Cerpen: Anak Akukah Sazali?


Perkhabaran yang baru sahaja aku dengar daripada anakku, Anas itu sangat menduga kesabaranku. Amarah mula menguasai diriku. Aku mampu bersabar dengan apa sahaja tetapi tidak sama sekali jika anak kesayanganku itu diperlakukan seperti banduan. Sedangkan aku sendiri tidak pernah memukul Anas, masakan aku membenarkan orang lain menyentuhnya.

Anas pulang dari sekolah sebentar tadi dengan membawa suatu perkhabaran yang sangat mengejutkan aku. Dia memaklumkan kepada aku bahawa dia telah ditampar oleh guru disiplinnya di sekolah pagi tadi atas alasan tertidur di dalam kelas.

Hukuman yang Anas terima itu tidak langsung setimpal dengan perbuatannya. Tidak mungkin seorang murid yang tertidur di dalam kelas terpaksa menerima hukuman ditampar seperti itu. Anakku bukanlah banduan. Anakku juga ada hak untuk dilayan dengan baik.

Guru hari ini memang banyak yang sudah kurang waras sehinggakan anak kesayanganku diperlakukan sebegini rupa. Guru itu siapa, berani menampar anakku. Dia tidak mempunyai sebarang hak. Amarahku kian memuncak. Aku akan ajar guru durjana itu dengan tanganku sendiri. Itulah sumpahku!

"Siapa nama cikgu yang tampar Anas itu? Beritahu ayah. Biar ayah beri dia pengajaran sikit. Berani dia tampar anak kesayangan ayah," tanyaku kepada Anas.

"Cikgu Azizah, ayah. Dia cikgu disiplin sekolah. Cikgu Azizah ni memang jahat. Dia suka marah Anas." Anas menerangkan perihal Cikgu Azizah kepadaku.

Aku bersumpah akan mencari nama Azizah itu dan membalas segala perbuatannya terhadap anakku. Dia telah melampau. Dia cuma seorang guru bukannya warden penjara. Tugasnya bukanlah untuk menampar anak aku tetapi sepatutnya mengajar.

Keesokannya, aku sengaja meminta pelepasan daripada majikan di tempat kerjaku dengan alasan hendak berjumpa guru bagi membincangkan pretasi anak aku di sekolah. Tanpa membazirkan masa, aku segera bergegas ke sekolah.

Aku bagaikan dirasuk ketika itu. Tiada apa yang dapat aku fikirkan kecuali dendam aku yang kian membara terhadap seorang guru yang namanya Azizah. Hari ini aku akan pastikan dia peroleh suatu pengajaran daripada tindakan bodohnya memukul anakku kelmarin.

Aku tiba di pintu gerbang sekolah tersebut. Dua orang pengawal keselamatan yang ditugaskan mengawal pintu masuk utama sekolah tersebut berdiri tercegat di situ menerima kehadiranku. Mereka berdua menguntum senyum meraikan kedatanganku. Namun, senyuman kedua-dua pengawal keselamatan itu sama sekali tidak dapat memadam api amarah yang ghairah membakar segenap jiwaku.

"Maafkan saya encik. Boleh saya tahu encik nak berjumpa dengan siapa?" tanya salah seorang daripada pengawal keselamatan itu yang wajahnya masih dihiasi senyuman.

"Aku nak jumpa dengan Cikgu Azizah," kataku dengan riak muka bengis.

"Boleh encik tetapi saya ingin bertanya terlebih dahulu tentang tujuan encik. Atas urusan apa encik mahu berjumpa dengan Cikgu Azizah?" soal pengawal keselamatan itu lagi.

"Itu bukan urusan kau. Jangan masuk campur boleh tak? Lebih baik kau buka pintu pagar ni dan benarkan aku masuk. Aku tak mahu cari gaduh dengan kau." Segala amarah yang tersimpan di dalam diriku aku keluarkan semuanya. Aku memang tidak suka dengan tindakan pengawal keselamatan itu yang seolah-olah ingin menggagalkan niatku.

"Maaf encik. Kami tidak boleh benarkan encik masuk ke kawasan sekolah jika encik tidak memberitahu kami sebab encik ingin bertemu dengan guru di dalam sekolah. Ini prosedur. Kami harap encik faham." Pengawal keselamatan itu masih berkeras tidak membenarkan aku masuk.

"Persetankan prosedur kau itu. Ini urusan aku dengan seorang cikgu di dalam sekolah ini yang namanya Azizah. Kau tidak tahu apa-apa. Jangan masuk campur urusan aku!" Aku terus menolak salah seorang pegawai keselamatan itu dengan kuat sehingga dia jatuh menyembah bumi.

Seorang lagi pengawal keselamatan yang berada di situ cuba menghalang tindakanku itu namun sia-sia. Satu tumbukan padu daripada aku hinggap di bahagian pipinya sehingga dia turut sama jatuh menyembah bumi. Kedua-dua mereka mengerang menahan azab kesakitan.

Aku meneruskan perjalanan menuju ke bilik guru dengan harapan Cikgu Azizah ada di situ. Aku terus melangkah masuk ke dalam bilik guru yang terletak di tingkat dua sekolah itu tanpa memberikan salam dan sebarang ketukan pintu. Terus sahaja aku terjah ke dalam bilik guru sehingga menyebabkan beberapa orang guru yang sedang menulis sesuatu di meja mereka masing-masing mendongak muka melihatku.

Salah seorang guru lelaki berbadan agak gempal yang memakai baju biru bersama tanda nama yang tertulis Amran pada bahagian dada sebelah kirinya bangun daripada kerusi dan mendekatiku dengan reaksi muka yang aneh.

"Saya Cikgu Amran. Boleh saya tahu encik nak jumpa dengan siapa?" tanya guru itu sambil menghulurkan tangan kanannya untuk berjabat denganku.

Aku langsung tidak mengendahkan tangannya itu. Tidak sama sekali aku menghulurkan tangan kanan aku juga untuk menyambut salamnya. Aku tahu perbuatanku itu agak tidak sopan tetapi apakan daya, amarah benar-benar menguasaiku ketika ini. Melihatkan aku tidak sudi untuk menyambut salamnya, Cikgu Amran menarik semula tangan kanannya ke belakang sambil menundukkan sedikit kepalanya.

"Aku nak jumpa dengan Cikgu Azizah," jawabku separa menengking dengan riak muka yang masam.

"Maafkan saya, encik. Cikgu Azizah tiada di sini sekarang. Beliau ada kelas dengan murid-murid kelas 5 Cemerlang."

Tanpa mengeluarkan sebarang kata daripada mulutku, aku terus meninggalkan bilik guru itu dan bergegas ke kelas 5 Cemerlang. Amarahku semakin membara. Ghairahku untuk membalas dendam terhadap Cikgu Azizah kerana memukul anakku semakin memuncak. Aku tidak sabar lagi untuk membayar balik perbuatan Cikgu Azizah itu.

Langkahku yang laju akhirnya terhenti di muka pintu kelas 5 Cemerlang. Cikgu Azizah sedang mengajar dengan tekun manakala murid-murid di dalam kelas itu pula sedang mendengar ilmu-ilmu yang diajarkan oleh Cikgu Azizah dengan fokus. Aku pula sedang berdiri pegun di luar kelas tersebut sambil memerhati rapat Cikgu Azizah.

Menyedari ada seseorang di luar kelas sedang memerhatinya, Cikgu Azizah mengambil keputusan untuk memberhentikan seketika sesi pembelajaran dan berjalan menuju ke arah pintu kelas tersebut sambil menguntum sejalur senyum manis. Muda lagi orangnya.

"Boleh saya bantu encik?" soal Cikgu Azizah kepadaku dengan nada suara yang lembut.

Aku pula ketika ini berfikir dua kali akan niatku. Adakah aku sanggup untuk memukul seorang perempuan hanya kerana dendam yang memuncak. Namun, perempuan di hadapanku ini jugalah yang telah menyakiti anak kesayanganku.

Tanpa berfikir lebih panjang dan membazirkan masa, aku terus mengangkat tangan kananku seraya itu juga penampar daripadaku melekat di pipi Cikgu Azizah. Cikgu Azizah menahan azab kesakitan sambil air matanya mulai mengalir. Aku tahu tindakanku itu sangat bodoh kerana seumur hidupku aku tidak pernah memukul wanita termasuklah isteriku sendiri. Inilah kali pertama aku bertindak bodoh begini. Namun, aku merasakan Cikgu Azizah layak menerima hukuman tersebut kerana telah menyakiti anakku.

Serentak itu juga, guru besar dan beberapa orang guru lain datang dari arah belakangku dan menghalangku daripada terus menyakiti Cikgu Azizah. Suasana di kelas 5 Cemerlang menjadi tegang seketika.

"Sabar dulu, encik! Kita boleh bincang. Jangan bertindak macam ni." Guru besar cuba menenangkan aku.

"Jangan halang aku. Dia ni memang layak terima semua ni. Dia dah pukul anak aku. Aku di rumah pun tak pernah sentuh anak aku tu." Aku terus melepaskan amarah.

"Saya pukul dia bersebab. Encik kena tahu yang anak encik tu kaki buli di sekolah. Saya tampar dia kerana saya sudah hilang sabar dengan sikap dia. Dia pukul budak darjah dua dan mengugut budak tu supaya memberikan duit. Saya nampak perbuatan dia itu. "Kemudian, saya panggil dia ke bilik guru. Pada awalnya, saya tidak ada langsung niat untuk menamparnya. Cukuplah saya memarahinya tetapi anak encik tidak henti-henti memaki-hamun saya. Saya hilang sabar dan terpaksa menamparnya," jelas Cikgu Azizah panjang lebar.

Namun, sepatah pun aku tidak mempercayai kata-katanya. Bagi aku, itu hanyalah alasan Cikgu Azizah bagi melepaskan dirinya. Aku lebih mempercayai cerita anak aku berbanding dengan Cikgu Azizah yang karut ini.

"Jangan cuba nak berdalih! Cikgu dah buat salah, sekarang cikgu nak salahkan anak saya pula?" tengking aku kepada Cikgu Azizah.

"Encik, jom berbincang secara baik di bilik saya." Guru besar mencelah sambil mempelawa aku ke biliknya.

"Tidak! Saya takkan berbincang lagi. Sudah terang lagi bersuluh Cikgu Azizah yang bersalah. Dia telah melanggar undang-undang. Tiada satu pun dalam undang-undang yang mengatakan guru boleh memukul murid. Saya akan laporkan perkara ini kepada polis. Saya akan lawan di mahkamah!" Aku terus beredar daripada situ sebaik sahaja kata-kataku itu terpacul keluar daripada mulutku.

Destinasi aku seterusnya adalah balai polis. Aku sudah nekad untuk membuat kes. Aku menginginkan keadilan buat anakku kerana bagiku hukuman tampar yang baru sahaja aku lakukan kepada Cikgu Azizah itu tidak memadai. Cikgu itu perlu mendapatkan hukuman yang lebih berat.

Aku akhirnya tiba di sebuah balai polis yang terletak tidak jauh daripada sekolah tersebut. Segala borang berkenaan laporan aku isi satu per satu dengan harapan tindakan biadap Cikgu Azizah itu mendapat balasan yang sepatutnya. Pegawai polis yang bertugas ketika itu juga turut berminat dengan kes ini. Bertalu-talu soalan diajukan kepadaku tatkala aku sedang sibuk mengisi borang laporan.

Beliau juga turut menyebut peranan ibu bapa penting dalam mencorak anak-anak. Aku terus menatap mukanya. Reaksi wajahku turut bertukar serta-merta. Biadap sungguh pegawai polis ini. Dia cuba untuk memerliku secara tidak langsung. Tanpa mengeluarkan sebarang kata, aku menyerahkan borang laporan yang siap diisi itu kepadanya dan terus keluar dari balai polis tersebut.

Aku mengharapkan tindakan yang tegas akan dikenakan kepada Cikgu Azizah yang mencari pasal denganku itu. Aku terus pulang ke rumah dengan sedikit rasa puas hati. Sekurang-kurangnya Cikgu Azizah sudah merasai penamparku tadi.

Anas menyambut kepulanganku di rumah. Sengaja aku mengarahkan dia supaya tidak pergi ke sekolah hari ini kerana aku yakin dia masih dalam keadaan trauma akibat dipukul kelmarin. Anas mengucapkan terima kasih kepadaku dan terus memelukku erat.

"Ayah tak akan benarkan sesiapa pun pukul anak ayah," kataku sambil memeluk erat Anas.

Keesokan harinya, aku mengambil cuti kerana bak kata pegawai polis yang bertugas di balai itu semalam, aku perlu bersedia. Pihak polis akan memanggilku dalam masa terdekat untuk memberikan keterangan. Untuk memudahkan kerja, aku sengaja ambil cuti. Anas pula sedang bersiap-siap untuk pergi ke sekolah.

"Anas jangan takut ye. Cikgu tu tak akan berani sentuh Anas dah. Ayah dah ajar dia cukup-cukup kelmarin," kataku kepada Anas sebelum dia bertolak pergi ke sekolah.

Aku membelek-belek surat khabar di ruang tamu rumah sambil menunggu jika pihak polis menelefonku dan mengarahkan aku pergi ke balai untuk diambil keterangan. Jam demi jam berlalu, tiada juga panggilan daripada pihak polis.

Mataku tiba-tiba tertangkap sebuah bungkusan yang terletak di atas meja ruang tamu. Aku mendekati bungkusan tersebut untuk memastikan bungkusan apakah itu. Rupa-rupanya itu adalah bungkusan makanan Anas. Dia terlupa untuk membawanya ke sekolah.

Aku perlu menghantarkan makanan itu kepadanya kerana anak aku ini bukannya jenis yang makan di kantin sekolah. Dia lebih gemar memakan makanan yang dimasak oleh isteriku. Aku pantas mencapai bungkusan makanan itu dan juga kunci motosikalku. Aku segera bergegas ke sekolah untuk memberikan makanan itu kepada Anas.

Kebetulan juga pengawal keselamatan yang bertugas hari ini adalah orang yang sama. Mereka berdua hanya memandangku dan tidak berkata apa-apa. Mereka membenarkan aku masuk ke dalam kawasan sekolah. Kedua-duanya kelihatan takut melihatku.

Aku terus bergegas ke kelas 4 Dinamik iaitu kelas Anas. Ketika itu, Ustaz Wadi yang mengajar subjek Bahasa Arab sedang tekun mengajar. Ustaz Wadi terus terdiam melihat kehadiranku. Seluruh kelas turut membisu seolah-olah melihat sesuatu yang menakutkan.

"Saya datang nak bagi makanan Anas yang tertinggal," kataku sambil menghulurkan bungkusan makanan kepada Ustaz Wadi.

"Maafkan saya, encik. Anas tak datang sekolah hari ini," jawab Ustaz Wadi.

"Ustaz biar betul! Dia pergi sekolah depan saya tadi."

"Betul, encik. Dari pagi tadi dia tak masuk sekolah. Encik boleh tengok buku senarai kehadiran hari ini." Ustaz Wadi menghulurkan buku kehadiran murid kelas 4 Dinamik kepadaku yang tertera di situ tanda bulat pada ruangan nama Anas menandakan dia tidak hadir.

"Kalau begitu, di mana dia? Dia datang sekolah tadi." Aku buntu.

"Saya tahu di mana Anas, pak cik." Seorang budak lelaki kelas itu bersuara.

"Kalau kamu tahu, di mana dia?" tanya Ustaz Wadi kepada budak itu.

"Dia selalunya berada di tapak lombong lama hujung kampung dengan kawan-kawan dia. Kawan-kawan dia tu dah besar. Semua sekolah menengah," jawab budak itu.

Aku semakin buntu. Apakah benar kata budak ini? Aku dengan segera bergegas meninggalkan sekolah itu dan terus ke pusat lombong lama yang dikatakan budak lelaki itu tadi. Sepanjang perjalanan, aku hanya mampu berdoa supaya apa yang dikatakan budak itu tadi adalah tidak benar.

Aku akhirnya tiba di pusat lombong lama tersebut. Aku mengurut dada perlahan sambil mengucapkan beberapa kali istighfar. Mengucap panjang aku melihat anakku, Anas bersama tiga orang lagi rakannya yang lengkap berpakaian sekolah menengah sedang khayal dibuai asap rokok. Mereka tidak menyedari kehadiranku.

"Ya Allah! Ini kerja kau ya Anas?"

Kesemua mereka terkedu melihatku terutama sekali Anas. Luluh sekali hatiku ketika itu. Jantungku bagaikan berhenti. Air mata sesalan mulai terbit. Aku telah tersalah mendidik anakku. Aku terlalu memanjakannya hingga menyebabkan dia keras kepala. Aku berasa sangat bersalah ketika ini termasuklah kepada Cikgu Azizah yang baru sahaja aku tampar semalam.

Aku mengangkat tinggi tanganku dan menghadiahkan Anas penampar sebagai pengajaran. Aku menariknya dan membawanya pulang. Barulah aku sedar akan kesalahanku kerana terlalu memanjakan Anas.

Aku sedar suatu hari nanti tindakan aku memanjakan Anas akan memakan diriku sendiri. Anas akan hilang hormatnya kepadaku dan akan menyalahkan tindakanku itu sama seperti dalam filem Anakku Sazali lakonan Tan Sri P. Ramlee. Persoalannya kini adalah anakku sudah seperti Sazali. Seorang anak yang dimanjakan dan akhirnya menconteng arang ke muka ibu bapa sendiri.

Anak akukah Sazali? Tangisanku tidak lagi berlagu. Sesalanku tiada gunanya lagi. Gurunya yang ikhlas mendidiknya menjadi manusia telah aku pukul. Aku memang sudah gagal dalam mendidik anakku sendiri.

Sejurus selepas menghantar Anas pulang, aku bergegas ke balai polis dan menarik balik kes yang aku buat ke atas Cikgu Azizah kelmarin. Aku juga terus bergegas ke sekolah untuk berjumpa dengan Cikgu Azizah. Dengan rendah diri aku titiskan air mata dan meminta maaf daripadanya. Peribadi seorang guru sangatlah mulia. Biar sedalam mana pun luka yang dibuat oleh muridnya, guru tetap akan memaafkannya.

Aku insaf dengan perbuatanku. Aku sedar sehebat mana pun aku dalam mendidik anakku, aku masih memerlukan guru untuk mendidik anakku menjadi manusia ketika dia berada di sekolah.