Fakta Memeranjatkan Tentang Bayi


Tiada apa yang lebih comel melainkan bayi yang baru dilahirkan. Selain daripada tahap kecomelan yang luar biasa, ada juga beberapa fakta menarik tentang bayi yang mungkin anda tidak pernah tahu.

Jom baca lebih lanjut apa yang istimewa tentang bayi – ia mungkin akan memeranjatkan anda!

1. Bayi Boleh Menangis di dalam Rahim

Kali pertama keluar dari rahim ibu dan ditepuk punggungnya oleh doktor, bayi selalunya akan menangis. Tetapi, itu bukanlah kali pertama dia menangis.

Sebenarnya, menurut kajian di dalam caremom.com, bayi sudah boleh menangis sejak di dalam rahim lagi – secara senyap. Ada satu kajian ultrasound telah dibuat oleh para pengkaji dan didapati fetus mampu menunjukkan tabiat menangis di dalam rahim iaitu dengan membuka mulut, menekan lidahnya, menggetarkan bibir bawah dan menarik nafas dengan laju.

2. Bayi Tiada Kepala Lutut

Sebenarnya, bayi ada kepala lutut namun ia masih lembut dan digelar tulang rawan. Jika bayi yang baru dilahirkan diletakkan di dalam x-ray, tulang lutut mereka tidak akan kelihatan. Tulang rawan itu hanya akan mula terbentuk secara sempurna pada usia 10 hingga 12 tahun!

3. Berat Kepala Bayi

Apabila bayi yang baru lahir ditimbang beratnya, hampir 25 peratus (%) daripada berat berkenaan datang daripada kepala bayi! Disebabkan peratusan berat kepala yang besar dan leher yang masih belum kuat terbentuk, amat penting untuk kita menyokong kepala bayi apabila mendukungnya.

4. Tulang Bayi Lebih Banyak Daripada Tulang Orang Dewasa

Lagi satu fakta menarik tentang bayi yang mungkin akan membuat anda berkata ‘wow’ adalah jumlah tulang bayi yang baru lahir adalah lebih banyak daripada orang dewasa!

Mereka mempunyai 300 tulang dan orang dewasa hanya 206. Tulang-tulang ini kemudiannya akan bercantum semasa mereka membesar dan berakhir dengan jumlah biasa iaitu 206.

5. Bayi Boleh Bernafas dan Menelan Pada Waktu Yang Sama

Cuba anda buat perkara ini: bernafas dan menelan air liur/makanan pada masa yang sama. Tidak boleh bukan?

Ini adalah kerana terdapat lapisan di bahagian tekak anda dikenali sebagai epigglotis yang akan menutup lubang angin apabila anda menelan sesuatu. Namun, bayi dikatakan mampu untuk bernafas dan menelan pada waktu yang sama! Ini adalah supaya mereka boleh menyusu dan bernafas serentak.

6. Bayi Baru Lahir Tiada Air Mata

Apabila bayi yang baru lahir meraung atau merengek, mereka sebenarnya tidak mengeluarkan air mata - mereka hanya mengeluarkan bunyi sahaja. Ini adalah kerana air mata masih belum terbentuk.

Pada usia yang sangat muda sebegitu, mata mereka hanya mampu menghasilkan cecair yang cukup untuk memastikan mata mereka lembap dan sihat - bukannya banyak untuk mengeluarkan air mata.

Selalunya, ia mula keluar pada usia 3 hingga ke 12 minggu.

7. Penglihatan Bayi Adalah Sebaik Orang Dewasa

Ada orang menyatakan bahawa bayi yang baru lahir tidak boleh nampak apa-apa. Namun, sains menyatakan bahawa mata bayi sudah pun mampu melihat dengan baik sejak lahir. Namun, otak bayi masih belum mampu memproses dengan baik. Mata bayi juga belum mampu untuk memfokus dengan tepat.

Sebab itulah, pandangan bayi hanya terhad pada sekitar 8 hingga 12 inci daripada mata mereka sahaja sebulan pertama selepas dilahirkan.

8. Bayi Kenal Ibu Mereka Dahulu Sebelum Bapa

Tahukah anda bahawa bayi yang baru dilahirkan boleh mengesan suara dan bau ibunya sebaik-baik sahaja dilahirkan? Bayi juga hanya memerlukan beberapa minggu sahaja untuk mengenal rupa ibu dan membezakannya dengan orang dewasa yang lain. Suara dan keberadaan ibu yang berhampirannya dapat menenangkan bayi berbanding orang lain.

9. Bayi Bernafas Dua Kali Lebih Laju daripada Orang Dewasa

Bayi sememangnya seorang superpower. Bukan sahaja mempunyai tulang yang lebih banyak dan mampu bernafas dan menelan serentak, bayi juga bernafas dua kali lebih laju daripada orang dewasa – 130 hingga 160 kali seminit!

10. Bayi Boleh Tahu Arah Bunyi

Bukankah sudah diberitahu, bayi adalah seorang superpower! Bayi boleh mengetahui dari mana bunyi datang hanya selepas 10 minit dilahirkan. Sebab itulah bayi mudah terkejut dan bergerak apabila terdengar bunyi yang kuat. Pada usia 4 hingga ke 8 bulan pula, bayi sudah pandai untuk memusingkan kepala ke arah bunyi yang mereka dengar.

Menarik bukan ciptaan Tuhan? Semuanya telah direka dengan sebaik-baik dan sesempurna mungkin. Gunakan fakta menarik tentang bayi ini untuk mengenali si kecil anda dengan lebih baik.