) Kolej Teknologi TATI (TATIUC) yang berlangsung di kampus insitusi pengajian itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail (SMKSI) muncul sebagai juara,

SMKSI membawa pulang hadiah wang tunai RM900 berserta trofi manakala tempat kedua disandang oleh Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud Kuala Terengganu (SESMA), diikuti SMK Badrul Alam Shah di tempat ketiga.

Bagi kategori Rekaan Robot Terbaik pula dimenangi oleh pasukan SMK Mak Lagam manakala juara kategori Penggunaan Bahan Terbuang Yang Optimum diraih oleh SMK Kerteh.

Pertandingan dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tranformasi Kerajaan negeri,Bazlan Abdul Rahman.

Program yang dirintis itu bertujuan menggalakkan pembangunan robotik di negeri ini di samping mempromosikan TATIUC kepada masyarakat luar.

Bazlan dalam ucapannya mengalu-alukan program seumpama itu yang dijayakan bersama dengan Jabatan Pendidikan Negeri kerana selari dengan usaha mentransformasikan sistem pendidikan negara melalui penekanan terhadap elemen kreativiti dan inovasi.

"Para murid mampu memperoleh pengalaman pembelajaran secara hands-on untuk memperkembang potensi kreativiti, kemahiran membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.

"Program sebegini menuntut kemahiran berfikir serta kemahiran mengaplikasikan ilmu pengetahuan selari dengan kurikulum pembelajaran di TATIUC," ujarnya.

Para peserta bersama-sama pihak pengurusan bergambar beramai-ramai selepas tamat majlis penyampaian hadiah Battle Robot TATIUC 2017 di Kolej Universiti TATI (TATIUC), Kemaman, Terengganu, 19 April lalu.


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan