Mudahnya Mengenali Kata Kerja Transitif


Sesetengah pengguna menghadapi masalah untuk mengenali kata kerja transitif (KKT). Pengguna juga didapati kurang memahami ciri-ciri khusus kata kerja tersebut. Akibatnya ayat yang dihasilkan tidak gramatis. Keadaan ini mungkin berlaku apabila pengguna tidak dapat membezakan antara KKT dengan Kata Kerja Tak Transitif (KKTT). Kesalahan penggunaan KKT dalam pembinaan sesuatu ayat dapat dielakkan sekiranya pengguna memahami cara pembentukan KKT tersebut. Sekarang marilah kita mengenali KKT dan penggunaannya dalam ayat.

A. Kata Kerja Transitif (KKT)

  • Kata kerja mesti diikuti oleh objek.
  • Objek terdiri daripada kata nama atau frasa nama.
  • Kata-kata lain tidak boleh diletakkan di antara KKT dengan objek.

Ayat contoh:

Contoh:

Kata Kerja Transitif + objek

  • membuka (pemacu pena kepunyaan adik)
  • menonton (televisyen)
  • menaiki (kereta)
  • memasukkan (buku)
  • mengepos (surat)
  • memperkemas (bilik)
  • mempersembahkan (tarian)

Perhatian:

  1. KKT dapat dikenali dengan melihat perkataan yang hadir selepasnya. Sebagai contohnya, kata kerja membuka, menonton, menaiki, memasukkan, mengepos, memperkemas, dan mempersembahkan mesti diikuti oleh objek (kata nama atau frasa nama), iaitu pemacu pena kepunyaan adik, televisyen, kereta, buku itu, surat ini, Kelas 5 Bestari, dan tarian tradisional.
  2. Kebanyakan kata kerja yang menerima awalan meN-, akhiran -kan dan -i serta apitan meN-…-kan, dan meN-…-i merupakan kata kerja transitif. Bagaimanapun, terdapat beberapa kata kerja transitif yang tidak memerlukan imbuhan meN- seperti makan, minum, mohon, dan minta.

    Contoh:

    1. Selesaikanlah masalah itu dengan baiknya.
    2. Ikutilah arahan yang diberikan oleh guru itu.
    3. Adik suka melukis gambar pemandangan.
    4. Muhd. Hasif Hanis mengetuai pasukan bola sepak itu.
    5. Pustakawan mengelaskan buku kepada beberapa kategori.
    6. Kami makan lempeng dengan sambal ikan bilis.
  3. Sesuatu ayat dapat dipasifkan jika ayat tersebut mengandungi KKT. Objek yang hadir selepas KKT dalam ayat aktif akan berubah menjadi subjek dalam ayat pasif.

    Ayat contoh:

    1. Pemacu pena kepunyaan adik dibuka oleh Aswan.
    2. Televisyen ditonton oleh kakak di ruang tamu.
    3. Kereta dinaiki oleh Muhd. Nabil dengan rakan karibnya.
    4. Buku itu dimasukkan oleh abang ke dalam beg galas.
    5. Surat ini perlu saya pos dengan kadar segera.
    6. Kelas 5 Bestari diperkemas oleh murid-murid.
    7. Tarian tradisional dipersembahkan oleh penari-penari dari Sabah.

Beberapa kesalahan yang berkaitan dengan KKT

  1. KKT tidak diikuti oleh objek.

    Pengguna sering menggugurkan objek selepas KKT dengan alasan ayat tersebut adalah betul dan pembaca sudah faham akan maksud yang hendak disampaikan.

    Ayat contoh:

    Salah

    • Normah Mohammad melaporkan dari London.
    • Pihak berkenaan tidak mahu menerangkan.

    Betul

    • Normah Mohammad melaporkan berita dari London.
    • Pihak berkenaan tidak mahu menerangkannya/menerangkan hal tersebut.
  2. KKT diikuti oleh unsur keterangan seperti kata sendi nama atau penegas.

    Ayat contoh:

    Salah

    • Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, tuan/puan diminta untuk menghubungi melalui talian 03-44411644.
    • Mereka sedang membincangkan tentang isu gangsterisme yang berlaku dalam kalangan murid sekolah.

    Betul

    • Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, tuan/puan diminta untuk menghubungi Cik Isnariah Idris melalui talian 03-44411644.
    • Mereka sedang membincangkan isu gangsterisme yang berlaku dalam kalangan murid sekolah.
  3. Terdapat sebilangan kata yang bukan kata kerja transitif. Kata kerja ini tergolong sebagai kata kerja tak transitif kerana ayat yang mengandungi kata kerja ini tidak boleh dipasifkan.
    1. Anin bt. Ahmad menjadi guru sandaran di sekolah itu.
      Guru sandaran dijadi oleh Anin bt. Ahmad di sekolah itu. (x)
    2. Pekerja baharu itu merupakan pegawai yang berdedikasi.
      Pegawai yang berdedikasi dirupakan oleh pekerja baharu itu. (x)
    3. Jiran saya ada dusun buah-buahan di Hulu Langat.
      Dusun buah-buahan diada oleh jiran saya di Hulu Langat. (x)

Kata kerja menjadi, merupakan, dan ada ialah kata kerja tak transitif. Perkataan yang hadir selepas kata kerja tersebut, iaitu guru sandaran, pegawai yang berdedikasi, dan dusun buah-buahan dikenali sebagai pelengkap. Dengan berdasarkan ayat di atas, jelaslah ayat tersebut tidak boleh dipasifkan walaupun kata kerjanya kelihatan seperti kata kerja transitif dan perkataan yang hadir selepas kata kerja itu terdiri daripada kata nama atau frasa nama.

Latihan

Ayat yang berikut mengandungi kesalahan dari segi penggunaan kata kerja transitif. Kenal pasti kesalahan tersebut dan betulkan.

  1. Dengan segala hormatnya, saya merujuk kepada perkara di atas.
  2. Para pelajar diminta untuk menceritakan semula perkara yang telah dibincangkan.
  3. Kami berharap semoga kehadiran tuan/puan akan menyerikan lagi majlis kami.
  4. Pihak polis sedang menyiasat tentang kejadian langgar lari itu.
  5. Ketua Jabatan hendaklah memastikan Jawatankuasa Audit membincangkan secara terperinci isu-isu yang dibangkitkan.
  6. Pengarah syarikat itu menyeru agar semua kakitangan gigih bekerja.
  7. Pengerusi mengesyorkan supaya Kursus Asas Penyelamat diadakan bagi pengawal keselamatan.
  8. Pemeriksaan itu dilakukan secara mengejut tanpa memaklumkan terlebih dahulu hal tersebut kepada pihak yang terbabit.

Demikianlah penerangan serba ringkas tentang bentuk kata kerja transitif dalam bahasa Melayu. Diharapkan pengguna telah dapat mengenali bentuk kata kerja transitif dan kedudukannya dalam ayat.

Kekeliruan tentang kata kerja ini dapat diatasi sekiranya pengguna bahasa mengaplikasikan cara yang betul untuk menguji sesuatu kata kerja itu sama ada kata kerja transitif ataupun sebaliknya. Pengguna juga perlu berhati-hati semasa menggunakan kata kerja tersebut. Kecenderungan untuk menggugurkan objek selepas kata kerja transitif perlu dielakkan.

Akhir kata, "Betulkan yang biasa, biasakan yang betul!"


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan