Aku-Kita, Guru, Pendidik atau Murabbi

— oleh Zaid Md Saman al-Haj —

Segugus doa dititipkan ke hadrat Ilahi
kerana telah mengkudratkan aku dan kita
ditabalkan sebagai guru
seperti yang telah tersurat di luhul mahfuz
walaupun beberapa kali berlegar
cuba meminang pelbagai profesyen
namun ternokta akhirnya
dengan jawatan-gelaran ini
syukur Alhamdulillah ya Robb.

Gurukah aku dan kita
jika setiap hari sekadar mengepit buku persediaan mengajar
dan bahan bantu mengajar
mengatur langkah menuju bilik darjah
mengajar anak didik sekadar tulis-baca
dan congak-kira
hingga berjaya menjadi insan yang celik huruf
dan cemerlang dalam bidang akademik
tetapi memiliki jiwa yang kosong
sebagai khalifah Allah
akibat dari guru hanya mengajar mereka sahaja.

Berapa ramaikah aku dan kita
yang memartabatkan diri sebagai pendidik anak bangsa
yang bukan sahaja bertindak mencurahkan pelbagai laras ilmu
sehingga berjaya mencemerlangkan akademik mereka
dari Tadika hingga ke ijazah PhD
malah lebih daripada itu menyuburkan JERI anak didik
jasmani-fizikal
emosi-perasaan
rohani-jiwa
intelek-minda
langsung melahirkan insan-insan syumul
yang turut menyumbang ke arah pembinaan negara bangsa
khazanah kekayaan dan keamanan negara dikecapi bersama.

Sedar atau tidak kita
betapa semakin mengecilnya
golongan kita yang dinobatkan sebagai murabbi
iaitu tularan semangat juang yang lebih tinggi
atas kesedaran dan keinsafan jitu
memikul amanah Allah
dengan penuh iltizam mendekati anak-anak didik
tanpa prejudis dan pilih kasih
sanggup meredah lautan dugaan
dengan menyemai-subur sifat empati
selagi memiliki lesen mendidik
sehinggalah dianugerahi lesen YB - yang bersara
tidak sekelumit pun ada niat
hendak menamatkan ijazah murabbi
dan menoktahkan pena ikatan ukhuwah silaturrahim
selagi nyawa dikandung badan
namun berhenti mendidik, tidak sama sekali
terjun dalam dunia masyarakat kampung negeri, nasional dan antarabangsa
tetap setia berdiri sebagai murabbi yang bermaruah.

Zaid Md Saman al-Haj
Air Baning, Negeri Sembilan DK

 


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan