Mensyukuri Nikmat Di Bumi Malaysia


Betapa bertuahnya anak-anak warga Malaysia. Betapa bertuahnya anak-anak warga Malaysia.

Dalam soal pendidikan, perlu diakui menjadi rakyat Malaysia sememangnya beruntung dan bertuah. Hakikat bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai kerajaan yang berwawasan dan dinamik, stabil politiknya, aman damai, serta kukuh ekonominya tidak boleh disangkal telah membolehkan aspek pendidikan anak-anak warganegara ini diberi perhatian paling utama.

Jika dibandingkan dengan nasib anak-anak di beberapa negara lain yang terpaksa menjadi pelarian dan sukar mendapat akses kepada pendidikan, atau terpaksa belajar dalam kelas di bawah pokok, maka lebih-lebih lagilah kita patut merasakan betapa bertuahnya anak-anak kita.

Kolum Pemikiran Mahdzir bulan ini memetik dua tulisan hasil nukilan Menteri Pendidikan Dato' Seri Mahdzir Khalid dalam portal rasmi beliau mengenai betapa kita patut bersyukur mendapat nikmat menjadi warga Malaysia.

Bantuan Persekolahan KPM 2018: Memanfaatkan golongan sasar

Majlis-majlis penyampaian bantuan persekolahan yang diadakan membuktikan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang bertanggungjawab, prihatin lagi cakna kepada kebajikan rakyat terutama kepada kumpulan kanak-kanak yang berada di bangku persekolahan. Isu ekonomi global tidak pernah menghalang kita untuk melaksanakan semua janji kita kepada rakyat termasuk pengagihan bantuan kepada murid yang memerlukan.

Dalam Bajet 2018, kerajaan memperuntukkan dana yang sangat besar kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu sebanyak RM45.9 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan termasuk bagi menyediakan bantuan persekolahan kepada lebih 5.2 juta murid di seluruh negara.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, pendidikan peringkat rendah dan menengah di Malaysia adalah PERCUMA. Sebenarnya purata perbelanjaan setiap murid setahun ialah RM8,900. Selain itu, yuran khas, yuran peperiksaan hinggalah bayaran tambahan persekolahan telah dimansuhkan. Pinjaman buku teks diberi secara percuma kepada semua murid. Untuk tahun 2018, KPM telah meneruskan 19 jenis bantuan dengan peruntukan sebanyak RM3.103 bilion. Antara bantuan tersebut ialah Bantuan Persekolahan Umum, Bantuan Persekolahan Khusus dan Bantuan Persekolahan One Off.

Bantuan umum misalnya akan disalurkan terus kepada sekolah tanpa sebarang syarat atau kriteria khusus bagi menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta aktiviti luar bilik darjah berdasarkan jumlah enrolmen murid tahun semasa. Ini pastinya akan dapat terus membantu kelancaran aktiviti PdP di dalam kelas dan sekolah pada setiap hari seperti yang dirancang.

Sebagai bekas guru, Mahdzir mampu menyelami dan memahami isu-isu berkaitan sekolah, cikgu, murid dan ibu bapa.

Sementara itu, bantuan khusus pula diberikan kepada murid yang layak berdasarkan kepada kriteria yang ditetapkan bagi membantu murid daripada golongan yang berpendapatan rendah, orang kurang upaya (OKU) atau yang cemerlang dalam akademik dan sukan. Antara bantuan yang disediakan kepada murid daripada kalangan berpendapatan rendah ialah Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM100 bagi setiap murid iaitu daripada kalangan keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah dengan jumlah peruntukan sebanyak RM350 juta.

Di samping itu, bagi murid sekolah rendah daripada golongan berpendapatan rendah, kerajaan secara konsisten menyediakan peruntukan khusus di bawah program Rancangan Makanan Tambahan 1Malaysia (RMT1M) yang turut merangkumi Program Susu 1Malaysia (PS1M). Bantuan khusus lain termasuklah Bantuan Makanan Asrama serta Biasiswa Kecil Persekutuan, Biasiswa Sukan dan juga elaun Murid Berkeperluan Khas (MBK).

Malah kerajaan juga menyediakan beberapa bantuan sampingan lain seperti saluran peruntukan bagi pembelian Jaket Keselamatan Murid (JKM) serta bantuan Pengangkutan dan Perjalanan Murid (PPM) kepada yang memerlukannya di samping peruntukan khusus untuk program Kelas Dewasa Ibu Bapa Orang Asli dan Penan (KEDAP).

Maka apa yang penting sekarang ialah sejauh mana segala bantuan persekolahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan yang disasarkan. Secara umumnya mengambil kira segala bantuan yang disediakan ini, tidak wajar timbul lagi kes anak-anak keciciran untuk masuk ke sekolah kerana sudah sedia ada banyak bantuan untuk memulakan sesi persekolahan.

KPM berharap pihak ibu bapa sama-sama memainkan peranan menjayakan usaha murni ini. Pastikan anak-anak dihantar ke sekolah dan menikmati segala kemudahan yang kerajaan sediakan demi kepentingan, keselamatan dan kebajikan bersama. Sama ada golongan yang berpendapatan rendah, anak Orang Asli mahupun yang OKU semuanya wajar mendapat peluang yang sama rata.

Kita berharap menjelang tahun 2050, negara ini boleh mencapai angka sifar kadar keciciran anak ke sekolah dan pada masa sama, kadar celik huruf rakyat akan terus meningkat setanding dengan negara-negara maju lain sekali gus mampu memacu kegemilangan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang dihasratkan.

Saya difahamkan pihak NGO dan swasta turut sama akan menyampaikan bantuan kepada murid. Terima kasih atas keprihatian dan kecaknaan. Saya menyeru kepada pihak swasta dan badan korporat agar turut sama membantu anak-anak yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian masing-masing dengan lebih baik dan selesa. Bantuan kewangan atas dasar tanggungjawab sosial korporat (CSR) perlu diteruskan demi masa depan anak-anak di samping dapat mengurangkan pergantungan sepenuhnya kepada pihak kerajaan.

Dalam negara yang stabil, mempunyai ekonomi yang mapan dan rakyat bersatu-padu, anak-anak boleh mendapat pendidikan yang baik.

Semoga segala bantuan persekolahan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan dengan peruntukan yang cukup besar ini mampu memberikan manfaat yang sepenuhnya kepada semua golongan sasar di negara ini. Kita percaya bantuan sebegini bukan saja bertujuan membantu mengurangkan beban kewangan ibu bapa malah akan membantu secara berterusan untuk melahirkan lebih ramai lagi golongan cerdik pandai dalam kalangan rakyat kita.

Harapan saya, semoga rakyat membuat pertimbangan yang bijak, rasional dan adil dalam menilai segala budi dan jasa kerajaan yang memerintah hari ini untuk kemajuan pendidikan rakyat pada masa ini dan pada masa akan datang. Demi kelangsungan pembangunan pendidikan rakyat, bangsa dan negara, maka kesinambungan pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional amat diperlukan.


Komitmen Bersama Memperkasa Akses dan Ekuiti Pendidikan

Kementerian sentiasa berusaha untuk membangunkan murid yang seimbang selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), justeru Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) terus diperkasakan dengan memperkenalkan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) untuk sekolah rendah. Dengan cara ini ibu bapa dan penjaga akan mendapat maklumat yang lebih holistik mengenai prestasi anak-anak mereka. Pelaporan ini adalah lebih baik kerana mencakupi prestasi murid dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek yang dapat membantu dalam menentukan asas bagi mereka menyerlahkan kebolehan dan bakat masing-masing di sekolah menengah.

Bagi menyerlahkan bakat murid ini dan memastikan pendidikan kita dapat membentuk kesejahteraan diri mereka, Kerajaan melalui KPM telah menyalurkan pelbagai bantuan kepada mereka yang memerlukan. Perlu saya nyatakan sekali lagi bahawa dalam Bajet 2018, Kerajaan memperuntukkan dana yang besar iaitu RM45.9 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi KPM. Daripada manakah peruntukan ini diperoleh? Sudah tentulah daripada pendapatan negara, termasuk cukai serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Justeru janganlah mengeluh kerana hasil daripada GST itu telah disalurkan dengan sebaik-baik mungkin bagi pelbagai usaha pembangunan, antaranya untuk pendidikan anak-anak kita sendiri.

Pendidikan Rendah dan Menengah Percuma di Malaysia

Diingatkan juga bahawa pendidikan di Malaysia untuk murid di peringkat rendah dan menengah adalah PERCUMA kepada semua anak warganegara. Ibu bapa dan penjaga hanya perlu menyediakan kelengkapan untuk anak-anak mereka mendaftar di sekolah. Kerajaan membiaya secara purata sebanyak RM8,900 untuk setiap 5.2 juta murid di seluruh negara setahun bagi mereka mendapatkan pendidikan di sekolah. Yuran khas, yuran peperiksaan hinggalah bayaran tambahan persekolahan telah pun dimansuhkan. Setiap murid diberikan pinjaman buku teks, tanpa mengira kemampuan keluarga masing-masing. Seharusnya kita merasa bersyukur kerana kerajaan telah menyempurnakan tanggungjawab dalam memastikan setiap anak warganegara diberikan pendidikan berkualiti bagi mereka mendepani cabaran global kelak.

Bagi murid yang memerlukan, KPM telah menyediakan bantuan dalam pelbagai bentuk. Yang pentingnya ialah anak-anak warganegara dapat terus bersekolah. Untuk tahun 2018 sahaja jumlah bantuan yang diperuntukkan adalah sebanyak RM3.10 bilion, meningkat daripada RM3.06 bilion pada tahun sebelumnya. Bantuan ini termasuklah bantuan makanan, sukan, pendidikan khas, biasiswa dan elaun, bantuan perjalanan dan pengangkutan, bantuan kelas dewasa Orang Asli, baucar buku serta BAP yang diagihkan pada bulan Februari. Dengan pelbagai bantuan yang disalurkan ini, tidak ada sebab mengapa anak-anak kita tidak mendapat peluang untuk mengikuti pendidikan berkualiti di sekolah.

Bukan sahaja nasib murid dibela, kerajaan juga sentiasa memastikan bahawa institusi kekeluargaan itu sendiri dipelihara. Sekiranya keluarga murid memerlukan bantuan tambahan, kerajaan telah memperuntukkan pelbagai insentif di bawah Kementerian yang lain bagi memastikan kesejahteraan hidup rakyat di negara ini.

Justeru tidak ada sebab mengapa anak-anak kita tidak boleh mendapat peluang untuk mendapatkan pendidikan terbaik yang telah disediakan. Sepatutnya tidak ada lagi kes mengenai keluarga yang daif atau anak-anak yang tidak bersekolah dalam keadaan negara kita yang makmur dan harmoni ini. Kerjasama erat yang dijalin antara sekolah, ibu bapa dan masyarakat sebagaimana yang dianjurkan dalam Anjakan ke-9 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 ini akan dapat membentuk satu sistem pembelajaran yang kondusif untuk anak-anak kita, dalam persekitaran yang selamat dan selesa.

Mensyukuri nikmat di bumi Malaysia

Sesungguhnya saya merasa bersyukur kerana telah dapat membantu kerajaan melaksanakan amanah memberikan peluang pendidikan kepada anak-anak kita melalui KPM. Setiap hari apabila mengetahui kesengsaraan yang dilalui oleh saudara kita di negara yang dilanda musibah peperangan seperti di Syria atau di Palestin, mahupun mereka yang ditindas seperti pelarian Rohingya, saya memanjatkan doa kepada Ilahi supaya negara kita kekal makmur dan harmoni seperti sekarang. Ya, saya akui tidak ada negara, tidak ada kerajaan yang sempurna.

Namun begitu, saya berbangga kerana negara kita dapat mengekalkan kestabilan dan keamanan dalam keadaan dunia yang kian tidak menentu ini. Kini menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan keselamatan dan keselesaan yang dilalui oleh anak-anak kita terus terjamin. Kita perlu memastikan negara yang mereka warisi ini adalah negara yang berdaulat dan dihormati di persada dunia.

Ikrar KPM

KPM akan terus melaksanakan tugas yang telah diamanahkan ini dengan penuh integriti sebagaimana yang telah dijanjikan oleh semua warganya melalui Ikrar Penjawat Awam yang dilafazkan. Sebagaimana yang telah saya nyatakan dalam Majlis Perutusan yang lalu, saya memerlukan bantuan daripada semua pihak dalam memastikan agenda pendidikan kerajaan dapat direalisasikan. Bantuan dan sokongan boleh diterjemahkan melalui pelbagai kaedah seperti komitmen dalam melaksanakan program atau aktiviti melalui penglibatan Ibu bapa dan komuniti (PIBK) di peringkat sekolah .

Penghargaan daripada saya kepada semua pihak yang telah sama-sama memberikan maklum balas dan bantuan demi memastikan kualiti pendidikan negara tetap terpelihara.