Pendidikan Penjana Transformasi


Dato' Seri Mahdzir Khalid (tengah) ketika merasmikan Konvensyen Kecemerlangan Pendidikan 2.0 Parlimen Kuala Kangsar di Universiti Sultan Azlan Shah pada 21 April 2017. Dato' Seri Mahdzir Khalid (tengah) ketika merasmikan Konvensyen Kecemerlangan Pendidikan 2.0 Parlimen Kuala Kangsar di Universiti Sultan Azlan Shah pada 21 April 2017.

Dalam abad ke-21 ini, senario pendidikan global berkembang dengan begitu pesat sekali. Arus dan ledakan globalisasi telah menghasilkan daya penggerak yang membentuk hala tuju baharu pendidikan dunia.

Hala tuju ini juga melahirkan beberapa trend baharu antara lainnya, globalisasi, mobiliti, kolaborasi, evolusi dalam pembelajaran dan pengajaran serta penggunaan teknologi yang maksimum. Hakikatnya perkara-perkara ini mendominasi dunia pendidikan arus perdana sehingga menjadi penjana kepada tranformasi secara menyeluruh dan seimbang alam sejagat. Tanpa pendidikan yang bersifat sakinah, tranformasi yang bakal ditempuhi tidak akan benar-benar memberi manfaat yang besar kepada dunia.

Dinamika dalam transformasi dan arus globalisasi ini akan berterusan menjadi cabaran kepada sektor pendidikan hingga menuntut kepada anjakan dalam hala tuju, kepimpinan dan cara berfikir supaya tranformasi yang wujud menjadi lebih bersifat antarabangsa, tidak jumud dan bercirikan hubungan jaringan yang berasaskan kepada kolaborasi dan komplementari.

Maka, di sinilah letak peri pentingnya pendidikan yang dapat menjana tranformasi yang seiring dengan falsafah pendidikan kebangsaan dan memberi kesejahteraan kepada manusia sejagat.

Pendidikan menjadi alat timbang tara bagi memastikan tranformasi yang berlaku itu sesuai atau tidak dengan latar budaya negara kita yang majmuk ini. Dalam hal ini, cabaran utama yang menjadi keprihatinan kita ialah penghakisan nilai-nilai kemanusiaan dan keadilan dalam order ekonomi kapitalis yang dominan pada saat ini.

Persoalannya, adakah kita semua bersedia untuk menghadapi ledakan transformasi global ini?

Di samping itu, untuk Malaysia mencapai taraf negara maju pada abad ke-21, negara memerlukan warganegara yang mempunyai pengetahuan dan pendidikan dalam pelbagai bidang. Dengan pengetahuan dan pendidikan, kita dapat mengurus tatacara untuk menerima semua tranformasi yang berlaku.

Oleh itu, masyarakat perlulah mengambil peluang dan ruang untuk mempelajari dan menguasai mata pelajaran yang berasaskan sains dan teknologi. Hal ini penting untuk masyarakat memahami masa hadapan perkembangan ekonomi perindustrian dan perdagangan sesebuah negara ditentukan oleh para pekerjanya yang menggunakan kekuatan mental dan bukannya kemahiran tenaga semata-mata.

Oleh itu, setiap tenaga pekerja yang dihasilkan perlulah berilmu dan mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan sains dan teknologi. Hal ini secara tidak langsung membuktikan bahawa pendidikan menjadi elemen utama dalam proses penerimaan terhadap transformasi.

LANGKAH TERBARU KPM

Menyedari perpaduan nasional masih belum berada di tahap membanggakan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedia mengkaji secara menyeluruh aspek silibus dan program di sekolah-sekolah. Kajian teliti ini akan dibuat demi merealisasikan hasrat mencapai negara bangsa yang tunjangnya adalah perpaduan nasional.

KPM turut bersedia untuk memperkasakan bahasa Melayu dalam kalangan murid sekolah vernakular bagi memantapkan perpaduan nasional. Ini kerana penguasaan bahasa Melayu yang mantap mampu memperkukuhkan perpaduan nasional dalam kalangan murid yang seterusnya menghasilkan masyarakat yang bersatu padu serta hidup dalam keharmonian antara kaum.

Ledakan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dewasa ini tidak dapat dielakkan dan setiap daripada kita harus mengimbangkan kemajuan berkenaan. Untuk itu, KPM akan menambah baik polisi berkaitan penggunaan gajet ICT dalam kalangan murid sekolah yang mana kajian teliti akan disiapkan dalam tempoh dua bulan.

Kerjasama semua pihak khususnya warga setempat diharap supaya terus memberi komitmen padu dalam membudayakan pembinaan ilmu dan perkongsian ilmu demi merealisasikan impian Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera.

*** Petikan ucapan Dato' Seri Mahdzir Khalid ketika merasmikan Konvensyen Kecemerlangan Pendidikan 2.0 Parlimen Kuala Kangsar 2017: Pendidikan Penjana Transformasi di Universiti Sultan Azlan Shah, pada 21 April 2017.


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan