Seribu Jejak Berliku

— oleh Ahmad Safarman Dollah —

RPerjalanan ini telah ditandai
Seribu jejak berliku
Pada siang ada bebayang
Membentuk arca
Kejatian peribadi
Pada langkah pertama
Merentasi jeram berduri onak
Panas api pucuknya menyambar
Jelaga berzaman

Memang pada perjalanan ini
Ada tinggalan moyanganda
Kesan keagungan sebuah bangsa
Mereka mencipta keberanian
Dari keyakinan padu
Asas kesetiaan tiang rukun
Pantang melangkah
Kecuali pulang mengaut jaya

Ayuh kita ukur sebuah sumpah
Setiap sudut bumi ini kita pagari
Demi sebuah kemerdekaan sejati
Jangan lagi takut pada bebayang
Dan terus ditindih bimbang
Sesungguhnya kitalah penjana
Sinar cemerlang zaman menjelang.

Ahmad Safarman Dollah
SK Kenering,
Gerik, Perak.

 


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan