Cerpen : Jauhnya Jodoh Cikgu..


Sesungguhnya: Jodoh pertemuan, Rezeki Allah, Ajal Maut dan Tanah Pekuburan... adalah ketentuan Luhul Mahfuz Ilahi. Cikgu Zamri amat yakin pada bait-bait ilmu yang sering dilontarkan oleh para ustaz yang mengajar di masjid dan di surau, tempat dia mendalami ilmu agama. Biasanya, jika tiada urusan dunia, dia akan mengunjungi rumah ibadat itu, paling kurangnya untuk waktu solat subuh dan maghrib. Jika dia berjemaah untuk solat maghrib, dia terus duduk tekun mendengar kuliah ilmu agama yang disampaikan oleh para ustaz yang silih berganti datang mengunjungi surau berhampiran tempat tinggalnya, hingga ke Isyak.

Kini dia sudah berada lebih 30,000 kaki di udara. Dia tahu bahawa kira-kira dua jam lebih dia akan berada di ruang udara langit Malaysia. Pagi tadi sebelum dia bergerak ke klia2 menggunakan perkhidmatan ERL, dia sempat memberitahu isterinya Cikgu Dayangku Masmerah bahawa dia akan menumpang penerbangan jam 11 pagi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Masih terngiang-ngiang suara isterinya digegendang telinganya..

"Abang, selamat balik ke KK. By amat rindu dan tak sabar menunggu ketibaan abang di bumi Negeri Di Bawah Bayu ini. Jika By berkepak..ingin saja terbang ke KL, menemani abang bersama ke KK. By akan tunggu abang lebih awal di airport nanti bah!" Pekat sekali loghat Melayu Sabah tertuncap di bibir mulus Dayangku Masmerah.

"Abang pun sangat rindu kat By. Maklumlah kan kita baru sebulan menjadi Raja Banyak Hari. Sempat mengembara seketika nostalgia malam pertama. Tentu By sayang masih ingat kan?" Panggilan Baby yang dipohon khas oleh Dayangku Masmerah pada Zamri ketika mereka mula menjana dunia percintaan di akhir-akhir tahun 2014.

"Ee..emm... Lebih dari ingat abang sayang. Amat indah sekali malam itu. Sesungguhnya Lautan Bukan Pemisah Abang Sayang.. Sangat puitis bait-bait puisi abang nukilkan khas buat By. Hingga kini, By masih pantas menghafal kesemua bait-bait sajak itu."

Ketika berada di udara, Zamri sempat melayan mainan perasaannya ketika mula berkenalan dengan Dayangku Masmerah, bercinta dan seterusnya sempat meniti musim keretakan hubungan. Tetapi, dia tetap yakin dengan usaha kuat yang dilakukan, Allah tidak akan menghampakan hajatnya untuk memperisterikan ibu tunggal keturunan Melayu Brunei yang sudah lama menjadi warga Negeri Di Bawah Bayu dan seterusnya menetap di Kampung Buang Sayang, Daerah Papar. Walaupun dilahirkan di mukim lain kerana mengikut rentak pindah-randah ayahnya yang kini telah bersara sebagai guru besar di sebuah sekolah rendah, untuk dirinya, arwah ibunya sempat mewariskan sebuah rumah separuh kekal, buat dia tinggal bersama dengan bekas suaminya dahulu. Begitu juga dengan suami keduanya dan dua putera dan seorang puterinya. Ketika itu, suami keduanya hanya membawa badan menjadi salah seorang penghuni di rumah itu.

Ketika Dayangku Masmerah bercerita sambil memamah keenakan isi durian tembaga, di Jalan Chow Kit, Kotaraya Kuala Lumpur, Zamri begitu khusyuk mendengar kisah pensejarahan susur-galur nama kampung dan jurai keturunan Dayangku Masmerah dilafazkan oleh bakal isterinya. Ketika kisah pensejarahan baru separuh jalan, Masmerah menarik tangan Zamri segera balik ke hotel kerana puteri Masmerah mengadu sakit perut dan perlu dirawat segera.

Zamri cukup yakin, malah sangat yakin pada apa saja ketentuan takdir Ilahi. Perkenalannya dengan Dayangku Masmerah bermula dengan kiriman frasa-frasa ucapan tahniah dan sembang-santai di FB dan WhatsApps. Walaupun tanpa disangka-sangka, tetapi dia tetap yakin bahawa semuanya adalah suratan Ilahi. Melalui dunia pengkaryaan dia mula berkenalan dengan isterinya itu. Dayangku Masmerah merupakan penulis wanita Sabah yang prolifik, gigih dan telah berjaya memenangi sayembara karya-karya kreatif di peringkat negeri mahupun di peringkat nasional. Menatap wajah Dayangku Masmerah di dada media, bagai disentap, jiwa nurani Zamri teruja untuk mendekati wanita itu. Maka bermulalah penjanaan dunia perkenalan Zamri-Dayangku Masmerah, yang seterusnya membenihkan bibit-bibit cinta.

Zamri terus mengelamun lagi. Sesekali, lamunannyanya diganggu oleh suara pramugari dan pramugara menolak troli menjual makanan dan minuman. Ketika mereka melalui di hadapan Zamri, mereka akan menerima hadiah senyuman sahaja kerana Zamri tidak berminat membeli makanan dan minuman di dalam kapal terbang, kecuali jika begitu mendesak sangat. Itu pun sekadar dipesannya roti dan air mineral sahaja. Jika tidak mendesak, dia lebih selesa mengunyah gula-gula, lebih-lebih lagi ketika kapal terbang mula merendah, sebagai cara utama meredakan kesakitan di lubang telinga kesan tekanan udara.

Pita rakaman di minda Zamri, berputar semula ke babak menarik; kisah perkenalannya dengan isteri comelnya, Dayangku Masmerah. Skrip drama cinta dengan Baby nya hampir terputus-tidak dapat dilunaskan kerana takdir juga. Tika itu, dunianya bagai gelap gelita apabila menerima frasa-frasa yang tersurat dalam WhatsApps dari Dayangku Masmerah yang mengarahkan agar kisah pembinaan istana cinta mereka, diberhentikan setakat itu sahaja. Maknanya, tiadalah jodoh antara mereka dengan memberi alasan yang amat tidak boleh diterima oleh Zamri.

Dayangku Masmerah tiba-tiba sahaja terasa serik untuk bernikah dengan hero dari Semenanjung lagi. Alasan yang aneh bin ajaib bersimpang-siur dalam benak Zamri. Malah amat tidak logik baginya. Apakah contoh terdahulu yang menyerikkan itu, boleh diterima pakai? Baru sahaja kelmarin Zamri bersyukur - gembira dengan dua berita iaitu, telah disahkan oleh mahkamah syariah, Dayangku Masmerah telah berpisah dengan suaminya. Khabar gembira itu sempat dibisikkan pada Tuan Kadhi, sahabat karibnya. Di samping itu, berita gembira yang disampaikan ialah telah mustaidnya novel remaja JIHAD MASMERAH yang akan dititipkan ke Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, untuk dinilai. Novel ini sangat bermakna seperti bermaknanya pembinaan Taj Mahal oleh Maharaja Shah Jehan untuk Permaisuri Shah Jehan Shah sebagai tinta cinta pada permaisurinya. Sesungguhnya, Zamri amat berat hendak menerima hukuman mandatori yang dijatuhkan oleh Dayangku Masmerah. Dengan niat penuh telus, dia terus mencanai kata-kata bagi melembutkan hati nurani Dayangku Masmerah dan seterusnya menghidupkan semula peluangnya untuk melamar wanita Brunei itu.

Sifat jantan jatinya terus memimpin semangat kepahlawanannya untuk memiliki ibu tunggal yang ingin dibantu kearah sirnanya semula hidup Dayangku Masmerah tiga beranak. Dia tidak akan kecewa untuk terus berjuang, melainkan jika sememangnya sudah ditakdirkan bahawa Dayangku Masmerah akan menjadi milik hero lain, atau terus meneruskan hidup sebagai IT menemani kebahagian hidup tiga pewarisnya, biarpun dia terpaksa berpura-pura rasa bahagia, sedangkan usianya yang masih perlu berbantalkan lengan sang suami. Apakah Masmerah akan terus akur dengan kehendak tiga orang anaknya yang menegah dia bersuami lagi? Tuntutan keperluan batiniah mana boleh dibohongi.

Akhirnya usaha Zamri berjaya membuahkan hasil. Kuntum di jiwa Dayangku Masmerah yang mula melayu, telah mekar semula dek siraman doa dan kata-kata semangat yang berterusan dititipkan oleh Zamri. Dayangku Masmerah akhirnya menyerah kalah dan tertidur lena di pangkuan Zamri.

Sebetulnya, Zamri juga seorang penulis yang pernah diangkat ke taraf prolifik juga oleh pengulas karya-karya, tenggelam beberapa waktu kerana sibuk dengan dunia usahawan dan sebagai aktivis dalam NGO. Dia amat berterima kasih dan sangat terhutang budi pada isterinya, penulis wanita Sabah itu. Semenjak dia mula berkenalan dengan Baby nya itu, semangat juangnya dalam arena pengkaryaan, menjadi bernyala semula. Dalam beberapa bulan sahaja dia telah menghasilkan beberapa buah novel, kumpulan cerpen, skrip drama pentas dan sajak.

Sesungguhnya, gamitan Kinarut telah memulihkan semangat Dayangku Masmerah untuk menerima semula Zamri ke pangkuannya sehingga menjadi pasangan suami-isteri yang sah. Kali ini, kehadiran Zamri dalam hidupnya bukanlah satu lakonan atau kata-kata yang direka-reka tetapi datangnya dari hati yang tulus ikhlas. Tiada lagi luahan ungkapan berbisa yang sering di tagkan dalam kiriman mesej kepada Zamri seperti satu ketika dahulu: janganlah abang menaruh harapan padanya..

Lamunan Zamri tersentak apabila henjutan tayar kapal terbang mencecah landasan. Terus disedarkan lagi dengan suara ketua pramugari memaklumkan bahawa pesawat yang ditumpangi telah selamat mendarat. "Alhamdulillah..." segera kedua tangan ditadah dan dikaupkan ke muka. Hampir setengah jam kemudian, dia sudah berada dalam barisan penumpang, menyerahkankan kad pengenalan di kaunter imigresen untuk diberikan visa tinggal di Sabah.

"Tentu By sudah lama menunggu di luar." Letusan suara hati Zamri. Matanya sempat menjeling pada layar telefon bimbitnya. Kiriman mesejnya tidak dibalas pun. Dia memaklumkan ketibaannya pada isterinya, Dayangku Masmerah. Setelah dia menerima slip pemeriksaan imigrasinya, diselitkan ke dalam dompet duitnya, dia melangkah pantas ke kawasan parkir menunggu penumpang. Matanya melingas memandang keliling. Kelibat isteri atau kereta MPV yang dipandunya, tidak kelihatan pun. Jejarinya segera digunakan untuk menekan papan jajaran telefon bimbit. Belum sempat dia menekan, tiba-tiba terdengar deringan ton dari telefon bimbitnya; lagu yang diminati oleh Masmerah - Kaulah Sumber Ilhamku. Sepantas itu, jejarinya menekan butang menerima panggilan.

"Abang sayang.. sudah mendarat ya.."

"Sudah By sayang. Tapi... kat mana bah? Tak Nampak pun? Sudah ada di sini atau masih dalam perjalanan sayang?"

"Sebelum kita sama-sama lepaskan rindu, By nak minta maaf ya abang. Tadi, memangnya By sudah keluar awal dari pejabat di Kampung Laut. Tapi..."

" Tapi apa sayang?"

"Setiba saja By di kawasan Kinarut, kenderaan berbaris panjang di jalan raya. Tidak bergerak. Apabila diajukan soalan, ada kemalangan maut rupanya. Lamalah By menunggu jajaran kenderaan melepasi kawasan terlibat. Sempat By menjengah, kemalangan ngeri itu, telah meragut beberapa nyawa. Abang jangan marah By ya abang sayang. Kepenatan abang menunggu, By akan gandakan hadiah istimewa pada abang, malam nanti. Bukan siang ini tahu, nanti kita kepenatan."

Terukir senyuman berganda di bibir Zamri apabila dijanjikan hadiah berganda oleh isteri comelnya, Masmerah. "Penat pun tak apalah. Bukannya disengajakan. Cepatlah kau muncul wahai malam yang pahala ibadatnya amat berganda.."

"Kinarut? Emm..." Pita rakaman di mindanya terus berputar ke satu detik..

"Kita bermalam sahaja di hotel di Teluk Likas boleh bang?"

"Mengapa di situ By?"

"Pemandangannya sangat cantik bang. Abang hayatilah keindahan panorama malam Teluk Likas itu, istimewa waktu malam. Tambah pula, abang amat jarang sekali berkunjung ke Negeri Di Bawah Bayu ini. By nak abang berasa puas hati dalam kunjungan kali ini. Program himpunan penulis seluruh negara anjuran DBP, hanya bermula esok. By cadang, hari Ahad nanti nak bawa abang ke kampung, melihat keindahan Daerah Papar dan perkampungan di sana. Jika ada kesempatan, nak bawa abang ke pasar tamu. Juga nak jamu abang makan makanan istimewa keturunan kami yang ramai di Daerah Papar, ambuyat. Nanti By minta adik ipar sediakan ya bang."

"Boleh bah. Terima kasih kerana sudi raikan abang. Abang semacam tidak sabar untuk ke sana, khususnya ke Kampung Buang Sayang itu. Rasanya, bakal menjadi kampung abang juga. Mendengar nama ambuyat saja, abang terasa berselera untuk menjamah makanan istimewa masyarakat keturunan negara yang terkenal kaya dengan hasil minyak itu." Zamri sempat menjeling tajam ke anak mata Dayangku Masmerah. Serta merta, Masmerah menghadiahkan buah hatinya dengan senyuman menusuk jiwa.

Seperti yang dijanjikan setelah tamat sahaja sesi pembentangan kertas kerja di DBP Cawangan Sabah, yang disampaikan oleh Dayangku Masmerah sendiri, dia menghilangkan diri terus ke bahagian parkir kenderaan, memandu keluar MPVnya. Dia tidak mahu kelibatnya mencuri Zamri, akan sempat diperhatikan oleh mana-mana pasangan mata. Dia tidak mahu rahsia ketat percintaannya yang berjaya dikunci rapi, tiba-tiba meletup pecah. Namun Dayangku Masmerah redha jika akhirnya, kisah Romeo-Julietnya dengan Zamri akhirnya meletup juga.

Dari Bandaraya KK, MPV yang dipandu Dayangku Masmerah terus meluncur pergi meninggalkan kesibukan bandaraya tersebut.

"Abang ingatkan Bandaraya Kuala Lumpur sahaja yang sesak begini. Rupanya jalan raya di sini juga turut sesak."

"Ya abang sayang. Emm... kali pertama abang ke kawasan luar kota ya? Dulu, yang abang maklumkan, datang urusan niaga MLM, tidak sempat dibawa bersiar-siar di kawasan luar kota ya bang?"

Zamri mengangguk.

"Kita ke sekolah sayang di Kampung Laut dulu ya, nak ambil barang yang tertinggal. Lagi pun sayang ada buat pesanan kuih cincin yang abang suka makan tu. Jika di Sabah ini, kuih cincin keluaran Kampung Laut, memang sudah terkenal bah.."

"OK, abang ikut saja. Emmm, ini ke Jambatan Buang Sayang yang kawan-kawan kita ada sebutkan itu sayang?"

"Tepat sekali abang. Lagi pun, bukankah abang akan menjadi salah seorang penghuni baru di kampung ini?"

"Abang setuju sebab rumah itu akan menjadi istana kita juga.. yang akan menjadi raja banyak hari, bukan sehari saja tau!"

Ketibaan mereka di rumah, disambut oleh miauan sang kucing yang sudah beberapa hari ditinggalkan oleh puannya kerana urusan di KK dan menyambut kedatangan buah hatinya dari KL. Kucing-kucing yang banyak jumlahnya itu, berkejaran mendapatkan Dayangku Masmerah, seolah-olah ingin melepaskan rindu dan mengadu sesuatu yang berlaku.

Zamri terus naik ke atas dan menyaksikan tempat Masmerah bergelumang dengan kertas-kertas garapan karya dan tugasan ijazah sarjana mudanya. Semester akhirnya di U sebelum dia diijazahkan dengan ijazah kelas pertama atau ke dua tertinggi. Di kiri kanan ruang yang agak luas itu, kedapatan almari yang sarat dengan susunan buku ilmiah dan karya-karya kreatif.

Setelah mengunci pintu rumah, mereka masuk semula ke dalam kereta. Abang pandu pula ya, sebab abang sudah tahu jalan hendak ke sini tadi. Biar Mas berehat pula. Tanpa banyak bicara, Zamri terus menghidupkan injin kereta dan meninggalkan kawasan rumah Dayangku Masmerah di Kampung Buang Sayang. Arah menuju ke jalan utama, ditunjukkan oleh Masmerah jika Zamri lupa. Seketika pemanduan bergerak lancar. Apabila melepasi kawasan tahanan pendatang asing di sebelah kanan jalan, MPV yang dipandu oleh Zamri mula terhincut-hincut, terus bergerak sedikit demi sedikit dan akhirnya tiba-tiba terhenti di hadapan sebuah kedai menjual barangan binaan.

"Alamak, apa dah jadi ni Mas?" Tangan Zamri terus memaut setering MVP ke tepi bahu jalan. Dia cuba menghidupkan semula injin tetapi tiada nada langsung yang keluar. "Wah, ini angkara beteri atau alternator...pembekal kuasa pada injin. Macam mana ni Mas?"

Setelah dicubanya beberapa kali, masih injin MPV tidak berjaya dihidupkan; akhirnya dia terus membuka penutup telefon bimbitnya, mencari nama bekas pelajarnya di Kuching dahulu, yang berasal dari Daerah Papar.

"Assalamualaikum Jamal, mohon bantu cikgu.. kereta yang cikgu pandu ini, tiba-tiba sahaja injinnya mati dan tidak boleh dihidupkan semula. Sudah puas cikgu berusaha, injinnya masih tidak boleh dihidupkan."

"Oh begitu, cikgu...saya ada urusan sekejap, saya minta kawan saya datang segera ke tempat itu, bantu apa yang boleh dan yang paling penting, menjaga keselamatan cikgu. Emm, di mana kereta itu rosak ya?"

"Bang, cakapkan saja di Kinarut. Tidak jauh dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kinarut."

"Cuba cikgu telefon Zakariah, murid cikgu juga di Kuching dulu. Dia tinggal tidak jauh dari situ. Nanti saya akan datang bawa mekanik. Sambil itu, dua orang kawan saya akan cuba bantu dan jaga keselamatan cikgu dan buah hati cikgu tu. Kawasan itu, kawasan berbahaya cikgu."

"OK, terima kasih Jamal."

Tidak lama kemudian, dua orang kawan Jamal yang menaiki motosikal datang membantu. Mereka terus berusaha, mencari punca kerosakan. Tiba-tiba sebuah kereta MPV Ekzora, berhenti di sebelah kanan jalan. Pemandunya menurunkan cermin tingkap.

"Asslamualaikum cikgu. Cikgu Zamri kah?" Zakariah terus berkejar, melintas jalan dan mendapatkan Zamri serta memeluk erat tubuh Cikgu Zamri. Titisan air mata syukur menitis membasahi pipi Cikgu Zakariah. "Syukur cikgu, rupanya perpisahan kita lebih 30 tahun, bumi Kinarut mempertemukan kita semula."

"Cikgu, kita hantar kereta ini balik ke Buang Sayang, rumah buah hati cikgu ya. Esok, kita usahakan hantar ke bengkel. Biar kami hantar cikgu ke hotel. Kita singgah makan malam dalam perjalanan. Zakariah akan menyusul." Usul dua orang kawan Jamal.

Malam itu, lewat malam, mereka berada di hotel semula.. tanpa di ketahui oleh perserta-peserta Seminar Pengkaryaan.

"Eii abang.. Mas Sayanglah ni. Tidur atau berangan ni?" Dayangku Masmerah sudah tercegat di hadapan Zamri. Dia menerpa dan terus memeluk suaminya.

"Ya sayang. Syukur tiba juga. Kita di hotel di Likas sahaja malam ini. Sambung berbulan madu di situ. Esok sahaja kita balik ke Buang Sayang ya By.."

"Ok abang." Masmerah menarik tangan Zamri. Mereka beriringan menuju ke kereta Axia yang dibelikan oleh Zamri khas untuk Masmerah, sempena dengan pernikahan mereka, sebulan lebih yang lalu. Ketika di dalam kereta, mereka berbual panjang sambil kereta yang dipandu oleh Masmerah meluncur ke Teluk Likas, meninggalkan LTAB Kota Kinabalu.

"Abang, malam ini jangan sampai terlajak ya, esok kita akan keletihan. Mas amat gembira kerana Mas dan anak-anak akan bersantai bersama abang di Papar. Kita akan penuhi ziarah kasih kita hingga ke Brunei, di rumah kakak." Zamri menghadiahi Dayangku Masmerah dengan senyuman Raja Banyak Hari.

Jejari Masmerah segera mencubit pipi suaminya. Angin segar Teluk Likas menemani Malam Bulan Madu mereka.


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan