Album KPM Jun 2017


2,261 lagi kes guru duka lara selesai

Mahdzir Khalid (kanan) bersama Ketua Pengarah Pelajaran Dr. Khair Mohamed Yusof (dua dari kanan) semasa menghadiri taklimat pertukaran guru bagi bulan Jun 2017 di Pejabat Pendidikan Daerah Padang Terap, Kuala Nerang, Kedah pada 28 Mei lalu.

Kementerian Pendidikan meluluskan sebanyak 2,825 pertukaran guru termasuk 80 peratus atau 2,261 daripadanya membabitkan kes duka lara atau guru yang tinggal berasingan daripada pasangan masing-masing. KPM menerima 20,470 permohonan pertukaran guru bagi sesi Jun tahun ini.

Menurut Menteri Pendidikan, Dato' Seri Mahdzir Khalid, "Terdapat pelbagai alasan yang diterima dalam permohonan pertukaran guru yang dibuka Januari lalu... permohonan paling tinggi yang diterima adalah guru duka lara iaitu sebanyak 6,635 permohonan.

"Selain itu, alasan permohonan adalah tempoh berkhidmat (4,126 permohonan), permohonan bersama (3,655 permohonan), sakit kronik (674 permohonan), ancaman keselamatan (139 permohonan) dan selebihnya pelbagai alasan lain.

"Bagaimanapun pada sesi Jun ini, hanya 2,825 atau 13.8 peratus permohonan yang diluluskan kerana tidak mahu menjejaskan sesi pengajaran dan pembelajaran terutama bagi mereka yang mengajar di kelas-kelas peperiksaan awam," kata beliau.

Menurut Mahdzir, pihaknya berharap mana-mana guru yang gagal dalam permohonan ini bersabar kerana masih mempunyai peluang untuk sesi pertukaran Oktober ini dan Januari tahun depan.

Unit pendidikan digital bergerak dilancar

P. Kamalanathan (tiga dari kiri) mendengar penerangan daripada pelajar mengenai projek robotik ketika hadir melancarkan Kembara #mydigitalmaker Bersama Pintar di SMK Kompleks KLIA, Nilai pada 23 Mei lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan melancarkan 'Kembara #mydigitalmaker Bersama Pintar' untuk memberi pendedahan berkaitan pendidikan digital kepada kira-kira 100,000 pelajar di luar bandar, pedalaman dan kurang berkemampuan. Projek tersebut ditaja oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan usahasama Yayasan Pintar.

Unit pendidikan bergerak itu melibatkan sebuah bas yang direka khas bagi menempatkan pelbagai peralatan penciptaan digital yang menarik selain maklumat mengenai kerjaya teknologi digital masa depan dan penggunaan selamat teknologi itu.

Syarikat teknologi seperti Microsoft Malaysia, Google Malaysia, DiGi Telecommunications, Sasbadi, Designex3D, Centillion Robotics dan Maker21 adalah antara rakan kongsi industri yang mempamerkan modul pembelajaran dan kandungan merangkumi robot, animasi kreatif, realiti maya, keselamatan siber dan percetakan 3D dalam unit kembara pembelajaran itu.

Selamat bersara Dato' Sri Haji Khairil Haji Awang

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Dato' Sri Haji Khairil Haji Awang telah bersara pada 27 April 2017.

Beliau mula berkhidmat sebagai seorang guru di SMK Tunku Syed Putra, Perlis. Sepanjang kerjayanya, beliau juga pernah menjawat pelbagai jawatan di KPM, antaranya sebagai Pengarah Institut Aminuddin Baki.

Dato' Sri Haji Khairil, jasa Tuan dalam memperkasa pendidikan negara selama 35 tahun akan sentiasa dikenang!

Wajib nyanyi lagu Aku Negaraku

Murid SMK Damansara Utama, Petaling Jaya menyanyikan lagu selepas majlis pelancaran lagu Aku Negaraku oleh Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof pada 22 Mei lalu.

Kira-kira 5 juta pelajar dan 400,000 guru di seluruh negara wajib menyanyikan lagu berjudul Aku Negaraku dalam perhimpunan mingguan sekolah bermula semalam. Perkara itu diumumkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof ketika melancarkan lagu tersebut di Dewan Sri Budiman Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Utama pada 22 Mei lalu.

Menurut Khair, semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan perlu menyanyikan lagu berentak kontemporari tersebut bersama nyanyian lagu kebangsaan, negeri dan sekolah masing-masing.

Katanya, penambahan lagu berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif program Negaraku yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyemarakkan lagi semangat cintakan Malaysia.

20 inisiatif utama PPPM pacu sistem pendidikan

Mahdzir ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-46 di Iskandar Puteri, Johor Bahru pada 16 Mei lalu.

20 inisiatif utama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2016-2020 diteruskan bagi memacu peningkatan sistem pendidikan di negara ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir berkata, PPPM 2016-2020 merupakan gelombang kedua bagi meneruskan agenda besar pembaharuan PPPM 2013-2025.

"Antara contoh inisiatif tersebut ialah Pengukuhan Perpaduan di Sekolah, Pembudayaan Kemahiran Berfikir Dalam Pembelajaran Abad Ke-21 dan Perkukuhan Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

"Selain itu Program Transformasi Daerah, Peluasan Penglibatan Sektor Swasta dan Pelaksanaan Struktur Baharu Kementerian Pendidikan," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-46 di Educity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor Bahru.


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan