Ilmu Berbantalkan Angan-Angan

— oleh DrHani@SelendangSari —

Jika dulu zaman megah
belum tercoret dengan kerenah moden
ilmu mungkin berbantalkan lengan

Silih berganti di hari ini
kerenah moden mula menconteng kanvas kehidupan
ilmu sudah menjadi
berbantalkan angan-angan

Dalam bayang kabur dan resah
pemikir ilmu mencari dan menggali
terjumpa dan menjumpai
ilmu yang masih tidak diusik
belum lagi dibawa di atas tandu
tapi tiba-tiba canang sudah berbunyi
terpinggir lagi yang dijumpai
namun tersenyum yang menjumpai
kerna terus dikalungkan anugerah
peneroka angan-angan dan peneraju mimpi

Kita terlupa untuk melihat yang asli
kerna leka mengejar hasil
kita terlepas untuk memetik yang ranum
kerna kita sangka putik yang terbaik
itulah ilmu acuan kita sekarang
mahu disegerakan tapi cepat ditinggalkan
mahu terus mencipta impian
namun pengorbanan kita pinggirkan

Ilmu itu luas dan ada keturunannya
usah dicantas salah satunya
kerna tunas baru akan keliru
mengapa munculnya pada ranting
yang rapuh dan kecil
sedangkan dia seperti yang lain
membuka pucuk baru
dari akar dan batang yang sama

DrHani@SelendangSari