Awas, kata-kata kesat ketika mengigau


Pernahkah anda khuatir kata-kata yang keluar daripada mulut ketika mengigau? Anda mungkin sahaja dapat mengawal kata-kata yang diucapkan dalam keadaan sedar tetapi mungkin tidak dapat dilakukan ketika anda sedang tidur. Demikian menurut para penyelidik seperti yang dipetik daripada agensi berita Arab News.

Seorang penyelidik dari Perancis, Dr. Isabelle Arnulf mendapati hampir 25 peratus dalam peserta yang terlibat kajiannya mengatakan sesuatu yang negatif saat mereka sedang tidur. Malah, ada yang mengeluarkan kata-kata kesat, lapor laman Medical News Today.

Seramai 235 peserta dewasa terlibat dalam kajian tersebut. Daripada jumlah itu, 87 didapati berjalan dalam tidur atau mengalami mimpi buruk. Dr. Arnulf juga mendapati 24 peratus kata-kata yang diucapkan semasa tidur bersifat negatif sementara 22 peratus lagi mengandungi kata-kata kesat.

“Apa yang kami ketahui sekarang ialah bercakap ketika kita sedang tidur sangat serupa jika dia bercakap ketika dalam keadaan sedar, iaitu daripada segi tatabahasa, respons seperti berdiam ketika menunggu jawapan dan sebagainya,” kata Dr. Arnulf.

“Perbezaannya bersifat kualitatif: bahasanya negatif, kasar dan semuanya ditujukan kepada seseorang dan bukan dirinya sendiri,” tambah beliau.