Keakraban Pemangkin Kerjasama Ibu Bapa-Sekolah


Kekuatan sesebuah sekolah tidak hanya bergantung kepada kecemerlangan pencapaian murid dalam kurikulum dan kokurikulum. Sokongan dan kerjasama ibu bapa juga merupakan satu komponen yang penting dalam mendefinisikan makna kekuatan sekolah.

Sarana Sekolah memberi penekanan yang khusus dalam aspek ini bertujuan membawa ibu bapa ke dalam 'dakapan' sekolah. Sememangnya usaha ini amat penting dan bermakna dalam mewujudkan jaringan kerjasama yang positif dan kukuh antara ibu bapa dan pihak sekolah.

Namun demikian, tidak semua ibu bapa melibatkan diri di sekolah. Malah, ramai ibu bapa juga bersikap memilih untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang dijalankan di sekolah.

Sebagai contoh, Kejohanan Olahraga Tahunan dan Hari Anugerah Cemerlang yang diadakan di sekolah kebiasaannya menyaksikan peratus kehadiran ibu bapa yang tinggi. Kehadiran ibu bapa memberi impak yang tinggi ke atas kemeriahan majlis yang mengambil tempat di sekolah.

Namun demikian, setiap kali Mesyuarat Agung PIBG diadakan, sokongan ibu bapa boleh dikatakan amat dingin. Begitu juga dengan pelbagai aktiviti lain yang diusahakan oleh pihak sekolah dengan harapan untuk mendapat kerjasama daripada ibu bapa.

Dalam hal ini, daripada memikirkan soal 'apa' yang berlaku pihak sekolah perlu memikirkan 'mengapa' situasi sebegini berlaku? Hal ini kerana pihak sekolah sedia maklum dengan 'apa' yang berlaku namun soalan 'mengapa' situasi ini berlaku masih belum berjawab sepenuhnya.

Tiga perkara dapat diperhatikan dengan jelas dalam menilai perbezaan tahap penglibatan ibu bapa sempena Kejohanan Olahraga Tahunan dan Hari Anugerah Cemerlang berbanding Mesyuarat Agung PIBG.

Pertama, bagi Kejohanan Olahraga Tahunan dan Hari Anugerah Cemerlang, ibu bapa dapat menyaksikan penglibatan anak mereka secara langsung dalam majlis tersebut sama ada mengambil bahagian atau mendapat anugerah/pingat tertentu. Kehadiran ibu bapa ke majlis ini ditentukan oleh keakraban hubungan antara ibu bapa dan anak dan keterujaan ibu bapa untuk menyaksikan anak mengambil bahagian dalam satu-satu acara sukan selain kebanggaan yang dirasakan sebagai ibu bapa untuk melihat anak menerima anugerah/pingat.

Tidak seperti Kejohanan Olahraga Tahunan dan Hari Anugerah Cemerlang, ibu bapa tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi dalam Mesyuarat Agung PIBG selain melihatnya sebagai suatu agenda yang bersifat kolektif melibatkan ibu bapa dan pihak sekolah. Dalam hal ini, ibu bapa gagal melihat keperluan dan kepentingan suara mereka demi kemenjadian murid di sekolah tidak kira dalam kurikulum, kokurikulum mahupun sahsiah.

Kedua, Kejohanan Olahraga Tahunan dan Hari Anugerah Cemerlang dilihat sebagai aktiviti atau program yang bersifat santai dan tidak menyentuh aspirasi sekolah tentang penjanaan kewangan. Kebiasaannya, ibu bapa lebih berminat untuk mendengar ucapan pihak sekolah tentang usaha dan perancangan sekolah untuk meningkatkan pencapaian pendidikan anak berbanding mendengar kekangan pihak sekolah atau keperluan bantuan kewangan bagi memantapkan keperluan akademik dan fizikal sekolah.

Bagi ibu bapa, soal menjana kewangan adalah tugas dan tanggungjawab pihak sekolah dan, ibu bapa tidak perlu dimaklumkan atau dibebani dengan tugas tersebut. Oleh itu, kurangnya pemahaman tentang peranan PIBG mengakibatkan agenda mesyuarat PIBG dilihat sebagai tidak sehaluan dengan ekspektasi mereka daripada pihak sekolah.

Ketiga, bagi aktiviti seperti Kejohanan Olahraga Tahunan dan Hari Anugerah Cemerlang, ibu bapa juga tidak perlu risau tentang sebarang pelantikan jawatankuasa dan komitmen yang perlu diberikan kepada sekolah hasil daripada satu-satu pelantikan yang dibuat.

Hal ini jauh berbeza dengan kehadiran bagi Mesyuarat Agung PIBG yang akan berakhir dengan pemilihan jawatankuasa baharu. Ramai ibu bapa tidak yakin untuk memegang jawatan akibat tidak yakin pada diri sendiri; lebih-lebih lagi untuk mencapai ekspektasi sekolah yang dilihat jauh lebih tinggi daripada kemampuan mereka.

Tidak kurang pula yang menganggap tugas tersebut sebagai beban tambahan yang terpaksa dipikul tanpa memahami bahawa anak mereka juga akan mendapat manfaat daripada penglibatan mereka. Hal ini juga menyebabkan sesetengah ibu bapa yang hadir mesyuarat PIBG meninggalkan mesyuarat tersebut sebelum pelantikan jawatankuasa baharu dilakukan.

Sehubungan dengan itu, daripada terus membincangkan 'apa' yang berlaku, pihak sekolah perlu mengkaji, mengenal pasti dan memahami faktor-faktor yang menghalang sokongan dan kerjasama ibu bapa kepada sekolah. Pemahaman ini akan membuka ruang kepada usaha penyelesaian masalah yang timbul.

Seperkara yang penting untuk difikirkan di sini adalah mindset ibu bapa perlu diubah tentang makna sebenar penglibatan ibu bapa dan kerjasama ibu bapa dengan pihak sekolah. Pada masa yang sama, mindset pihak sekolah juga perlu berubah sedikit-sebanyak untuk membolehkan pihak sekolah melihat dan memperhalusi satu-satu situasi dari lensa ibu bapa. Barulah satu formula penyelesaian dapat dikenal pasti bagi membetulkan keadaan.

Dalam hal ini, 'keakraban' merupakan senjata utama yang dapat memangkin penglibatan ibu bapa di sekolah. Pihak sekolah perlu mengenali setiap ibu bapa dengan dekat. Komunikasi yang kerap, motivasi yang berterusan dan komitmen pihak sekolah terhadap usaha menjamin kemenjadian murid perlu dirasakan oleh ibu bapa dalam hubungan mereka dengan pihak sekolah.

Setiap ibu bapa perlu berasa bahawa diri mereka dihargai oleh pihak sekolah. Komunikasi yang efektif dan sikap turun padang pihak sekolah amat perlu dalam usaha mendampingi ibu bapa dan bukan sekadar menunggu ibu bapa untuk mendampingi sekolah. Usaha pihak sekolah perlu menyentuh hati ibu bapa dan bukan sekadar dilakukan sebagai suatu tugas semata-mata. Faktor ini mampu membuka minda ibu bapa untuk memberi sokongan dan kerjasama kepada pihak sekolah melalui pelbagai bentuk penglibatan yang bermakna.

Dalam hal ini, 'keakraban' merupakan senjata utama yang dapat memangkin penglibatan ibu bapa di sekolah. Pihak sekolah perlu mengenali setiap ibu bapa dengan dekat. Komunikasi yang kerap, motivasi yang berterusan dan komitmen pihak sekolah terhadap usaha menjamin kemenjadian murid perlu dirasakan oleh ibu bapa dalam hubungan mereka dengan pihak sekolah.

Seperkara yang jelas adalah permintaan pihak sekolah kepada ibu bapa melalui 'laungan' untuk melibatkan diri di sekolah sahaja tidak akan berhasil tanpa perancangan yang teliti atau tanpa pelaksanaan yang berkesan dalam menyentuh dan menggerakkan hati ibu bapa.

Pepatah 'gunakan akal bukan perasaan' sememangnya rasional namun adakalanya perasaan itu juga penting dinilai dan, akal tetap diguna untuk menyampaikan perasaan tersebut. Begitu juga halnya dalam usaha merangsang dan memperkukuh kerjasama antara pihak sekolah dan ibu bapa murid. Justeru, pihak sekolah perlu berfikir di luar kotak bagi merancang strategi yang efektif bagi membolehkan mindset ibu bapa diubah.

Strategi yang efektif juga perlu untuk membolehkan ibu bapa murid berasa diri mereka dihargai oleh pihak sekolah; yang seterusnya dapat mendorong penglibatan mereka di sekolah.

Penulis ialah pensyarah Bahagian Antropologi dan Sosiologi, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia.