Cara terbaik hapus lipas


Isu lipas yang bermaharajalela di dalam kereta adalah masalah yang dialami sebahagian besar pemilik kenderaan. Jika anda seorang yang mudah ‘lemah lutut’ atau lemah semangat apabila berdepan dengan serangga perosak itu, ia mungkin boleh mengundang bahaya.

Seorang wanita pernah dilaporkan hilang kawalan keretanya lalu merempuh jejantas gara-gara terkejut melihat lipas semasa dia sedang memandu. Jadi, bagaimana caranya untuk mencegah lipas daripada ‘menumpang’ kereta anda?

Dalam laman sosial terdapat banyak tip yang boleh anda cuba untuk menghalau lipas ataupun serangga-serangga lain seperti labah-labah, ataupun cicak daripada ‘tinggal’ di dalam kereta anda.

1. Daun Pandan

Daun pandan sering digunakan dalam masakan untuk menaikkan aroma makanan. Ramai yang mempercayai daun pandan ditakuti oleh lipas disebabkan baunya. Namun seorang Ahli Entimologi Perubatan syarikat Rentokil Singapura, Dr Chan, petua itu bukanlah cara untuk mencegah lipas secara keseluruhannya.

“Meletakkan daun pandan segar bukanlah huraiannya. Lipas mungkin mengelak daripada mendekati daun pandan tetapi ia tidak akan mati. Lebih-lebih lagi jika daunnya sudah kering, ia boleh menjadi sumber makanan bagi lipas dan serangga lain,” kata Dr Chan seperti yang dipetik dari laman Rentokil.

Jika perlu menggunakan daun pandan, pastikan ia daun yang segar dan gantikan dengan yang segar apabila sahaja ia kering.

2. Lemon dan Minyak Pudina

Satu lagi cara selamat untuk mencegah serangga memasuki kereta dan membuatkan anda menjerit ketakukan adalah dengan menggunakan kepingan kulit buah lemon dan juga minyak pudina atau ‘peppermint’.

Lipas dan serangga-serangga lain gemar bersembunyi di tempat yang gelap dan dalam sekitaran yang hangat serta lembab. Oleh itu, cuba mengelap ceruk-ceruk di bawah bahagian bonet atau but kereta sehingga kering setiap kali selepas hujan atau mencuci kereta. Ini termasuk cermin pada sisi kereta.

Setelah itu anda boleh menyapu minyak pudina di keliling cermin sisi kereta untuk mencegah lipas atau labah-labah daripada memasuki kereta melaluinya dan bertelur atau bersarang di dalamnya, menurut perkongsian di laman YouTube Galmatic.

Kepingan kulit buah lemon pula boleh diselitkan pada saluran penghawa dingin. Ia bukan setakat menghalau serangga malah kereta anda juga akan berbau harum!

3. Guna Hirisan Sabun Buku

Satu lagi cara yang mewujudkan bau harum sekali gus mampu menghalau lipas adalah dengan menggunakan hirisan sabun. Lipas bernafas pada bahagian perutnya dan ia tidak menggemari bau-bauan yang kuat.

Caranya mudah sahaja. Ambil sebuku sabun, lebih baik jika anda gunakan sabun yang kuat baunya. Potong sabun kepada saiz yang agak kecil dan taburkannya di sudut di mana terdapat lipas, lapor laman Feedsss.

4. Jangan Makan Dalam Kereta

Apabila anda atau penumpang anda makan di dalam kereta, sedikit sebanyak pasti serbuknya akan bertaburan dan terjatuh ke lantai. Ini meskipun anda makan dengan cermat. Jika ia tidak segera divakum, ini akan membantu lipas untuk terus hidup dan membiak dalam kereta.

Pemilik kereta mesti meletakkan tanda perintah No Food di dalam kereta. Langkah itu mungkin sukar memandangkan ramai orang memilih untuk makan di dalam kereta untuk menjimatkan masa disebabkan jadual yang padat.

Laman Never Pest menasihatkan agar anda mencuba sedaya-upaya untuk makan sebelum menaiki kereta. Sekiranya terpaksa makan di dalam kereta, pastikan sampah dan serbuk makanan segera dibersihkan.