Adakah Kita Gagal Sebagai Pendidik?


Sindrom 4K (kuliah, kafeteria, katil, komputer) yang kini melanda sebahagian besar pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) merupakan isu serius yang perlu segera ditangani.

Kuliah hanya digunakan untuk mendengar syarahan tetapi tidak fokus; kafeteria dijadikan tempat membuang masa dan melepak; katil dijadikan sahabat untuk tidur melampau; manakala komputer digunakan untuk melayan media sosial dan tidak mahu bercampur gaul dengan masyarakat.

Fenomena ini dikatakan telah mengikis kualiti graduan lulusan universiti tempatan dan membayangi ketidakboleh pasaran mereka dalam pasaran kerja berkemahiran tinggi.

Dalam pada itu ada pula tohmahan mengatakan pusat pengajian dan pendidik tidak memenuhi kehendak 'pelanggan' dalam menyemai minat dalam pembelajaran. Adakah benar pendidik gagal menjalankan tanggungjawab mereka?

Secara positif, kegagalan itu akan membuat kita berusaha untuk memperbaiki dan membetulkan kesilapan dan seterusnya mencapai kejayaan yang diharapkan. Kadang kala memang kita yang menyebabkan kegagalan itu berlaku dan mungkin juga kita tidak diberikan bantuan atau instrumen yang diperlukan untuk mencapai kejayaan.

Gagal bukanlah perkara yang paling teruk berlaku dalam kehidupan. Sebaliknya ia boleh membuat kita berasa lebih kuat dan bersedia untuk menghadapi cabaran yang akan berlaku pada masa hadapan. Walaupun kita rasa sedih kerana gagal menjalankan tugas dengan baik, masih ada harapan untuk memperbaiki keadaan.

Pendidik dikatakan gagal dalam menyempurnakan misi mereka (di sekolah atau IPT) mungkin kerana jiwa mereka sudah tidak lagi selesa dengan kerjaya yang sedang mereka ceburi. Mendidik bukanlah kerjaya yang selesa bagi semua yang bergelar pendidik.

Setiap insan dianugerahkan dengan bakat, tetapi untuk memikirkan bagaimana dan di mana menggunakan bakat dengan sebaiknya adalah agak sukar. Anda mungkin pada mulanya menganggap berbakat dan telah ditakdirkan menjadi seorang pendidik.

Walau bagaimanapun, jika anda kini merasakan bahawa hati anda tidak selesa berada dalam kerjaya anda ceburi apabila melangkah masuk ke dalam bilik darjah atau dewan kuliah, sudah tiba masanya untuk anda menilai semula laluan kerjaya dan membuat beberapa perubahan yang sewajarnya.

Mungkin anda terlibat dalam dunia pendidikan secara tidak sengaja atau atas sebab yang salah, atau mungkin kerjaya pendidikan anda telah berubah begitu banyak dan anda merasakan tidak ada lagi apa yang menarik mengenainya. Situasi sebegini mungkin berlaku.

Mendidik adalah satu kerjaya yang hebat. Semua gerak kerja dilakukan dengan teliti, cermat dan tersusun. Mereka akan berhati-hati ketika memeriksa dan memberi gred pada kertas ujian dan membuat rancangan pelajaran yang bermakna kerana mereka diberi kuasa untuk membuat perubahan dalam kehidupan seorang pelajar.

Anda telah pun membuat keputusan untuk menjadi seorang pendidik, sudah tentu anda yakin apa yang sebenarnya anda ingin ajar. Program pendidikan guru yang anda jalani dan lalui ketika menjalani latihan berlangsung begitu cepat dan pantas dan apabila anda tamat pengajian anda mendapati bahawa anda dikehendaki mengajar subjek yang anda tidak minat ataupun ditempatkan di tahap yang anda tidak mampu menghubungkan diri. Jangan risau.

Yang pasti anda kini adalah seorang pendidik yang berkelayakan, berkemahiran dan terlatih. Sebaiknya anda menggunakan bakat anda dengan cara yang terbaik.

Adakah anda dilatih untuk mengajar murid tahap rendah tetapi ditempatkan di kelas tahap yang tinggi dan anda bimbang dan risau yang anda tidak mampu untuk mengendalikannya? Contohnya, anda minat dan dilatih mengajar bahasa tetapi diminta mengajar seni atau matematik.

Mungkin anda perlu menyenaraikan apa yang anda suka tentang kerjaya anda dan yang penting apa yang sebenar mahir atau cekap. Gunakan dan buatlah penilaian untuk mendapatkan jawapan yang terbaik dan mintalah pandangan dan nasihat rakan anda.

Anda tidak boleh menganggap semua ini berlaku seperti ketika anda menjalani latihan guru dahulu. Sebaik-baik sahaja anda tamat pengajian, sebarang kemungkinan boleh berlaku dan tidak berkesudahan, kecuali pasaran pekerjaan adalah sukar.

Mungkin anda terpaksa ditempatkan di sekolah menengah kerana tiada jawatan untuk anda pada masa itu. Jika anda telah bersedia dan membuat yang terbaik daripadanya, maka ia tentu tidak menjadi masalah. Jika tidak, eloklah anda berfikir sesuatu yang lain dan mula mencari jawapan yang terbaik.

Anda mungkin tidak pasti mengenai subjek atau tahap yang sesuai untuk anda ajar, oleh itu anda perlulah melakukan sesuatu untuk mencari kesesuaian minat anda. Namun bagi pendidik di Malaysia, kita diarah untuk mengajar mengikut apa yang telah ditetapkan oleh pihak pentadbir.

Mungkin boleh berbincang dengan pihak pentadbiran mengenai minat dan kebolehan anda atau tahap kumpulan murid manakah yang sesuai dengan anda, kejayaan dan kepuasan dalam meniti kerjaya akan hadir.

Pendidik biasanya gagal dalam pengajaran kerana kebanyakkannya didapati tidak bersedia. Program persediaan latihan guru didapati tidak membantu pendidik untuk merancang pengajaran sebenar. Ini adalah salah satu aspek penting dalam bidang pendidikan.

Dengan pelbagai institusi latihan pendidikan yang menawarkan pelbagai cara perancangan program mengajar sudah pasti pendidik yang terlibat tidak pasti program perancangan yang manakah yang terbaik untuk dilaksanakan.

Sesi persekolah adalah sesi berterusan sepanjang tahun, setiap perancangan mengajar mestilah dirancang dengan baik dan teratur. Apakah yang anda perlu buat untuk sentiasa bersedia dengan perancangan anda? Tentunya anda perlu membaca, berfikir dan merancang terlebih dahulu.

Anda perlu bersedia dengan matlamat untuk pelajar anda, anda perlu berfikir tentang bagaimana untuk menjayakan apa yang diinginkan. Rancangkan aktiviti dan peluang untuk murid anda belajar.

Anda tidak perlu merancang setiap perincian pembelajaran dalam tahun pengajaran, namun anda hanya perlu berfikir mengenai wawasan yang ingin dicapai terutama bagaimana anda mampu membina pengajaran berdasarkan pengetahuan berkaitan. Cuba libatkan murid anda bersama dalam perancangan dan pembentukan kurikulum tambahan.

Jika anda memerlukan ketenangan dalam membuat perancangan cubalah mendapatkan masa yang terbaik setiap hari dengan memberi tumpuan dalam persediaan perancangan anda. Setiap yang penting dalam hidup memerlukan persediaan yang mantap.

Kebanyakan pendidik terutama yang baru berkecimpung dalam dunia pendidikan akan berasa terharu dan kecelaruan jika mendapati mereka gagal mengawal pengurusan bilik darjah. Jika anda berasa bingung dengan apa yang berlaku cubalah mencari penyelesaian dengan tenang dan dengan reda.

Cuba senaraikan kekusutan yang menjejaskan tumpuan anda. Adakah mengenai menyemak kertas ujian, adakah ketika berurusan dengan ibu bapa? Adakah tentang pengurusan bilik darjah? Belajar dan berusahalah untuk mengatasi masalah seperti ini satu persatu dan yakinlah bahawa anda mampu mengatasi dan menyelesaikan masalah ini.

Jangan mudah mengalah, beri tumpuan terhadap apa yang berjaya dilaksanakan dan cari jawapan tentang mengapa ia berjaya dilaksanakan. Cuba aplikasikan kejayaan bagi masalah yang tidak berjaya anda laksanakan lagi.

Kebiasaannya kita tidak berjaya kerana kita risau dan takut untuk bertanya. Alam pendidikan adalah umpama kelab eksklusif pakar. Pendidik yang baik biasanya adalah mereka yang berkongsi kejayaan mereka secara berterusan.

Anda tidak perlu segan atau malu untuk meminta pertolongan atau khidmat nasihat. Jika anda berasa tidak selesa mendapatkan pandangan dari sesama sendiri mungkin anda boleh mengunakan cara lain seperti di ruangan forum pendidikan.

Penulis ialah Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia.