Perpaduan Melalui Persahabatan


Satu cabaran utama dalam kalangan sekolah yang mempunyai komposisi murid yang terdiri daripada pelbagai etnik adalah usaha ke arah pemupukan nilai perpaduan dalam diri murid. Bagi memangkin usaha murni ini, pelbagai program dan aktiviti dilakukan oleh pihak sekolah dengan harapan agar murid dapat diintegrasikan supaya wujud saling hormat-menghormati terhadap kepelbagaian budaya. Usaha ini adalah selaras dengan aspirasi sistem pendidikan yang meletakkan perpaduan sebagai satu daripada lima teras utama.

Namun demikian, adakah integrasi yang dilihat merentasi etnik ketika satu-satu program dan aktiviti diadakan sama sifatnya dengan bentuk integrasi yang diperhatikan dalam kalangan murid selepas tamatnya program atau aktiviti tersebut? Walaupun program dan aktiviti yang dijalankan mempunyai kredibiliti yang tinggi untuk merealisasikan aspirasi ini namun tetap kelihatan bentuk persahabatan dan interaksi sosial yang bertapak kuat dalam lipatan etnik masing-masing. Adakah faktor ini disebabkan oleh keselesaan murid untuk berada dalam lingkungan etnik sendiri atau ketidakinginan murid untuk berada dalam lingkungan etnik lain?

Penekanan kepada program dan aktiviti semata-mata tidak mungkin dapat memperkukuhkan integrasi murid daripada pelbagai etnik. Malah, program dan aktiviti tidak akan mencapai matlamat jika asas pembentukan persahabatan dan interaksi sosial dalam kalangan murid kurang diberi perhatian oleh pihak sekolah. Banyak kajian di Barat misalnya telah dilakukan tentang persahabatan dan interaksi sosial dalam persekitaran sekolah yang bersifat multietnik.

Kajian-kajian tersebut menemukan pelbagai dapatan berkaitan pembentukan hubungan persahabatan dan peranan pihak sekolah dalam merapatkan hubungan antara murid pelbagai etnik. Dengan kata lain, peranan pihak sekolah dilihat sebagai satu elemen yang amat penting dalam menyediakan peluang dan pilihan kepada murid untuk sama-sama menikmati dan menghayati makna kesepaduan dalam kepelbagaian di bangku persekolahan; yang bakal menjadi penyuluh hidup pada masa hadapan.

Di persekitaran sekolah, secara umumnya seseorang murid akan mencari rakan yang mempunyai sikap, nilai dan tingkah laku yang hampir sama dengan diri mereka. Perkara ini merupakan asas kepada pembentukan persahabatan. Murid tersebut akan menentukan dengan siapa dia ingin membentuk persahabatan. Tahap keakraban yang dibentuk bergantung kepada peluang dan pilihan yang terdapat dalam persekitaran pembentukan persahabatan tersebut. Dalam hal ini, murid mempunyai peluang dan pilihan yang lebih banyak untuk membentuk persahabatan dengan rakan di dalam bilik darjah yang dikongsi bersama berbanding kelas lain. Lebih tinggi populasi murid dalam bilik darjah, lebih tinggi peluang dan pilihan untuk mereka berinteraksi dan membentuk persahabatan.

Dari segi komposisi etnik dalam bilik darjah, lebih tinggi keseimbangan murid pelbagai etnik dalam bilik darjah maka lebih tinggi peluang dan pilihan yang terjana untuk membentuk persahabatan. Ia mampu memberi ruang kepada usaha menghayati persamaan dan membangunkan persamaan baru yang mendorong hubungan etnik. Persekitaran sebegini juga mengurangkan pengasingan fizikal dan meningkatkan peluang dan pilihan untuk murid berinteraksi merentasi etnik secara lebih fleksibel.

Pembentukan hubungan persahabatan antara murid merentasi etnik juga amat dipengaruhi oleh faktor persekitaran. Persekitaran bilik darjah yang memperlihatkan kewujudan nilai saling membantu, bekerjasama, kasih-sayang, faham-memahami dan rasional mampu menyediakan peluang dan pilihan yang lebih baik untuk pembentukan persahabatan merentasi etnik. Dalam konteks ini, murid mudah berhubung dan berinteraksi dengan etnik lain jika etnik lain menunjukkan penerimaan terhadap mereka sebagai rakan.

Selain itu, ciri-ciri pembelajaran bersifat kooperatif yang memangkin usaha kerjasama murid pelbagai etnik dalam melakukan aktiviti bersama dapat membuka ruang yang kukuh dalam pembentukan persahabatan merentasi etnik. Bentuk pembelajaran ini memberi peluang untuk murid mendekati murid daripada etnik lain melalui keperluan interaksi yang membawa kepada satu bentuk penyatuan minda hasil perbincangan, luahan idea, perkongsian pendapat dan kerjasama yang ditunjukkan dalam melengkapkan tugas atau aktiviti yang diberikan oleh guru.

Sikap guru juga amat mempengaruhi iklim bilik darjah. Guru yang berpandangan positif dan peka terhadap pembentukan hubungan etnik dalam kalangan murid pelbagai etnik akan menyusun bilik darjah ke arah pembentukan integrasi etnik yang maksimum dalam kalangan murid. Begitu juga dalam pengagihan murid dalam aktiviti bagi menjamin keberkesanan pembelajaran bersifat kooperatif.

Penelitian guru terhadap kesesuaian iklim bilik darjah bagi merangsang, memperkukuh dan memperkasakan pembentukan persahabatan dan interaksi sosial dalam kalangan murid pelbagai etnik dapat membina persekitaran pembelajaran yang mesra etnik.

"Persahabatan juga merupakan elemen yang amat berharga dalam membentuk integrasi yang positif dalam kalangan murid pelbagai etnik."

Secara tuntasnya, persahabatan merupakan elemen penting bagi murid yang berada di bangku persekolahan. Persahabatan juga merupakan elemen yang amat berharga dalam membentuk integrasi yang positif dalam kalangan murid pelbagai etnik. Keakraban hubungan dalam kalangan murid tanpa mengambil kira latar belakang etnik bukan sahaja dapat mengurangkan sikap prejudis, pernyataan berbentuk stereotaip dan diskriminasi akibat perbezaan etnik malah dapat menghapuskan unsur tersebut.

Sehubungan dengan itu, peluang dan pilihan bagi murid untuk merealisasikan tali persahabatan yang mendukung makna hubungan etnik adalah suatu yang perlu dimantapkan oleh pihak sekolah. Dalam hal ini, sekolah yang diintegrasikan dengan murid pelbagai etnik berpeluang untuk meningkatkan peluang interaksi dan persahabatan merentasi etnik. Inisiatif sekolah yang diintegrasikan dengan murid pelbagai etnik mampu mengubah dimensi keselesaan yang sedia wujud dalam bentuk persahabatan murid daripada persahabatan intraetnik kepada persahabatan interetnik.