5 Cara Aiman Kurus


Tahun 2018 baharu sahaja menuju ke gerbang suku kedua. Sebenarnya bila-bila masa sahaja boleh kita jadikan masa terbaik untuk memulakan satu perjalanan baharu yang positif dalam hidup.

Semua orang mengimpikan untuk memiliki tubuh badan yang sihat dan tegap, bahagian perut atau abdomen yang berotot atau dilabel “6 pax”, dan senantiasa cergas. Tubuh badan yang sihat dapat membuatkan seseorang menjadi lebih aktif, berketrampilan dan lebih berkeyakinan tinggi.

Tetapi tidak semua orang mempunyai kemahuan dan keinginan untuk menjalani hidup sihat, mengamalkan diet seimbang dan melakukan aktiviti senaman,riadah atau rekreasi yang mengeluarkan peluh.

Ini adalah tip daripada kisah benar dan pengalaman penulis sendiri yang telah berjaya menurunkan berat badan sebanyak 27 kilogram (kg)secara purata dan mengambil masa selama dua tahun.

Berdasarkan pengalaman yang telah penulis lalui sendiri,bukannya tulisan hasil daripada perkongsian di internet atau sekadar melakukan penelitian dari atas kerusi empuk(armchair research),ingin saya kongsikan lima cara asas untuk anda yang benar-benar beriltizam ingin menurunkan berat badan.

1. LETAK MATLAMAT &ANGGARAN MASA

Tetapkan berapa kilogram anda mahu turunkan berat badan dan tempohnya. Belajarlah cara untuk mengetahui berat dan Indeks Jisim Tubuh (BMI) yang ideal bagianda. Purata penurunan berat yang baik dan normal adalah di antara 4 kg hingga 5 kg dalam sebulan.

2. SENAMAN BUKAN SATU KEMESTIAN

Bersenam bukan satu kemestian yang harus dibuat setiap hari. Minimum latihan tiga kali seminggu sudah memadai.Cari cara senaman yang anda sukai seperti latihan beban di gimnasium,latihan freeletics, circuit training, HIIT,LIIT, crossfi t, adalah antara pilihan senaman yang boleh dilakukan.Belajar teknik dan cara melakukan setiap senaman yang betul.Cari kawan yang punyai azam yang sama dengan anda dan lakukan aktiviti senaman bersama-sama. Percayalah,senaman berdua jauh lebih seronok daripada bersenam berseorangan.Pelbagaikan jenis latihan untuk mengelakkan rasa bosan dan plateau (mendatar).

3.UBAH DIET DAN JALANI FLEKSIBEL DIET

Diet atau pemakanan adalah perkara utama di dalam proses penurunan berat badan. Anda boleh habiskan masa berjam-jam bersenam di gimnasium, tetapi jika anda tidak makan makanan yang sepatutnya,harapan untuk mencapai matlamat sangatlah tipis. Formulanya adalah 80 peratus daripada diet dan hanya 20 peratus daripada senaman.Diet bukan bererti tidak makan atau menahan lapar sehingga menjejaskan kesihatan. Diet yang baik adalah apabila kita mengurangkan mengambil makanan yang kurang sihat dan gantikan dengan makanan yang dimasak dengan cara yang lebih sihat. Lebihkan minum air kosong dan kurangkan seminimum mungkin air manis. Jangan terlalu ketat dalam menjalani diet harian.Dicadangkan untuk cheat meal atau cheat day sekali seminggu,untuk menaikkan semula metabolisma serta memenuhi tuntutan selera makan kita.

4.CARI MOTIVASI

Perkara utama yang selalunya sering gagal dihadapi dan ditangani oleh mereka yang ingin menurunkan berat badan ialah motivasi. Motivasi kita akan sentiasa berubah mengikut mood,keadaan sekeliling, tekanan kerja dan sebagainya. Carilah motivasi yang akan sentiasa membuatkan anda bersemangat untuk menjalani hidup sihat, makan makanan sihat dan tetap bersenam walaupun bersendirian. Cari seorang idola di dalam bidang kesihatan untuk anda jadikan pembakar semangat.Ikuti mereka di media sosial seperti Facebook, Instagram,Youtube dan sebagainya untuk mempelajari senaman-senaman baru.

Untuk saya, idola bidang kesihatan bagi saya adalah Calum Van Moger, seorang ahli bina badan dari Australia. Beliau sering berkongsi cara-cara senaman,makanan harian dan motivasi di medan media sosial beliau.

5.RAIKAN PERUBAHAN

Jika anda konsisten dalam amalan diet yang sihat dan melakukan senaman,perubahan pasti akan berlaku.Perasaan apabila ditegur oleh keluarga atau kawan yang mengatakan anda nampak kurus dan lebih sihat akan membuatkan dan menaikkan semangat untuk terus berusaha mencapai berat badan ideal. Raikan kejayaan anda dengan orang tercinta, pergilah nikmati makanan kegemaran anda, tetapi awas jangan sampai tergelincir.Inilah lima tip asas yang dapat saya kongsikan untuk kali ini, yang memang saya sendiri lakukan.Diharapkan para pembaca dapat berkongsi manfaat dari artikel kecil ini dan berjaya menjadi lebih sihat.Untuk berkongsi lebih banyak ilmu atau amalan terbaik, sertailah kami di Widad College. Kami berkongsi kepakaran menawarkan program kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM)seperti Diploma Pengajian Sukan,Diploma Pengurusan Pelancongan,Diploma Teknologi Pejabat dan banyak lagi. Jom sertai Widad College untuk mengembangkan potensi anda.

• NOTA: Penulis ialah Pensyarah Diploma Pengurusan Pelancongan UiTM-Widad dan lulusan Ijazah Sarjana Muda(Kepujian) Pengurusan Hotel & Pelancongan UiTM.