Cerpen : Mengharungi Takdir


Dia terus tunduk dan mendapatkan pukat di hujung pelantar. Dia meleraikan kekusutan pukat. Namun kekusutan di hati yang bakal berlaku tidak siapa tahu. Sudah dijangkakan hubungan yang baru dibina itu akan hancur. Rasa menyesal bertemu dengan jururawat bernama Arsyi yang pastinya akan kembali semula ke kota meninggalkan dirinya yang akan terus setia kepada laut.

"Razi, aku pun tidak mahu semua ini berlaku. Namun masa begitu pantas berlalu."

"Arsyi, percayalah. Aku tak lupa akan janji yang pernah kita pahatkan di sini." Firazi bangun sambil menuju ke bawah pokok bakau yang merimbun.

Arsyi mengikut saja. Rasa bersalah begitu menebal kerana meluahkan kata-kata itu. Dia sendiri pun sebenarnya terperangkap dalam arus masa.

Dari pangkal pokok bakau mereka duduk di atas batu besar dan terus memandang ke laut lepas. Kelihatan seekor camar melayah ke air yang sedang surut lalu menangkap seekor ikan. Camar itu terbang semula bersama ikan di paruhnya.

"Arsyi, kalau kau camar, sesekali kau akan menjenguk tempat inikan? Dan jika aku camar itu tentulah kau ikan yang dapat kuterbangkan ke mana saja yang aku suka. Kau tahu akan tanggungjawabku kepada keluarga yang teramat miskin. Adik-adikku ramai dan semua bergantung hidup kepada hasil laut." Firazi melepaskan keluhan berat yang sukar dimengertikan. Entah apa yang bersarang di dalam fikirannya. Sesekali menyentuh rambutnya yang dihinggapi pasir.

"Razi kitakan masih belum terikat. Kita tak pernah pun merancang masa depan." Tiba-tiba Arsyi terfikirkan akan masa depan.

"Arsyi, aku tahu aku orang kampung. Tapi aku betul-betul ikhlas untuk menyuntingmu walaupun tahu aku anak nelayan yang pastinya tak sepadan denganmu. Aku bina perhubungan ini bukannya atas dasar menghilangkan kesunyian."

"Razi..."

"Arsyi, kita bina rumah di sini. Di Pengkalan Petah ini atas tanah arwah ayahku. Kita bina rumah cantik-cantik. Pasti damaikan rumah di tepi pantai."

"Razi, dengar dulu cakapku."

"Kau cari kerja di sini. Bukankah di sini banyak hospital. Hospital Kota Bharu, Hospital Universiti Sains Malaysia, Klinik Kesihatan Bachok. Carilah kerja di sini dan waktu petang-petang sebegini kita berjalan di tepi pantai seperti yang kita lakukan ini. Kita kutip kerang, bermain pasir, berjalan, menghirup udara..."

"Tinggi sungguh cita-citamu." Arsyi merenung wajah Firazi. Bola mata sedikit redup. Wajahnya berubah menjadi pucat. Mendung sebagaimana mentari yang akan jatuh di ufuk timur. Namun kata-katanya melambangkan kesungguhan dan harapan.

"Bersetuju atau tidak hidup bersama. Bina kebahagian. Bersetujukah kau dengan janji dan sumpah dulu?" Firazi seakan memaksa.

"Aku setuju untuk hidup bersamamu." Entah apa kuasa memaksa Arsyi terangguk-angguk memberikan persetujuan.

"Baguslah jika betul-betul lahir dari hati yang ikhlas. Aku akan ke laut untuk beberapa hari. Simpanlah ia buat kenangan kita. Aku tak mampu berikan kau emas dan permata. Cukuplah pemberian ini," kata Firazi sambil menghulurkan seketul batu karang yang telah mati.

"Aku sedar Arsyi. Aku anak nelayan. Tempat aku di laut. Tapi percayalah aku juga inginkan perubahan. Kamu seolah menghinaku. Langsung tidak memberi semangat kepadaku. Aku anak pedalaman, masakan kita dapat hidup bersama."

Kuala Lumpur merupakan sebuah kota metropolitan yang penuh dengan cabaran dan dugaan. Di sebalik tembok besi dan bangunan tinggi tersimpannya sejarah yang tersendiri. Namun, masa yang berlalu sebenarnya telah mengubah sikap dan perwatakan seseorang. Walaupun kuatnya kubu KLCC atau tingginya Menara Kuala Lumpur, hati dan janji manusia yang sememangnya dipahat kukuh tetap boleh berubah-ubah. Dugaan yang mendatang pasti melemahkan ikatan yang utuh. Begitu juga dengan hati perempuan bernama Arsyi.

Dia tak mahu berterus terang. Takut melukakan hati nelayan itu. Bahkan sanggup bermain tarik tali agar perasaan berlalu pergi. Dia sememangnya telah berubah. Perhubungan dulu sebenarnya adalah mainan perasaan hati. Atau sekadar mengisi kesepian apabila berjauhan dari keluarga lantas menjadikan Firazi mangsa keadaan.

"Arsyi, ini Razi..." Suatu hari terdengar suara Firazi di hujung talian.

"Anggap saja kita tak ada jodoh. Jika kita dipertemukan sekalipun, kita tak akan bahagia. Razi, maafkan aku. Aku sudah bertunang," beritahu Arsyi dengan egonya.

"Tapi...tapi... kenapa semua ini boleh berlaku?" Firazi bertanya dan sedikit meninggikan suara. Dia terus mematikan talian.

Arsyi betul-betul puas kini. Dia merasakan kegelisahan yang bersarang di hatinya telah pergi jauh. Dia merasakan Firazi akan pulih satu hari nanti. Firazi akan memahami akan ketentuan Ilahi. Kisah tentang Firazi seakan dilupakan dari ingatannya. Dia tekad untuk berkahwin dengan Kamal.

Suatu hari, sebaik saja memasuki perkarangan kondominium di Wangsa Maju Arsyi terpandang akan kelibat seseorang. Seseorang yang cukup-cukup dikenalinya berdiri di pintu masuk.

Arsyi tergamam. Dia panik dan serentak dengan itu dadanya berdegup kencang.

"Razi..." Dia menyebut nama itu. Kaku seribu bahasa. Dia cuba menenangkan keadaan.

Firazi memandangnya dengan penuh per­tanyaan. Namun dia cuba melem­parkan sekuntum senyuman.

"Bila kau datang? Masuklah."

"Tak apalah. Aku tak selesa duduk dalam istana.

"Apa khabar Razi?" tanya Arsyi selunaknya untuk memulakan perbualan

"Lihat dengan mata­mu sendiri."

Arsyi jadi serba salah dengan jawa­pan itu. Apatah lagi mengenangkan perbuatan anak nelayan itu yang sanggup datang mencarinya. Jarak yang jauh menjadi dekat.

"Putuskan saja pertunanganmu itu!" Sebaris ayat yang keluar dari mulut Firazi betul-betul membuatkan jantungnya gugur. Dia tidak menduga itu yang dimahukan. Dia tidak menyangka Firazi begitu berubah menjadi sorang yang kasar dan pemarah. Bertentangan benar dengan dirinya dulu.

"Kenapa tak mungkin. Sedangkan apa yang kau buat ke atas aku itu senang pula berlaku. Apakah aku seorang nelayan, tak setaraf dengan kau. Masakan gagak tak serasi dengan camar. Tentu tunang kau berpelajaran dan berkedudukan tinggi. Sedangkan aku hanya insan hina tak sedar diri."    "Razi..."

"Apa alasanmu meninggalkan aku?" Firazi terus mengasak tanya.

"Kurasakan hubungan kita tak ke mana. Banyak sangat jurangnya. Perbezaan dari segi umur, jarak dan..."

"Cakap saja kau tak nak anak nelayan yang tak ada ilmu, harta, rupa dan segalanya. Itu yang mahu kau cakapkan?"

"Papa dan mama..."

"Hanya itu alasanmu mening­galkan aku. Alasan itu tak kukuh. Kau memang hipokrit. Kau anggap ini hanya mainan. Walaupun aku orang kampung, bermain dengan selut, pasir dan laut tapi aku ada perasaan. Aku budak pedalaman. Kau tak biasa hidup di pedalaman. Setiap orang ada perasan tak kiralah di mana kedudukan mereka. Cuma kau saja yang tak ada perasaan!" Firazi bangun perlahan-lahan.

"Semua sudah tamat. Aku ingin pulang ke kampung. Pulang ke laut."

Firazi terus berlalu tanpa menoleh ke belakang lagi. Arsyi memanggil berulang kali. Dia mengejar namun kelibat Firazi terus hilang dari pandangan mata. Tinggallah Arsyi yang terus menangis. Menangis airmata darah sekalipun tidak mampu untuk mengembalikan keke­cewaan Firazi. Biarlah masa merawat segala.

Suasana di perkarangan Sekolah Kebangsaan Kenering agak riuh-rendah sebaik saja loceng tamat persekolahan berbunyi. Ibu bapa setia menunggu anak-anak di bawah pokok di tepi jalan mengelak dari panas mentari.    

"Mama, Ikhwan kat sini!" Laung seorang kanak-kanak berpakaian sekolah sambil menuju ke arah Arsyi.

"Wan, mama betul-betul bimbang. Mama ingatkan kau hilang. Puas mama cari tadi. Kenapa lewat sangat ni. Kalau apa-apa berlaku ke atas kau mama juga yang susah.?"

"Jangan bimbang mama, Cikgu Firazi ada." Ikhwan menunjukkan jari ke arah Cikgu Firazi yang berdiri membelakanginya. Arsyi bangun dan memandang.

Arsyi terkejut. Wajahnya serta merta pucat. Betulkah apa yang dilihatnya itu. Dia cuba amati sekali lagi wajah Cikgu Firazi yang dimaksudkan anaknya.

"Firazi..." Satu perkataan terpacul jua. Firazi, lelaki yang pernah hadir di dalam hidupnya. Firazi lelaki kampung yang setia dengan pakaian lusuhnya dulu kini berdiri dan menjadi jauh lebih segak. Kulitnya cerah tidak seperti dulu yang hangus dibakar mentari.

"Maafkan saya, puan. Saya temankan dia ke kantin tadi. Dia mahu beli air. Dia amat dahaga kerana menunggu puan terlalu lama." Cikgu Firazi memulakan perbualan dengan setenang mungkin.

"Oh! Terima kasih buat..."

"Tak pelah. Anak puan sekarang sudah selamat. Bawalah dia pulang. Saya balik dulu," pinta Cikgu Firazi lalu terus meninggalkan Arsyi yang masih di awang-awangan. Terasa sekali lagi dia bermimpi. Mulutnya kaku untuk menyebut nama yang bertahun-tahun tidak disebutnya itu.

Sejak pertemuan itu Arsyi selalu termenung. Kekadang tidur malamnya bermimpi. Memanggil-manggil nama Firazi.

Dia cuba mendekati almari. Mengambil sesuatu di dalam kotak. Membuka dengan perlahan. Cengkerang pemberian Firazi satu ketika dulu dipegangnya. Serentak dengan itu airmatanya tumpah.

"Firazi, maafkan aku..."

Pemandangan indah di Tasik Raban itu begitu menyejukkan mata memandang. Kedengaran bunyi bot yang sedang menuju ke pulau memecahkan kesunyian pagi.

Arsyi terus melontarkan jauh pandangan ke arah tasik. Kehijauan tasik itu langsung tidak mendamaikan hatinya yang sejak beberapa minggu ini dalam keadaan dilema. Pertemuan dengan Firazi membuatkan dia selalu termenung panjang.

"Mama, kenapa ni. Kenapa termenung panjang. Mama, kita pergi dekat Cikgu Firazi." Ikhwan menarik-narik tangan Arsyi.

Arsyi pantas menoleh apabila nama yang cukup-cukup dikenali sekali lagi disebut. Dadanya terus berombak kencang apabila melihat ke arah lelaki yang berseluar slack itu.    

"Cikgu Razi. Mari sini!" Ikhwan memanggil. Dia terus berlari ke arah Cikgu Firazi.

"Ikwan, mari sini!" Arsyi memanggil.

"Puan, saya bukan orang jahat. Ikhwan ini masih bersekolah. Masih seorang murid. Dan saya seorang guru tetap melayan seorang murid walau di mana saja berada. Walau saya tidak begitu mengenali anak puan."

"Razi, bukan ini masanya untuk kita menyindir antara satu sama lain. Maafkan jika kau masih marah dengan peristiwa lepas."

"Peristiwa apa?" Soal Firazi sambil memandang ke arah tasik. Pertanyaan itu membuatkan Arsyi ditimpa rasa malu.

"Razi, sebenarnya aku masih mengingati kenangan antara kita. Bahkan perasan ini tak pernah padam. Kau selalu hadir dalam mimpi tidurku..."

"Mimpi hanya mainan tidur."

"Razi, percayalah. Perasaan..."

"Terima kasih. Saya percaya," ucap Firazi datar. Tidak ada kesungguhan di dalam kata-katanya. Dia seolah-olah bercakap dengan diri sendiri.

Arsyi terdiam. Firazi juga terdiam buat seketika. Mungkin masing-masing tengah melayan angan. Arsyi curi-curi memandang ke arah wajah yang pernah hadir dalam hidupnya. Wajah yang pernah membahagiakan dia. Pantai Irama Bachok menjadi saksi segala-galanya.

"Razi, adakah kau masih marahkan..."

"Anakmu ini amat baik. Sebagai guru saya amat gembira. Mungkin asuhan yang awak dan suami berikan..."

"Razi, bukan masanya nak bicarakan pasal anak. Kita bicarakan pasal diri kita."

"Semua telah aku campakkan jauh ke laut. Bahkan ke pulau yang tidak mungkin dijejaki oleh sesiapa." Kata-kata Firazi membuatkan air mata Arsyi sekali lagi tumpah. Jika tujuh tahun dulu pernah air matanya tumpah tetapi kini ia seolah berulang.

"Kamu sudah berkahwin?" Ada getar di bibir Arsyi untuk ucapkan pertanyaan itu.

"Sudah!" Jawapan itu betul-betul membuatkan cemburu Arsyi memuncak. Semua perasaannya kini bersatu.

Firazi mengeluarkan dompetnya. Sekeping gambar dikeluarkan. Cepat saja Arsyi mengambilnya. Di dalam gambar itu kelihatan Firazi yang segak dan tampan berdiri di samping seorang wanita duduk bersanding di atas pelamin.

Sekali lagi jiwa Arsyi menjadi nanar. Rasa menyesal bertemu dengan Firazi. Baginya, Firazi sengaja menyakitkan hatinya.

"Itulah Rohayati, isteriku yang juga rakan sekampung. Dia orang pedalaman. Bermain dengan selut dan lumpur. Dia cacat kerana kemalangan jalan raya dan lima tahun lebih tua daripadaku. Kami berkahwin sebaik saja saya habis maktab. Tapi kami tak ada anak."

"Firazi..." Arsyi menekup muka.

Dia sendiri sebenarnya malu untuk mengatakan tentang perkahwinannya. Malu untuk mengatakan bahawa dia adalah janda anak tiga. Dia ditinggalkan suami. Suami tidak sanggup menjadi penghuni Hulu Perak. Pedalaman sangat. Tidak mahu mengikut Arsyi yang telah diarahkan bertugas di pedalaman. Anak-anak terus diabaikan. Lebih baik lagi dari tidak ada anak. Hidupnya terumbang-ambing. Perkahwinannya tak bahagia walaupun memiliki segala-gala.

"Ya Allah. Berikanlah aku kekuatan. Kenapa aku begitu kejam. Manusiakah aku. Di manakah harga diriku. Apa dah jadi dengan keegoanku selama ini." Arsyi berbisik di dalam hati sambil menekup mukanya.

"Sebagaimana manusia yang dikurniakan akal fikiran seharusnya kita perlu hormat perasaan orang lain walau di mana saja berada. Berada di pedalaman sekalipun tidak semestinya kuno. Anak nelayan tidak semestinya tak berpelajaran. Sebab itulah aku tekad untuk mengambil peperiksaan sekali lagi yang pernah aku tinggalkan separuh jalan semata-mata ingin melihat adik-adik mendapat pelajaran. Aku berjaya menjadi guru. Semua ini kerana kau." Firazi berhujah.

"Kerana aku?"

"Ya kerana kau. Kerana hubungan yang telah kau persiakan. Kau mampu mengubahku. Mampu mengubahku dari seorang nelayan menjadi seorang guru. Mampu mengubahku dari seorang yang miskin kepada kaya. Mampu mengubahku dari seorang yang buta mengenali cinta sejati. Namun, kau tak mampu untuk mengubahku untuk kembali ke pangkuanmu..."

"Razi..." Arsyi terus-menerus menangis seorang diri.

"Arsyi, aku terpaksa pergi dulu. Isteriku sudah datang. Penat dia memandu dari Kelantan. Kami akan ke Kuala Lumpur. Semua adik-beradik aku di Kuala Lumpur. Mereka mampu menjejakkan kaki ke kota yang kau bangga-banggakan itu walaupun mereka sebenarnya dari kecil tidak dapat berpisah dengan selut, pasir dan lumpur. Mereka dan aku mampu mengharungi takdir."

"Pendek kata, kau mampu mengubahku. Mengubahku agar aku terus mengubah adik-adikku untuk terus maju dan tidak lagi digelar anak nelayan. Namun kau tak mampu mengubahku untuk kembali kepadamu walaupun menangis air mata darah sekalipun." Firazi mematikan kata-kata lalu terus berlalu meninggalkan Arsyi dan anaknya.

Arsyi meraung-raung sekuat hatinya. Segala penyesalan bersarang dalam diri. Meninggalkan dirinya seorang diri. Meninggalkan dirinya yang kini mengabdikan diri kepada anak-anak pedalaman Hulu Perak.