PANGGILAN PULAU

(RE-UNION GURU PELATIH MPB 76-77)

— oleh Zaid Md Saman al-Haj —

Tidak kita menduga
takdir menentukan
bahawa natijah dari beberapa pertemuan keluarga
yang terdahulu
terpahat kukuh dalam nostalgia
yang masih segar dalam ingatan dan jiwa
lalu
menyeru melambai sahabat-sahabat yang perihatin
yang terus memukul genderang uar-uar ke seluruh pelosok negara
dan dengan pantasnya melunas-aturkan
pertemuan kasih-sayang dan rindu dendam
keluarga MPB 76-77.

Titipan wadah kasih
yang mula mencambah benih sebuah keluarga
pastinya tidak akan berpisah tiada
selagi hayat dikandung badan
sambil menitipkan doa ke hadrat Rabbul Jalil
sebagai anugerah khas
buat sahabat-sahabat yang lebih awal
menyahut panggilan Pemilik Abadi kita Allah Azza Wajalla
dengan kiriman doa khas
semoga roh para sahabat kita sentiasa tenang
di lazuardi perbaringan barzakh
dengan limpahan keampunan
dan cucuran rahmat al-Rahman al-Rahim.

Lantas
berhimpunlah kita di De’ Baron
atas kemampuan kudrat kesihatan dan kelapangan masa
dengan izin Allah jua
dengan satu tujuan utama
meneruskan ikatan ukhuwah silaturrahim dan titipan doa
semoga pertemuan dan perpisahan kita nanti
natijahnya sederap beriringan menuju ke pintu Jannah
berkat dari ratib-zikir
panggilan pulau.

Zaid Md Saman al-Haj
Langkawi