Cara Miliki 4 Rumah Sebelum Usia 30


Cikgu boleh miliki empat buah rumah sebelum umur 30 tahun. Bunyinya macam mustahil tetapi cuba baca 10 tip berikut sebagai panduan. Penerangannya ringkas, mudah difahami dan wajar dikongsikan dengan rakan-rakan cikgu di mana juga mereka berada.

Tip berikut dipetik dari laman Facebook Harith Faisal, seorang insan pintar dalam hal ehwal kewangan dan pelaburan hartanah serta cukup gemar membantu menyediakan masyarakat menerusi ilmu yang ada padanya.

1 Rumah pertama jangan guna maksimum kelayakan

Jika cikgu layak beli rumah berharga RM300,000, carilah rumah yang berharga RM250,000 untuk mudah dapat kelulusan bank. Bagi sedikit ruang pada Debt Service Ratio (DSR). Sebabnya, lain bank lain cara kiraan kelayakannya. Lagi baik beli dua buah rumah yang masing-masing berharga RM125,000. Kenapa beli rumah di bawah paras maksimum kelayakan?

Contohnya, untuk cikgu yang bergaji RM3,000 dan ada komitmen bayaran pinjaman sewa beli kereta RM500 sebulan. Andaikan cikgu nak beli rumah untuk duduk sendiri. Cikgu layak beli rumah pembiayaan RM260,000 pada DSR 60 peratus. Ansuran bulanan RM1,300. Tapi sebenarnya belum tentu cikgu mampu.

2 Buat kad kredit beberapa bulan sebelum beli rumah

Fresh graduate tanpa pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) biasanya belum ada komitmen dengan bank. Dalam erti kata lain CCRIS masih belum ada rekod. Kebanyakan bank susah nak luluskan cikgu beli rumah kalau CCRIS bersih sangat. Sebabnya bank tak kenal lagi cikgu punya perangai macam mana.

Sebaik-baiknya mohon kad kredit beberapa bulan sebelum beli rumah. Guna untuk isi petrol dan beli barang dapur. Pastikan bayar penuh setiap bulan. Guna dalam tempoh tiga hingga enam bulan dan cikgu boleh beli rumah pertama. Selepas berjaya beli rumah, bolehlah pilih sama ada nak terus guna kad kredit atau potong terus.

3 Sewakan rumah pertama, jangan duduk sendiri

Jika cikgu tinggal di rumah pertama, agak sukar nak tambah rumah lagi selepas ini. Tambahan pula kalau bayaran bulanan menggunakan sebahagian besar gaji, manakala simpanan bulanan mungkin menyusut. Sebaik-baiknya rumah pertama disewakan bagi menjana pendapatan tambahan. Kalau memang gaji besar, tak mengapalah. Tapi terpulanglah kepada pelan kewangan masing-masing.

4 Cari tawaran beli rumah dengan modal minimum

Beli rumah murah-murah sudahlah, bincang dengan tuan rumah bagi deposit rendah atau beli rumah daripada pemaju dengan entry cost mudah dan guna pakej 100 peratus pembiayaan bagi yang layak.

Apa yang penting cikgu kena mula simpan duit untuk modal asas beli rumah walaupun sekarang belum teringin nak beli rumah. Tabungan perlu ada sebab bila tiba-tiba datang seru, modal dah siap sedia. Tapi malangnya, tak ramai yang membuat perancangan tabungan sebegini. Kebanyakan cikgu lebih suka melancong setahun empat kali, pakai kereta mahal, tukar sport rim fancy, ubah suai kereta Wira jadi macam Lancer atau Myvi tayar terkangkang.

5 Mohon ASB Financing sebagai "force saving"

Cikgu kena buat tabungan secara paksa sejumlah RM550 sebulan melalui ASB Financing dengan nilai RM100,000. Dengan teknik biasa saja, boleh dapat hampir RM56,000 selepas lima tahun. Jika pandai berniaga, cari pendapatan RM550 sebulan dan sertai ASB Financing untuk menikmati faedah daripadanya.

Jika sudah sertai ASB Financing, wajiblah bayar setiap bulan. Ini dipanggil "force saving". Tapi kalau dalam masa terdekat cikgu rancang nak beli rumah, elakkan buat dengan amaun yang besar. Ini kerana ASB Financing akan beri kesan kepada pengiraan DSR dan kelayakan pembiayaan anda. Cuma, bila dah dapat dividen nanti, bank akan kira sebagai pendapatan anda pula. Jadi, timing kena tepat.

6 Jangan menggedik nak beli kereta dulu

Harga kereta boleh tunggu kita. Honda City baru keluaran 2020 nanti harga lebih kurang sama dengan Honda City baru tahun ini. Tapi harga rumah RM200,000 tahun ini, takkan tunggu kita. Tahun 2020 nanti, entah-entah harga rumah yang kita beli mencecah RM500,000. Harga rumah naik selalu, turun belum tentu. Kalau nak beli kereta sangat, belilah kereta patut milik yang ansuran bulanannya tak lebih 15 peratus daripada gaji, atau harganya tak lebih daripada gaji setahun anda.

Sebaiknya beli dua buah apartmen dengan masing-masing ansuran bulan RM700 dan keduanya disewakan pada kadar RM900 sebulan. Dapat aliran tunai positif RM400 daripada dua rumah, boleh pakai Proton Saga percuma. Nak pakai Honda City percuma macam mana pula? Ini ideanya sahaja. Jangan lurus bendul. Ambil kalkulator, kiralah sendiri.

7 Beli rumah dengan bantuan ejen

Ejen hartanah akan bantu mendapatkan rumah yang sesuai dengan bajet cikgu. Lebih-lebih lagi jika cikgu memang zero knowledge mengenai hartanah. Jangan percaya mitos beli dengan ejen, harga rumah jadi mahal. Ejen hari-hari berurusan jual beli rumah. Kita pula nak beli rumah setahun sekali pun belum tentu. Gunakan kepakaran mereka.

Lagi satu, kalau ejen ada tanya pasal gaji dan komitmen anda, tak payah nak berahsia bagai. Ejen tanya bukan sebab nak mengorat cikgu. Cerita terus pada mereka pasal PTPTN, tunggakan kad kredit dan pembiayaan peribadi menggunung tinggi. Senang ejen nak tapis awal-awal.

8 Elakkan beli rumah gabung gaji suami isteri

Setiap orang layak untuk dapat Margin of Financing (MOF) antara 90 peratus hingga 100 peratus untuk rumah pertama dan 90 peratus untuk rumah kedua daripada bank. Bergantung jugalah kepada kekuatan kewangan dan skor kredit cikgu.

Bila dah selesai empat kuota rumah dengan MOF hingga 90 peratus ke 100 peratus, boleh dah rasa lega sedikit. Dua buah rumah pembiayaan nama suami, dua lagi pembiayaan nama isteri. Jadi, selepas itu kena kerja kuat lagi untuk beli rumah lain lagi sebab MOF dah jadi 70 peratus untuk rumah ketiga dan seterusnya. Secara asasnya, cikgu perlu menyediakan baki 30 peratus daripada harga rumah dengan duit sendiri atau baki akaun kedua EPF (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).

9 Simpan duit di Tabung Haji atau ASB secara konsisten

Ikut sukalah nak simpan kat Tabung Haji, ASB atau lain-lain tabung. Kalau masih bujang, simpanlah 50 peratus daripada gaji cikgu itu. Tak perlu tip yang canggih-canggih pun untuk simpan sejumlah itu.

Kalau gaji cikgu RM2,000 berbelanjalah RM1,000 sahaja. Bakinya masuk tabung. Kalau sudah berkeluarga, cuba simpan 30 peratus gaji. Gaji suami tambah gaji isteri RM4,000. Belanja RM2,800 simpan RM1,200. Kenapa simpan kat Tabung Haji dan ASB? Sebab Tabung Haji ada dividen lima peratus, ASB pula dividen 7.25 peratus. Untunglah juga kalau nak dibandingkan dengan simpan dalam tabung sendiri.

10 Mulakan simpanan tabung rumah walau masih belajar

Ketika di universiti lagi sudah boleh mula usaha beli rumah. Duit PTPTN dan biasiswa jangan guna semua, laburkan kat ASB dan Tabung Haji. Buatlah bisnes atau kerja part-time di KFC, Domino's Pizza atau menjadi home tutor. PTPTN dan biasiswa jangan dihabiskan beli iPhone.

Fresh graduate yang biasa-biasa, masa belajar enjoy habis duit PTPTN dan biasiswa, masa lapang melepak, kerja tak dapat, PTPTN tertunggak. Jadilah fresh graduate yang luar biasa dengan mengisi masa dengan berfaedah serta berniaga atau bekerja sambilan.

Ada banyak lagi tip mengenai bagaimana cikgu boleh miliki empat buah rumah sebelum usia 30 tahun. Kita tunggu tip selebihnya pada edisi bulan hadapan.