PEDAGANG DOA

— oleh AZMI YUSOFF —

Dengan bermodal gelaran murabbi
dia menjaja air penawar ayat jampi
kumat-kamit bibirnya mengusir sial
pada karton berisi botol air mineral
didakwa penawarnya mujarab amat
menjadi kisah tular ahli masyarakat
mengubati penyakit kronik pelbagai
hingga terbau bangar busuk bangkai
dia kunjungi klinik dan ikut berbaris
mendapatkan ubat rawatan diabetis
tubuh anak-anak pula ditokak kudis
telah bertahun menderitai psoriasis.

Dengan bekal graduan sarjana muda
dia niaga makanan cerdaskan minda
ngut-ngut mulutnya membaca magis
di timbunan kampit kotak diisi kismis
azimatnya diuar-uar otak jadi pandai
menjadi bualan geger digemar ramai
membaiki prestasi akademia tak elok
hingga tercium kohong aroma busuk
pengajian universitinya dulu sangkut
peperiksaan semesternya ikut bantut
anak-anaknya pula bertungkus, gelut
di nombor tercorot, di kelas merosot.

AZMI YUSOFF
Kuala Lumpur


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan