Masa Lapang Wanita Kurang 5 Jam Daripada Lelaki


Percaya atau tidak, kaum lelaki mempunyai lebih banyak masa lapang berbanding wanita. Kaum lelaki menikmati purata 43 jam masa lapang dalam seminggu. Masa lapang kaum hawa pula lima jam kurang daripada itu, menurut satu dapatan tinjauan.
Laporan Office for National Statistics (ONS) mendedahkan bahawa wanita hanya mempunyai 38 jam masa lapang dalam seminggu pada tahun 2015. Ia digunakan sama ada untuk berehat atau bersosial.
Menurut analisis, ini mungkin disebabkan wanita lebih banyak menghabiskan masa mengemas rumah, lapor laman Independent.

Wanita Banyak Lakukan Kerja “Tidak Berbayar”

Dapatan ONS juga menunjukkan bahawa purata masa lapang bagi kaum Adam meningkat sejak tahun 2000 manakala ia berkurangan bagi wanita.

Menurut laporan itu, masa lapang bagi wanita mungkin kurang kerana meskipun wanita lebih kerap bekerja sambilan berbanding lelaki, mereka lebih banyak menghabiskan masa melakukan kerja-kerja tidak berbayar seperti kerja rumah dan menjaga anak.

Masa yang digunakan untuk melakukan kerja-kerja tidak berbayar mungkin menggantikan masa yang boleh dihabiskan untuk kegiatan riadah.

Kebanyakan masa lapang bagi kedua-dua lelaki dan wanita dimanfaatkan untuk kegiatan seperti membaca, mendengar muzik atau menonton televisyen, lapor Independent.

Makin Tua Makin Banyak Riadah

Bagaimanapun, tinjauan itu mendapati semakin seseorang itu menua, lebih banyak masa riadah diperlukan.

Mereka yang dalam lingkungan usia 25 hingga 34 mengambil masa paling sedikit untuk riadah berbanding yang dalam lingkungan usia lain. Manakala, mereka yang berusia 65 tahun ke atas mengambil lebih masa rehat dan jumlahnya bagi kaum Adam masih lebih tinggi, lapor Independent.

Perbezaan ini mungkin kerana warga tua mempunyai anak yang sudah dewasa dan mungkin juga kerana mereka sudah bersara.

Mereka yang berusia antara 16 dengan 24 tahun menggunakan lebih banyak masa untuk kegiatan riadah atau berehat dalam seminggu. Ini, menurut ONS, mungkin disebabkan ramai dalam kalangan mereka merupakan pelajar tanpa kerja tetap.


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan