Air Mata Syawal


“Ponteng! Ponteng! Ponteng! Dah berapa kali saya cakap, jangan ponteng sekolah sesuka hati sahaja. Kalau tidak hadir kena tulis surat. Hilang macam tu sahaja. Ini sekolah ke kandang kambing?” Cikgu Azizul pagi-pagi sudah naik angin. Apa tidaknya kedatangan murid Tahun Enam Akasia hari ini semakin merosot. Empat orang murid tidak hadir kesekolah dirasakan rekod yang sangat tinggi bagi Tahun Enam yang akan menduduki UPSR tidak berapa lama lagi.

Murid-murid terus tunduk bagaikan kura-kura menyorokkan kepala. Hafizi dan Kamal murid paling otai juga terdiam kaku.Hanya bunyi kipas buruk yang kedengaran.Takut benar andai Cikgu Azizul naik hantu. Macam-macam boleh terjadi. Tidak siap kerja sekolah sahaja alamatnya kena duduk di luar kelas. Hantar buku tapi kerja tidak siap lagilah dia bersikap singa lapar. Sah, buku tersebut akan ‘terbang’ di baling kearah murid.

“Kalau ikutkan di sini, Dalila menjuarai carta. Bulan lepas sahaja 13 kali ponteng. Bulan puasa bukan alasan tidak hadir ke sekolah!” Cikgu Azizul geram.

“Dari Tahun Lima lagi dia suka ponteng!” Rohayati yang bermulut lancang berani bersuara.

“Sekarang Tahun Enam. Kena hantar surat tunjuk.” Cikgu Azizul melepaskan keluhan sebelum meninggalkan kelas. Meninggalkan murid-murid yang masih lagi tidak berani untuk membuka mulut.Sedar, guru kelas tersebut sangat‘berbisa’ di mata mereka.

Keesokan harinya Cikgu Azizul mememui Dalila. “Empat hari berturut-turut kamu ponteng ni sebab apa? Bersalin ke? Anak ke berapa dah?”

“Ayah sakit cikgu. Empat hari lepas ayah kena buang selaput mata. Jadi saya terpaksa menjaga ayah yang sakit. Saya terpaksa kemas rumah, basuh baju, memasakdan menjaga kedai. Penat cikgu,tambah-tambah bulan puasa.”

Penerangan Dalila dari hati ke hati membuatkan Cikgu Azizul rasa bersalah. Kasihan sedikit menjalar.Nampaknya anak muridnya itu ponteng bersebab. Lebih-lebih lagi memetik nama ayah yang sakit.Hati Cikgu Azizul sedikit cair.

“Macam mana sekali pun Dalila kena hadir sekolah. Minggu depan ada Dialog Prestasi Tahun Enam.Jangan lupa suruh ayah hadir.”Cikgu Azizul memaklumkan sahaja lalu menyuruh Dalila masuk kelas.

Sebagaimana yang dirancang,minggu berikutnya Dialog Prestasi Tahun Enam berjalan dengan lancar. Guru Besar, Encik Shahri berucap sepatah dua kata yang lebih menjurus kepada usaha pihak sekolah. Kemudian pembentangan dibuat oleh Puan Hajah Nor Rosmawati selaku PK Pentadbiran juga lebih kepada prestasi,perancangan sebelum dan selepas bagi menghadapi UPSR, diikuti oleh pembentangan guru mata pelajaran.

Dialog berjalan dengan lancar biarpun di bulan puasa. Selesai sahaja majlis, kelihatan Pak Cik Rashidi mendekati Cikgu Azizul.“Cikgu, saya ayah kepada Dalila.”

Dia memperkenalkan diri dengan suara tenggelam timbul. Bahkan beberapa patah yang keluar dari mulutnya langsung tidak difahami.Kata-kata yang keluar itu diiringi air mata yang ditepis dengan tapak tangan. “Saya cepat sensitif cikgu.Kalau sebut pasal Dalila lagilah.Maafkan saya cikgu, kerana anak saya kerap kali ponteng. Cikgu tengoklah keadaan saya ini.”

Cikgu Azizul diburu rasa bersalah setelah melihat sendiri.Dipandangnya Pak Cik Rashidi yang usianya 75 tahun. Tubuhnya kurus kering. Jalannya terketar-ketar.Cikgu Azizul akui Pak Cik Rashidi memang sakit dan Dalilalah yang menjaga di rumah.

“Kalau ikutkan keputusan Penilaian Awal Tahun anak pakcik,Dalila memang layak ke asrama penuh. Itu sebab saya harap benar dia hadir ke sekolah dan tempuh UPSR dengan jayanya.” Cikgu Azizul tetap berbicara sambil menyelit kepentingan pelajaran.

Entah mengapa, pertemuan dengan Pak Cik Rashidi sebentar tadi betul-betul membuatkan Cikgu Azizul tidak lena tidur. “Agaknya apa yang terjadi kepada keluarga ini? Apa yang menyebabkan Dalila sering ponteng? Bagaimana harus aku mencari jalan terbaik?”

Soalan demi soalan sekali lagi bermain dalam fikiran.Keesokan hari, semasa ada masa terluang Cikgu Rashidi memanggil Dalila. Kali ini dia akan cuba untuk mengorek rahsia. Dia ingin mengetahui sebab Dalila ponteng sedalam-dalamnya.

“Saya anak tunggal cikgu. Emak meninggalkan saya dan ayah sejak berumur tujuh tahun.” Dalila cuba menjawab soalan. Menumbuh rindu yang kian beku. Mencari senyum dibara sesak.

”Emak kamu ke mana?” Cikgu Azizul cuba mengorek rahsia biarpun sudah nampak mata Dalila mula berkaca.“

Mengikut cerita ayah, malam itu ayah pulang dari kerja. Sudah lewat malam. Ayah sangat kepenatan memandangkan sempat berbuka dengan kurma sahaja. Ayah sampai dan meminta emak memasak cucur. Namun, emak pula dengan tiba-tiba marah dan meninggikan suara dengan mengatakan dia dirumah bukan duduk goyang kaki tapi melakukan kerja rumah. Ayah terkejut kerana emak meninggikan suara. Lantas ayah masuk tidur dengan rasa sakit hati.”

Cikgu Azizul mengangguk.“Selepas itu apa yang berlaku?”

“Jam 1 pagi, emak kejutkan ayah untuk makan cucur. Ayah tidak mahu bangun dan memberi amaran kepada emak agar jangan kejutkannya kalau dia sudah tidur.Ayah tertidur sampai ke pagi esok.Bahkan tidak bersahur.”

Cikgu Azizul semakin mengerti dengan apa yang diceritakan. Rupa-rupanya Pak Cik Rashidi berkahwin dengan Kak Zuraini yang ketika itu janda anak satu berumur 15 tahun.Mereka berkahwin di Siam. Jarak umur mereka pada ketika itu dua puluh tahun. Dan emak Dalila juga warganegara sana.

“Pagi itu, emak masukkan baju ke dalam beg. Ayah bertanya. Emak mengatakan bahawa ingin pulang ke kampung di Siam. Lantas ayah melarang. Namun emak tetap berdegil. Ayah mengatakan jika selangkah keluar dari rumah ini jangan jejakkan kaki ke sini lagi.”

“Emak kamu pergi tak?” Cikgu Rashidi bertanya memandangkan cerita makin menarik.

Dalila mengangguk dengan linangan air mata. Dalam sepi,dalam kesunyian yang membisu.Dia terdiam meratapi nasib perjalanan hidup.

“Emak pergi membawa kakak tiri saya, Rohidah.Sampai hati mak meninggalkan saya yang ketika itu berumur tujuh tahun.Dan sampai sekarang, saya tidak pernah berjumpa dengan emak.Ayah yang membesarkan saya…”Dalila meluah bersama perasaan lelah.Keputusan melekat dalam jiwa. Kemudian mengesat air mata mengenang keperitan menanggung beban hidup.

Fikiran Cikgu Azizul mula berkecamuk. Niat untuk mengetahui sebab ponteng kini bertukar perasaan simpati dan sedih. Tidak sangka Dalila ditinggalkan emaknya sejak berusia tujuh tahun lagi. Dalila hanya menumpang kasih sayang seorang ayah sehingga berusia 12 tahun kini.

Sejak itulah Cikgu Azizul mula mendekati Dalila setiap kali dia ponteng. Bahkan pihak sekolah sendiri tidak mampu berbuat apa-apa tiap kali Dalila tidak hadir kesekolah. Kata Dalila juga, pada usianya 11 tahun ayahnya terpijak duri pokok bunga kertas. Sejak itulah penyakit kencing manis mula merebak membuatkan mata ayah rabun. Bahkan dia juga menghidap darah tinggi dan buah pinggang pula rosak. Tiap kali ayahnya mendapatkan rawatan setiap kali itulah juga Dalila tidak hadir ke sekolah. Di rumah Dalila tidak goyang kaki. Bahkan telah diasuh sejak kecil oleh ayah supaya melakukan kerja rumah kerana tidak mahu mewarisi perangai emaknya yang pemalas.

“Lepas mak pergi ayah ada telefon tak? Adakah sudah bercerai?” Cikgu Azizul sekali lagi mengorek rahsia. Cuba mencari keberkatan di bulan Syawal. Moga diterima amalan biar terkumpul rahmat. Moga ada jalan bahagia buat anak muridnya.

“Setahun selepas emak pergi dia ada telefon semasa Hari Raya.Tetapi ayah kata tidak perlu kembali semula ke pangkuan.Ayah dah patah hati. Ayah kata dia bahagia tanpa emak. Dia mampu jadikan Dalila seorang anak yang berguna dan meletakkan pelajaran di hadapan. Tapi, sejak itu jugalah ayah sering ditimpa sakit-sakit. Saya pula jadi sedih dan bermain dengan emosi yang sarat menggunung…” Dalila meluah lagi bersama airmata di celah kelopak.Duka membayang nafas. Melepas derita yang kian menikam.

“Sabarlah Dalila. Moga raya kali ini kau akan jumpa dengan emak.Dia masih emak kamu. Selagi ayah tidak menceraikan dia.” Cikgu Azizul memujuk. Dia buntu fikiran. Cuba mencari jalan penyelesaian terbaik.Memang Pak Cik Rashidi amat patah hati sehinggakan dia tidak pernah menjamah cucur sampai kehari ini. Hatinya sudah patah seribu terhadap isteri yang telah pergi entah ke mana kini. Sangat kejam dan menjadikan Dalila mangsa keadaan.

“Dalila, macam mana dengan sambutan puasa tahun ini? Raya sudah hendak dekat.”

“Ayah kekadang sahaja pergi beli makan dekat bazar Ramadan di Gerik. Selebihnya saya masak dan menyediakan juadah berbuka.Tapi hari raya tetap tak ada tetamu.” Dalila meluah. Tahu Syawal pasti datang dan dia mengharap kegembiraan. Meraikan kejayaan Ramadan. Menjengok dan menyapa.

Cikgu Azizul mengangguk.Memang Dalila anak yang baik.Sudah menjadi tukang masak,tukang kejut ayah bersahur sejak umur terlalu muda lagi. Usia sepertinya patut berperang dengan buku. “Tak apalah Dalila. Insya Allah,raya nanti adalah tetamu.”

Cikgu Azizul memujuk membuatkan Dalila sedikit tersenyum. Entah apa yang bersarang dalam fikirannya.Sememangnya detik itu amat dinantikan. Apakah Syawal tahun ini Syawal yang terindah dalam hidupnya.

Senja yang berlabuh pun terus mengamit Syawal. Bibir tak kering menyebut kalimah memuji Ilahi.Takbir dari hamba Nya bergema seluruh semesta. Tak puas lagi umat Islam sujud menyembah pada Mu Ya Allah.

Hari ini, dengan limpah izin Mu,Syawal dipeluk penuh syukur. Pagi-pagi lagi Cikgu Azizul teringatkan muridnya. Dia kemudian menuju ke rumah. Senang sahaja untuk mencari. Masuk Kampung Ayer Jada terjumpa sebuah titi. Pergi jalan depan akan berjumpa dengan bukit.Naik lereng bukit akan menemui perkampungan. Jalan depan lagi sehingga ke hujung akan menemui rumah Dalila.

“Cikgu, masuklah!” Dalila awal-awal lagi memanggil dengan debaran yang belum reda. Terkejut dengan kedatangan tetamu pertama di pagi Syawal. Ayahnya Pak Cik Rashidi tetap sedia di tepi memakai cermin mata hitam. Matanya mudah berair apabila terkena cahaya matahari.

“Cantik Dalila hari ini. Selamat Hari Raya.” Cikgu Azizul memuji Dalila yang berbaju kurung hijau.Pertama kali dia melihat wajah Dalila begitu berseri-seri. Tidak pernah dilihatnya sebelum ini.Apakah Dalila terlalu gembira meraikan Syawal kali ini? Lebih-lebih lagi ada tetamu yang menjengah iaitu guru sendiri.Sebelum ini tidak ada orang kampung yang datang menyambut raya bersama-sama.

“Duduklah cikgu. Nikmati kuih raya yang tidak seberapa ini.” Dalila mempelawa dengan air muka yang berseri-seri bagai bunga matahari kembang pagi.“Dalila buat ke semua ini?”“Saya buat cikgu. Selebihnya ada ayah beli.” Dalila mengakui jujur. Memang dia telah terbiasa melakukan kerja-kerja orang dewasa.“Tapi, lepas ini kalau dapat duduk asrama macam mana?”“Betul cikgu. Itulah yang saya fikirkan. Kalau anak saya dapat belajar jauh…”“Cikgu, Dalila akan belajar di sekolah menengah dekat sini sahaja. Tidak mahu berpisah dengan ayah. Cukuplah ayah merana dengan perpisahan selama ini. Jadi, Dalila tidak akan sesekali meninggalkan ayah selagi hayat dikandung badan. Dalila akan jaga ayah. Akan kejutkan ayah bangun sahur.” Dalila mula bersuara sambil mengesat air mata. Hatinya cepat tersentuh membuktikan dia benar-benar sayangkan ayah.

“Assalamualaikum!” Tiba-tiba satu suara memberi salam dari luar.

Dalila bangun lalu menuju kehadapan. Dia tergamam. Kakinya seakan dipaku. Jantungnya turut terhenti. Buta dalam penglihatan.Dipandang dan ditenung dari jauh seorang perempuan berdiri sambil memandang ke arahnya.

Pak Cik Rashidi bangun lalu mendekati Dalila. “Buat apa kau datang?”

“Dalila anak emak.” Perempuan tadi datang dan menerkam kearah Dalila. Dia menangis dan meraung-raung bagaikan orang gila. “Dalila,ini emak. Emak rindukan kamu.Emak datang kepadamu. Emak masih sayangkan kau.

”Perempuan itu meluah rasa.Hangatnya mentari sudah tak mampu dinikmati. Dia hanya mahukan anaknya Dalila.

“Dalila, itu bukan emak kau.Emak kau dah lama mati!” Pak Cik Rashidi terus menarik Dalila yang masih lagi terpinga-pinga.Tidak tahu apa yang berlaku.Kaku dalam dunianya.Mati dalam jiwa.

Cikgu Azizul cuba menenangkan keadaan. Drama airmata Aidilfitri apakah yang sedang disaksikan ini. “Mak cik, pak cik sabar ya. Hari ini hari raya. Kita harus bermaafan antara satu sama lain. Buang yang keruh ambil yang jernih.”

“Cikgu, dia dah tinggalkan kami lima tahun. Dalila sudah besar kini.Dia sudah melupakan perempuan ini. Bahkan tidak akan mengaku ini ibunya.” Pak Cik Rashidi melepaskan marah. Dia telah lama mati menunggu rasa. Ribuan kata tak akan mampu menuturkan duka yang dialami.

“Pak cik sabar ya. Bawa bertenang. Semua akan selesai dengan baik. Bawa masuk kedalam nanti dilihat oleh jiran.Masuklah mak cik.” Cikgu Azizul berlagak bagaikan tuan rumah. Dia memandang Dalila yang masih lagi sugul tidak berkata apa.

“Dalila, salam dengan emak.”Cikgu Azizul menyuruh beberapa ketika kemudian. Dia mahu lupakan semua. Ramadan yang pergi dan Syawal yang tiba. Di nikmati dengan penuh takwa dan keinsafan.

Dalila mendekati teragak-agak.Syawal kali ini mampu menemukan Dalila dengan ibu kandung yang meninggalkannya sejak kecil. Cikgu Azizul berharap agar keluarga ini sekali lagi disatukan kembali.Membina sebuah keluarga bahagia hingga ke syurga.Syawal kali ini biarlah mengundang air mata yang panjang. Syawal kali ini harapnya mampu memberikan senyuman dalam hati anak muridnya yang sebelum ini tidak habis-habis dihujani dengan air mata. Air mata Syawal. Pintu Syawal membibitkan ketakwaan.Ketakwaan menzahirkan keimanan. Mesra dihulur kemaafaan bersulam.Bersulam jiwa terlerai dendam.Memang dia tidak dapat mengenali perempuan yang sedang meraung-raung di hadapannya.Jutaan rasa tak akan mampu melukiskan lara hati yang dirasa.

Gemericik air sudah tak mampu didengar. “Dalila anak emak…” Perempuan yang bernama Zuraini itu terus memeluk dan mencium Dalila berulang kali. Mohon keampunan dan kemaafan tidak lekang dari bibirnya bersama air mata yang mengalir membasahi pipi.

“Menangislah. Menangislah sepuasnya. Bahkan menangis air mata darah sekalipun tidak mungkin dapat menyatukan hubungan kita yang sudah lama putus. Aku maafkan kau sempena hari raya tapi untuk menerima kau kembali di sisi tidak sama sekali memandangkan lima tahun dahulu aku telah menganggap kau tidak ada. Hilang dalam kamus hidup aku dan Dalila.” Pak Cik Rashidi bersuara. Sejuknya angin sudah tak mampu mendinginkan hatinya.

Cikgu Azizul mengucapkan rasa syukur adanya ungkapan ‘kemaafan terindah’ yang keluar dari mulut Pak Cik Rashidi. Sekurang-kurangnya Syawal kali ini mampu menemukan Dalila dengan ibu kandung yang meninggalkannya sejak kecil.Cikgu Azizul berharap agar keluarga ini sekali lagi disatukan kembali.Membina sebuah keluarga bahagia hingga ke syurga.

Syawal kali ini biarlah mengundang air mata yang panjang. Syawal kali ini harapnya mampu memberikan senyuman dalam hati anak muridnya yang sebelum ini tidak habis-habis dihujani dengan air mata. Air mata Syawal. Pintu Syawal membibitkan ketakwaan. Ketakwaan menzahirkan keimanan. Mesra dihulur kemaafaan bersulam.Bersulam jiwa terlerai dendam.