Guru, Pensyarah & Pendidik – Sama Tapi Tak Serupa


Dalam konteks pendidikan, matlamat utama mengajar dan memberi syarahan atau disebut juga kuliah adalah untuk mendidik murid dan pelajar. Oleh itu guru dan pensyarah kedua-duanya memainkan peranan penting dalam dunia pendidikan.

Walaupun kedua-dua profesion tersebut sekali imbas dilihat mempunyai persamaan atau hampir serupa, namun sebenarnya ia tidak sama. Terdapat beberapa perbezaan khusus skop tugas dan tanggungjawab antara kedua-dua kerjaya atau jawatan tersebut.

Yang paling utama dan jelas ialah guru bertugas mengajar di peringkat sekolah sama ada prasekolah atau tadika, sekolah rendah serta sekolah menengah sementara pensyarah berkhidmat di institusi pengajian tinggi (IPT) sama ada kolej mahupun universiti.

Guru adalah orang yang mengajar sesuatu mata pelajaran kepada muridnya. Istilah guru atau cikgu biasanya dikaitkan dengan persekitaran sekolah. Profesion guru adalah sinonim dengan tugas mengajar dan mendidik anak-anak kecil dan remaja di peringkat sekolah rendah hingga menengah. Oleh itu, guru biasanya mereka yang terlibat mengajar murid-murid yang berusia di antara lima hingga 19 tahun.

Dari segi kelayakan mengajar, seorang guru perlu memiliki sijil kelayakan mengajar atau kelayakan ikhtisas daripada maktab, kolej, universiti ataupun institusi pendidikan yang diiktiraf.

Pada masa ini sekeping ijazah Sarjana Muda dalam bidang berkaitan biasanya diterima sebagai kelayakan untuk memohon tempat di Institusi Pendidikan Guru (IPG). Untuk menjadi seorang guru sekolah menengah kemungkinan pada masa akan datang memerlukan ijazah Sarjana di samping kelayakan mengajar.

Seorang guru sekolah menengah biasanya mengajar hanya satu mata pelajaran atau subjek manakala guru sekolah rendah terpaksa mengajar beberapa jenis mata pelajaran dan pelbagai bidang.

Mengajar adalah satu profesion. Maknanya ia satu bidang kerjaya profesional yang memerlukan latihan khusus atau kelayakan formal. Mengajar melibatkan tanggungjawab 'menyampai' pengetahuan teoritikal dan praktikal. Sebagai contoh, seorang guru mata pelajaran Sains akan mengajar teori, rumus dan maklumat tentang sains.

Beliau juga akan mengajar murid bagaimana untuk mengaplikasikan atau menggunakan pengetahuan yang disampaikan itu secara amali. Seorang guru akan sering memberi tumpuan kepada kurikulum, silibus dan pentaksiran.

Kini konsep Pendidikan Abad Ke-21 (PAK-21) menekankan kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran serta pentaksiran murid yang holistik, yakni seimbang dan menyeluruh daripada segi akademik mahupun sahsiah, sekali gus menuntut guru-guru untuk turut memberi tumpuan yang sama kepada aspek kokurikulum dan sukan.

Dalam sektor perkhidmatan awam negara ini, gelaran jawatan 'Pegawai Perkhidmatan Pendidikan' (PPP) adalah merujuk kepada guru yang dipanggil cikgu yang berkhidmat di sekolah-sekolah rendah dan menengah. Manakala di peringkat pendidikan tinggi, guru dikenali sebagai 'pensyarah dan/atau profesor'. Guru secara tipikal adalah jawatan tetap di sekolah.

Gred perjawatan yang digunakan untuk guru dan pensyarah juga berbeza-beza. Bagi skim perkidmatan keguruan, gred untuk PPP, yakni guru yang digunapakai ialah 'Darjat Guru' atau singkatannya 'DG' seperti DG41 hingga ke D54. Manakala untuk skim perkhidmatan di IPT ia bergantung kepada institusi yang menawarkan jawatan pekerjaan berkenaan.

Biasanya jawatan pensyarah di universiti menggunakan singkatan gred perjawatan 'DS' (Darjat Syarahan), tenaga pengajar Politeknik pula 'DH' (Darjat Higher Learning), manakala Universiti Teknologi Mara (UiTM) menggunakan 'DM' (Darjat Mengajar) untuk pensyarahnya.

Apa yang membezakan kerja guru daripada pensyarah adalah bidang tugas dan tanggungjawab. Tugas dan tanggungjawab seorang guru bukan hanya sekadar mengajar. Di Malaysia, seorang guru dikehendaki dan diarah untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab yang pelbagai.

Guru bertanggungjawab sebagai pemudah cara (fasilitator) pembelajaran dan pengajaran (PdP), memainkan peranan pementoran dan berinteraksi dengan murid. Oleh sebab tugas guru melibatkan mereka yang berusia muda berbanding pensyarah di IPT, mereka perlu berhati-hati dan peka dengan keadaan apabila berinteraksi dengan murid.

Ini adalah kerana tingkah laku guru boleh memberikan kesan yang sangat signifikan dalam mempengaruhi kehidupan murid. Ramai guru yang menjadi idola bagi murid.

Pensyarah pula adalah ahli akademik pada awal kerjaya mereka. Pensyarah biasanya bekerja di IPT. Tugas dan tanggungjawab pensyarah termasuklah memberi syarahan atau kuliah, dan di kebanyakan IPT dikehendaki menjalankan penyelidikan.

Pelanggan utama pensyarah adalah pelajar atau penuntut remaja hinggalah kepada orang dewasa termasuk warga emas. Oleh itu, pensyarah berurusan dengan pelajar yang sudah mampu untuk membentuk akhlak, mengambil tanggungjawab dan boleh berdikari untuk mendapatkan bahan atau pembelajaran tambahan.

Untuk layak dipanggil sebagai pensyarah, seseorang itu perlu memiliki kelayakan ijazah lanjutan sekurang-kurangnya peringkat Sarjana (Masters) dan/atau ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) di samping berpengalaman menulis serta membuat kajian bersesuaian dengan status tenaga pengajar institusi pengajian tinggi.

Pengalaman melakukan penyelidikan pasca ijazah dan satu senarai hasil penulisan dan penerbitan bahan akademik bermakna menunjukkan kewibawaan pensyarah berkenaan dalam melaksanakan tugas akademik serta bukan akademik.

Pensyarah bukanlah seorang guru, tidak kiralah sehebat manapun tumpuan pengajaran diberikan oleh sesuatu institusi pengajian tinggi. Terdapat perbezaan ketara antara mengurus bilik darjah bagi kumpulan umur lima hingga 19 tahun yang “bermula daripada kosong” dengan berhadapan sekumpulan pelajar dewasa daripada pelbagai latar belakang di dewan kuliah.

Di negara-negara maju, pensyarah IPT lazimnya adalah mereka yang pernah menimba pengalaman dalam kerjaya industri dan pernah menjalankan kajian atau penyelidikan. Mereka ditawarkan jawatan berdasarkan pengalaman, kepakaran dan pendedahan mereka dalam industri yang diceburi selain kemampuan mereka menjana buah fikiran bagi menambah baik bidang pendidikan berkaitan industri berkenaan.

Namun kebanyakan IPT akan juga memberi peluang dan kemudahan kepada 'pensyarah baharu' untuk mengikuti kursus dan latihan dalam bidang pendidikan. Secara mudah, pensyarah yang tidak berpengalaman akan mendapat pendedahan melalui 'latihan sambil bekerja' bagi membolehkan mereka mengajar setelah bertahun menjadi penyelidik.

Mengajar di peringkat pengajian tinggi juga berbeza berbanding di sekolah, termasuk sekolah menengah tinggi atau peringkat prauniversiti seperti Tingkatan Enam dan Matrikulasi. Pada tahap yang setaraf Peringkat A (A-Level) ini, spesifikasi peperiksaan pelajarnya dibina oleh Majlis Peperiksaan atau Senat.

Bahan pengajaran dan pembelajaran juga dibina dan diterbitkan sendiri institusi mengikut spesifikasi khusus keperluan kursus, manakala kertas peperiksaan dibina oleh badan peperiksaan institusi sendiri, seterusnya diperiksa oleh mereka yang berkhidmat di institusi tersebut.

Program dan kursus di IPT direka dan bina oleh ahli akademik institusi pengajian berkenaan. Spesifikasi bagi setiap program kursus adalah tanggungjawab mereka yang mengajar subjek berkenaan yang biasanya terdiri daripada mereka yang berkelayakan, berpengalaman, berpengetahuan tinggi dan diperakui mahir atau pakar dalam bidang subjek yang diajar.

Begitu juga dalam peperiksaan, pensyarah akan mengajar, membina item dan instrumen peperiksaan dan memeriksa kertas peperiksaan mengikut subjek yang telah dipertanggungjawabkan.

Suasana sesi pembelajaran dan pengajaran di peringkat IPT seperti syarahan, seminar, bengkel, tutorial termasuk masalah akademiknya juga turut mempunyai perbezaan. Pensyarah biasanya tidak perlu memberi tumpuan yang lebih untuk membimbing perlakuan atau tingkah laku kerana pelajar mereka yang terdiri daripada kalangan individu yang telah 'dewasa', tahu serta mampu membentuk disiplin dan sudah mempunyai jati diri. Prosedur disiplin dan tatatertib IPT sudah tersedia, pelajar dan pensyarah hanya perlu mematuhi dan mengambil tindakan mengikut peraturan yang disediakan.

Penuntut IPT biasanya sudah matang. Mereka faham dan tahu menjalankan tanggungjawab sebagai 'mahasiswa' kerana mereka adalah kalangan lepasan sekolah yang terpilih dan mempunyai motivasi kendiri. Mereka hanya perlu dibimbing dan diberi sokongan dalam proses untuk mendapatkan segulung ijazah yang bukannya mudah, namun tidak juga terlalu susah.

Di samping mengajar, pensyarah juga berperanan membantu dan menyokong tugas-tugas pentadbiran di peringkat tertentu. Kerap kali pensyarah akan diminta membantu dalam urusan pengambilan pelajar atau kakitangan, menjaga hal-ehwal kebajikan pelajar, mengawal selia program penyelidikan dan pembangunan (R&D), menyelaras program kursus, penganjuran seminar, menyelesaikan masalah akademik, menyelia akitiviti luar pekuliahan, terbabit dengan proses perancangan dan pembangunan tertentu dan seterusnya banyak lagi tanpa noktah.

Pensyarah juga perlu menjalankan kajian dan penyelidikan, sama ada secara langsung atau menyelia projek penyelidikan pelajar. Mereka dikehendaki menjalan kajian penyelidikan dalam bidang kepakaran masing-masing, memohon geran penyelidikan untuk tujuan berkenaan dan membentangkan hasil penyelidikan melalui penerbitan saintifik, pembentangan di persidangan dalam dan luar negara dan sebagainya.

Ini merupakan sebahagian daripada Petunjuk Keberhasilan Utama (KPI) dalam pentaksiran prestasi pensyarah IPT. Tugas mengajar yang dipikul guru adalah satu daripada tiga peranan yang terdapat pada seorang pensyarah.

Pendidik, guru dan pensyarah adalah perkataan yang nampak sinonim namun terdapat perbezaan ketara dalam pengertian dan makna. Apabila dibandingkan antara pendidik dengan guru dan pensyarah, jelas menunjuk bahawasanya 'guru' atau 'pensyarah' merujuk kepada jawatan.

Seorang guru mengajar di sekolah, tetapi pendidik adalah seorang guru yang mengajar, membimbing dan mendidik muridnya. Seorang guru yang baik adalah seorang pendidik.

Pendidik merupakan mereka yang komited dan ikhlas menyediakan pengajaran dan pembelajaran untuk pendidikan muridnya. Seorang pendidik biasanya adalah seorang pengajar, mentor, atau jurulatih malah rakan muridnya. Secara perbandingan mudah, pendidik mendidik, guru mengajar.

Seorang pendidik bukan mengajar semata-mata. Mereka akan menerapkan prasa intelektual, moral dan sosial dalam memastikan murid mendapat pendidikan yang sempurna.

Pendidik biasanya merupakan mereka yang mahir dalam mengajar, memberi tumpuan tidak berbelah bahagi terhadap pembangunan murid dan mengambil berat penilaian atau pentaksiran anak didiknya. Pendidik mentaksir perkembangan muridnya dengan prihatin dan menyesuaikan proses PdP dengan tahap murid yang diajar atau dididik.

Seseorang boleh menjadi pendidik tanpa menjadi guru atau pensyarah. Sebagai contoh, Ibu bapa adalah pendidik anak masing-masing yang pertama dan pembimbing paling berpengaruh dalam perkembangan sahsiah mereka.

PENULIS ialah Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Jabatan Ilmu Pendidikan, Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa, Lembah Pantai, Kuala Lumpur.