Cerpen : Kalam Ilahi Penyejuk Hati


Dua sahabat yang sedang meniti usia emas bergelar siak di Masjid Kampung Ngor sememangnya berkawan baik sejak kecil lagi. Mereka hidup berjiran dan membesar bersama. Sederap, selangkah, seiringan menuju ke hadapan.

Jika diimbas sejarah, En. Shahri yang pernah bekerja sebagai kaunselor di Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Kangsar adalah seorang yang berpengaruh dan disegani di kampung tersebut. Apatah lagi menjadi pakar rujuk kepada jiran tetangga terutamanya dalam pendidikan anak-anak. Anak-anaknya seramai lima orang iaitu Hafizi, Rohayati, Azwan, Azizul, dan Kamal pandai, berjaya dan cemerlang. Mendapat pendidikan awal di sekolah kebangsaan.

Ustaz Khalil sahabat baiknya pula merupakan pengasas sebuah pusat tahfiz di Kampung Ngor. Juga memiliki lima orang anak iaitu Shahir, Aini, Syazwan, Zaniroh, dan Firazi. Anaknya ada yang pandai, biasa dan besederhana dalam hidup. Namun Ustaz Khalil lebih berminat untuk menghantar anak-anak ke sekolah aliran agama dan pusat pengajian tahfiz.

Berbalik kepada kejayaan anak-anak En. Shahri, anak pertamanya Hafizi mendapat 5A di dalam UPSR kemudian melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh. Kemudian belajar di United Kingdom. Selepas tamat belajar, mendapat tawaran kerja sebagai usahawan yang berjawatan tinggi. Anak keduanya Rohayati juga merupakan murid yang cemerlang belajar di MRSM, Taiping. Kemudian melanjutkan pelajaran hingga ke Australia dan akhir sekali menyandang jawatan sebagai doktor.

Kecemerlangan Hafizi dan Rohayati menjadi ikutan adiknya iaitu Azwan yang belajar di Sekolah Berasrama Penuh di Gopeng. Seterusnya melanjutkan pelajaran di Jepun dalam bidang kejuruteraan. Tamat belajar terus bergelar jurutera di Kuala Lumpur.

Kejayaan anak-anak En. Shahri sentiasa menjadi contoh kepada anak-anak kampung. Mereka memuji En. Shahri yang rata-rata anaknya melanjutkan pelajaran ke luar negara dan mendapat pekerjaan berjawatan tinggi. En. Shahri tersenyum gembira dan kepuasan setiap kali ada yang datang memuji. Dia bangga dengan kejayaan anak-anak. Masa depan anaknya terus terang benderang bagai mentari terbit pagi. Pelangi juga seolah-olah turut mewarnai perjalanan hidup mereka.

Namun begitu, anak-anak Ustaz Khalil lebih berminat dalam bidang keagamaan sesuai dengan gelaran ustaz yang diwarisi olehnya. Shahir anak pertamanya mendapat UPSR hanya 3A 2B. Mendapat pendidikan di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Yahyawiyah, Padang Rengas. Kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur. Tamat pengajian menjadi seorang ustaz di kampung halaman sendiri iaitu Sekolah Kebangsaan Kenering kerana tidak berminat untuk menyambung pelajaran di luar negara dek lebih mementingkan asas agama.

Anak Ustaz Khalil yang kedua, iaitu Aini belajar di Maahad Tahfiz Darul Quran di Kelantan. Kemudian melanjutkan pelajaran ke Mesir. Tamat pengajian menjadi ustazah dan menubuhkan Maahad Tafhiz Solehiah di kampung tempat tumpah darah. Begitu juga dengan adik Aini iaitu Syazwan, bersekolah di Sekolah Agama Izzudin Shah, Ipoh. Kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya. Akhir sekali menjadi guru Sains di Sekolah Menengah Agama Temenggong Kati juga berdekatan dengan kampung.

Sememangnya Ustaz Khalil amat berbangga dengan kejayaan anak-anaknya yang lebih memfokuskan bidang keagamaan dalam mendidik anak-anak. Berbeza dengan En. Shahri yang namanya sentiasa menjadi sebutan orang kampung kerana kejayaan yang dikecapi anak-anaknya lebih gah berbanding kejayaan yang dimiliki oleh anak-anak Ustaz Khalil. Mereka sering dibandingkan oleh orang kampung. Oleh ahli jawatankuasa masjid.

Dalam kemegahan En. Shahri dengan anak-anak, Ustaz Khalil juga tetap sujud harapan. Anak-anaknya biarpun tidak menjadi contoh atau idola dia terima seadanya. Biarlah. Biarlah anak-anaknya memilih jalan mendekatkan diri dengan al-Quran dan hadis. Biarlah anaknya dipandang 'biasa-biasa' sahaja.

Biarpun nama En. Shahri lebih dipuji dan dijadikan contoh oleh orang kampung, Ustaz Khalil langsung tidak bersedih. Biarlah dia mendidik anak-anak lebih kepada bidang keagamaan dan kejayaan anak-anaknya tidak sehebat apa yang dikecapi oleh anak-anak En. Shahri.

Bagi En. Shahri pula, dia tetap memuji dan menceritakan setiap kejayaan anak-anaknya yang mendapat kecemerlangan sejak di sekolah rendah lagi. Tidak cukup dengan itu, perasaan hidung tingginya datang setiap kali anak-anak dapat melanjutkan pelajaran dan menyandang jawatan tinggi di luar negara. Setiap kali dibuat perbandingan dengan anak-anak Ustaz Khalil setiap kali itulah dia merasa anak-anaknya 'menang' dalam apa jua bidang. Mampu menggapai bulan dan bintang.

Apa pun masing-masing tetap berbangga dengan kejayaan anak-anak. Ustaz Khalil tetap bermegah dengan kejayaan anaknya. Dia tetap bangga anak-anak tidak bekerja di luar negara dan lebih bersikap 'bangau pulang ke lumpur'. Lebih selesa hidup di kampung dan berdekatan. Bagi En. Shahri pula, makin jauh anaknya belajar, makin berjawatan, makin dipuji dan dipuja oleh orang kampung, maka dia akan menjadi bertambah bangga. Bintang anak-anaknya semakin bersinar. Biarlah anak-anaknya 'bebas seperti burung' dalam mencari sebuah kejayaan setinggi awan sekali pun.

Namun begitu, En. Shahri berasa sedikit 'kekhilafan' apabila anak bongsunya iaitu Kamal tidak menunjukkan kehebatan dalam pelajaran. Tidak mengikut jejak abang dan kakaknya yang lain dengan melanjutkan pelajaran hingga ke luar negara. En. Shahri rasa terkilan anaknya yang itu hanya mendapat 2A 3B dalam UPSR. Lebih merasa 'kejanggalan' apabila anaknya Kamal menunjukkan sikap seperti anak Ustaz Khalil yang bongsu iaitu Firazi yang lebih berminat mencari agama.

Bahkan Kamal juga masuk sekolah tahfiz di Kelantan di bawah program Jakim. En. Shahri terus memandang rendah kepada anaknya yang lebih mengikut haluan anak-anak Ustaz Khalil itu dan bersikap bagai langit dan bumi. Bahkan sebaik-baik tamat belajar, Kamal menjadi ustaz dan bekerja pula dengan anak Ustaz Khalil di kampung. En. Shahri merasa sangat malu dan menganggap anak-anaknya 'ketinggalan' dalam segala hal. Kenapa mahu pilih hidup 'biasa-biasa' sahaja? Kenapa jalan yang dipilih anaknya sebegitu? Kenapa Kamal tidak 'mewarisi' bakat dan kehebatan yang ada pada adik-beradiknya yang lain?

Dalam masa yang sama Ustaz Khalil tetap berbangga dengan kejayaan Firazi anak bongsunya. Firazi pula sentiasa memberi sokongan kepada Kamal. Sering mengingatkan tentang 'pandai bawa diri dan tahu asal usul'. Firazi tetap bangga dia hanyalah seorang murid Sekolah Agama Izzzudin Shah dan menyambung pengajian di Sekolah Menengah Sains di Pulau Pinang. Biarpun pujian orang kampung tidak menyebelahi diri anak Ustaz Khalil ini, namun dia percaya akan Qada dan Qadar. Biarpun ada rasa sedikit lemau iktibar berkibaran namun dia tidak sesekali tercium bauan hangit kesal yang terpaksa dipadamkan. Dia tetap dengan jiwa raga yang kental.

"Tak apalah Shahri, anak kamu Kamal dah cukup berjaya. Mereka keluar daripada perut yang sama. Setandan pisang juga tidak semuanya elok. Tak apalah kalau dia hendak 'mengikut jejak' anak-anak aku." Ustaz Khalil memujuk En. Shahri sebaik-baik sahaja mereka menghabiskan solat isyak di Masjid Kampung Ngor. Bahkan sejak dari dulu lagi dia berbangga dengan anak-anak kawan baiknya itu berjaya. Sumpah dia tidak dengki tapi tetap tumpang bangga.

Cuma mengapa kejayaan Kamal 'meresahkan' otak En. Shahri? Apakah ada liku di situ? Ada sesuatu yang tersurat ibarat serawan jalan yang kusut harus dileraikan. Adakah dalam hatinya sedang menyapu air mata dalam doa rintih merayu? En. Shahri terpaksa memujuk hati sendiri. Kamal, sentiasa menjentik rasa hatinya. Kalbu terketar merenung jelata. Menyerah doa segala hajat.

Lain yang dirancang lain yang terjadi. Kamal langsung tidak menandingi kehebatan abang dan kakak-kakaknya. En. Shahri sentiasa bermain dengan perasaan. Bagai waktu tersimpul dalam himpunan dosa yang panjang. Hatinya membias cahaya hitam dari celahan warna-warna jingga. Kisah Kamal melalui denai masa mula terhimpun carik.

Namun begitu dalam penantian yang panjang, En. Shahri sendiri seolah-olah terperangkap dengan kemegahan yang dicipta sendiri. Pujian, kemegahan, kebanggaan terhadap anak-anaknya kini seolah-olah menjerat diri. Dia tidak mampu bersuara dan melontar kata. Lebih-lebih lagi mengenangkan isterinya telah dijemput menemui Ilahi. Meninggalkan dirinya seorang diri di kampung. Hanya ditemani Kamal.

Sepi malam ditemani rembulan, tetap En. Shahri merenung dan berfikir menyaring setiap kisah. Kering dingin semerbak harum bertiup angin membawa cerita bertangis mencari makna.

Bahkan hatinya semakin sebak mencengkam dada apabila melihat Ustaz Khalil dan isterinya Ustazah Rosmawati sentiasa ditemani anak-anaknya seramai lima orang setiap kali menjejakkan kaki ke masjid untuk menunaikan solat lima waktu. Bahkan setiap kali Hari Raya pasti Ustaz Khalil tersenyum kegembiraan apabila anak-anaknya dapat meraikan hari lebaran dengan penuh gembira.

Jiwa dalam En. Shahri meronta-ronta menjerit hiba. Kisah jiwa mencari bebas sekian lama. "Ya Allah, di manakah anak-anakku saat ini? Umurku sudah 65 tahun. Isteriku Sazana sudah lama meninggal dek kanser. Aku kesepian dalam mencari arah dalam cahaya yang terang. Aku seorang pakar kaunselor yang sentiasa di kelilingi oleh ramai orang. Ramai orang jadikan aku pakar rujuk. Tapi kenapa hati aku terasa kosong dan tidak terisi? Bahkan aku tidak mampu menjadi pakar pada diri sendiri? Di manakah anak-anak yang aku didik sejak kecil? Mengapa mereka tidak bersama menemani hati tua aku yang sering setiap hari diburu resah rasa kesepian bagai padang jarak padang tekukur?"

En. Shahri terus diburu rasa sesal yang menebal. Bahkan setiap kali melihat anak-anak Ustaz Khalil yang sentiasa menemani dan memimpin ayahnya ke masjid, jiwanya meronta-ronta minta dilepaskan, namun terus terpenjara dalam sangkar besi. Dia terus mengibaratkan diri bagai gelas retak mangkuk berderai. Yang tinggal hanyalah kaca-kaca berselerakan.

"Kenapa termenung sahaja? Ingatkan siapa?" Ustaz Khalil menegur di beranda masjid. Di tepinya ditemani Ustazah Rosmawati tersenyum seumpama bulan purnama.

En. Shahri terus membalas kelat. Sabar berperang mengira setiap detik. Terputus dari waktu yang tersepit. "Untunglah kau. Aku nampak kau lebih gembira daripada aku. Anak-anakmu semua menemani walau ke mana saja pergi. Tapi aku tidak ada sesiapa. Jiwa aku juga tidak ada. Semua orang berteman."

"Bersyukurlah, kau masih ada Kamal. Kamal seorang anak yang baik. Dia ada asas agama yang kuat. Dia tidak akan tinggalkan kau." Ustaz Khalil memujuk sambil mengusap belakang sahabat baiknya itu yang sekian lama berkawan bagai isi dengan kuku.

Diakui dalam usia sebegini, kawannya dan dirinya juga amat memerlukan anak-anak. Tidak ada apa lagi yang harus dikejar melainkan anak-anak ada di sisi setiap masa, detik dan ketika. Tapi apakan daya. Anak En. Shahri sibuk dengan urusan duniawi di luar negara. Patutlah jiwa ayahnya makin sepi dan menyepi. Ibarat kemarau bertahun yang rindukan titis hujan.

"Ya, aku masih ada Kamal. Dia selalu kejutkan aku dari tidur. Kejutkan aku untuk ke masjid. Menemani aku. Tapi kenapa Kamal seorang sahaja? Aku ingin anak-anakku semuanya sebagai mana anak-anakmu menemanimu saat ini. Semua anakmu ada di sisimu..."

Kata-kata En. Shahri terhenti bersama dahinya yang berkerut seribu. Apakah dia sendiri telah terhukum oleh masa atau takdir yang tercela atau dosa yang terhina sehingga hatinya menjadi gersang dan kontang.

"Insya-Allah, anak-anakmu akan pulang ke pangkuanmu semuanya." Hanya itulah pujukan Ustaz Khalil yang sangat memahami hati kawannya. Jika dahulu dia memuji anak-anaknya bahkan tanpa disedari dalam masa yang sama hati Ustaz Khalil juga sudah lama terguris.

Terguris setiap kali orang kampung membandingkan anaknya dengan anak kawannya itu. Dia tidak sedar hatinya sudah terguris sejak sekian lama. Biarpun sedih dia redha. Biarlah anak-anaknya tidak sehebat anak-anak En. Shahri. Biarpun mereka tidak belajar dan berjawatan tinggi di luar negara, tapi hatinya sangat senang dan lapang. Anak-anaknya seolah menemaninya dari awal kelahiran sehingga ke akhir hayat. Anak-anaknya membesar, berjaya dan meniti hari-hari di depan matanya.

"Khalil, kau memang beruntung. Kalau aku tahu perkara ini akan terjadi dalam hidup aku pasti aku akan hantar ke semua anak aku ke sekolah tahfiz."

Ustaz Khalil merasakan kata-kata itu mendakap rapat dalam dada. Indah sungguh. Seindah bacaan al-Quran yang dialunkan anak-anaknya. Menyejukkan tangkai jantung, membunga sejuk hati suci jiwa.

"Aku sangat menyesal. Lebih-lebih lagi aku sering salah anggap kepada kau. Semua orang memuji dan menjadikan aku dan anak-anak sebagai contoh. Aku terlalu mengejar nama, pangkat dan kebendaan. Begitu juga dengan anak aku. Kesudahannya mereka mendapat kerjaya dan berpangkat tetapi aku merasakan tidak berjaya dalam membentuk mereka untuk mengumpul kasih sayang bersama aku. Mereka semakin jauh dan bukan dekat padaku."

"Sabarlah." Sepatah kata Ustaz Khalil memujuk. Dia faham naluri hati kawannya yang mula meraung menangis sendiri. Peluru-peluru sepi berterbangan mencari sasaran. Namun dunia tiada mempeduli dan mendengar keperitan.

"Aku minta maaf." Sepatah kata En. Shahri bisa membuatkan waktu turut menangis. Detik masa terus terhenti. Resah di hatinya hanya hambatan dejavu. Bahkan mesin masa tidak pernah peduli padanya. Hatinya turut tersiar pedih jiwa raga.

"Tidak mengapalah. Umur macam kita kasih sayang adalah segala-galanya." Ujar Ustaz Khalil yang umurnya 70 tetap ditemani anak-anak. Diakui kata-kata kawannya itu sangat dalam dan bermakna. Kasih sayang adalah segala-galanya. Kalam anak-anak adalah penyejuk hati. Jadi kunci yang boleh membuka segala pintu kebaikan dan mengunci segala pintu keburukan.

"Aku harap Kamal dapat mandikan jenazah aku setelah meninggal." Luahan rasa di hujung kerongkong mula menumpahkan lava emosi melimpah tak tertahan. Mencetus cemas menimbul gundah. Terhasil kacau merebak cepat. Meresap pantas ke tangkai emosi yang paling dalam.

"Jangan begitu. Insya-Allah, anak-anakmu akan pulang ke pangkuan." Ustaz Khalil tetap memujuk dalam sedar walau kawannya ditimpa derita menduga. Melingkari maya menerobos realiti dia tetap memujuk.

"Aku tergantung sepi kepada Kamal. Anak yang sering aku pandang sebelah mata kerana mengikut jejak anak-anakmu. Tetapi sekarang Kamal menjaga aku. Kalamnya adalah penyejuk hati aku. Kamal ada di depan mata. Tengoklah, dia sedang membaca al-Quran. Tapi mana anak-anakku yang lain. Aku tidak mendapat kasih sayang daripada mereka. Daripada semua anak-anak aku sebagaimana yang kau dapat sekarang ini. Bacaan ayat-ayat al-Quran yang keluar dari bibir Kamal di sepertiga malam, tetap menjadi penyejuk hati aku. Kalam Ilahi ini penyejuk hati aku dalam pencarian anak-anakku yang sekarang ini lena diulit intan. Menjauh mengejar bulan dan bintang." Sayu sungguh kata-kata En. Shahri. Menangislah dirinya bersama masa kerana barangkali ada bait-bait yang tidak tertulis atau lukisan-lukisan yang tidak terlukis seperti karma yang menjengah dari celahan jendela masa.

Benarlah Ustaz Khalil tidak mengharapkan pujian atau mencari nama. Cukuplah dia hanya insan biasa-biasa sahaja di mata orang ramai. Perjalanan diriya juga biasa-biasa sahaja. Dia senang bersikap wasatiyyah kerana dia sedar setiap kali membuka mata maka perjalanan ini baru bermula. Perjalanan ini masih mengkal masih belum bertemu papan penanda.

Ternyata diriya telah menang merancang masa depan. Kalam Ilahi yang diajar kepada anak-anaknya kini ternyata menjadi penyejuk hatinya. Mendekatkan jarak jiwa yang tidak pernah rasa kosong selagi matahari, bulan, bintang, dan cakerawala menjadi saksinya. Cukuplah kalam itu akan menjadi bekalan dirinya yang sedang dimamah usia ini menuju akhirat. Kekal dan abadi di sana.