Album KPM Mei 2017


Laluan Pendidikan Lepasan Sekolah

Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 Parlimen Padang Terap pada 21 April 2017 berlangsung dengan tujuan untuk membuka akses yang lebih meluas kepada laluan pendidikan lepasan sekolah. Ruang pameran dan penerangan tentang pelbagai jurusan akademik dan teknikal dibuka bagi membolehkan murid lepasan sekolah mendapatkan maklumat pelbagai pilihan jurusan. Peluang kedua melanjutkan pendidikan dalam pelbagai jurusan juga tersedia melalui program ini melalui kerjasama dan bantuan Yayasan Destini Anak Bangsa yang dipengerusikan oleh Tan Sri Sahol Hamid Abu Bakar. Ramai belia daripada kalangan murid sekolah dan institut pendidikan di sekitar Padang Terap berkongsi aspirasi pada majlis dialog dengan Menteri Pendidikan Dato' Seri Mahdzir Khalid dalam program tersebut. Anak-anak muda Kedah telah melontarkan pelbagai idea konkrit mereka yang meliputi bidang pendidikan, pertanian, keagamaan dan sosial pada majlis dialog itu.

Pengiktirafan Atlet Sekolah 2016

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P Kamalanathan hadir ke Majlis Anugerah Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia (MSSM - MILO) tahun 2016 di Kuala Lumpur pada 5 April 2017. Majlis tersebut merupakan manifestasi penghargaan dan pengiktirafan Kementerian Pendidikan kepada para atlet murid, jurulatih sukan dan tokoh pemimpin sukan atas kejayaan, komitmen dan khidmat bakti masing-masing yang dicurahkan sepanjang tahun 2016.

Pertandingan Seni Negaraku

Menteri Pendidikan Dato' Seri Mahdzir Khalid bersama Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Abdul Razak menyaksikan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Negaraku bertempat di dewan aras 3, Bangunan Perdana Putrajaya, Putrajaya pada 19 April 2017. MoU antara Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia tersebut sempena program Pertandingan Seni Negaraku yang melibatkan semua sekolah seluruh negara. Karya yang terpilih akan dipamerkan di Balai Seni Negara. Program ini bertujuan untuk menyuburkan semangat patriotik dalam kalangan murid sekolah.

Penyampaian Cek Bantuan SJKC di Sabah

Timbalan Menteri Pendidikan 2, Datuk Chong Sin Woon berada di Negeri di Bawah Bayu - Sabah pada 27 Mac 2017 untuk majlis penyampaian cek kepada 66 buah SJKC yang berjumlah RM6.565juta. Dari tahun 2011 ke 2016, sejumlah RM53.522 juta telah diperuntukkan kepada SJKC di Sabah. Di samping itu, Kerajaan Negeri Sabah turut menyalurkan peruntukan kepada sekolah-sekolah dalam negeri setiap tahun untuk pembangunan sekolah, ini menunjukkan tanda prihatin kerajaan negeri kepada pembangunan pendidikan rakyat.


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan