Seorang Guru

— oleh ISKANDAR ZULFAQAR —

Seorang guru,
Baginya tiada erti lelah
Memerah keringat dan tenaga
Demi mendidik benih bangsa
Supaya mekar menghiasi negara

Seorang guru,
Jiwanya sesuci embun
Biar diherdik, dicaci dan dihina
Amanahnya erat digenggam
Tanggungjawabnya tiada terbiar
Untuk mencorak pelapis negara.

Seorang guru,
Masih setia menjalankan tugas
Biarpun hari sudah ditelan gelita
Biarpun tubuh dicengkam lelah
Demi segenggam janji pada nusa
Dia merelakan jiwa.

Seorang guru,
Biarlah hari ini
Jiwamu parah menelan kecaman
Kerana hari esok akan berubah
Senyuman akan terlirik di wajahmu
Ketika anak bangsamu menggenggam jaya
Itulah hadiah bagi perjuanganmu.

ISKANDAR ZULFAQAR
SK Bukit Keteri, Perlis