Motivasi Dalam Pembelajaran


Pembelajaran dalam dunia siber yang berkembang pesat merupakan cabaran yang sangat besar kepada murid sekolah dan juga pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) pada masa kini. Tarikan media sosial yang semakin menular mengakibatkan mereka akan terus leka dalam dunia sendiri. Maka, seharusnya murid dan pelajar mengetahui kepentingan motivasi dalam pembelajaran. Ini kerana kecemerlangan proses pembelajaran akan dipengaruhi oleh faktor intelektual dan non-intelektual.

Daniel Goleman (2004) mendapati bahawa kecerdasan intelektual akan menyumbangkan 20 peratus kejayaan dan baki sebanyak 80 peratus kejayaan akan disumbangkan oleh kecerdasan emosi. Kecerdasan emosi ini merangkumi memotivasikan diri, pengawalan emosi diri, kemampuan berkomunikasi dengan baik dan kemampuan berkerjasama. Ini menjelaskan bahawa, untuk menggapai kejayaan, kecerdikan merupakan satu faktor tetapi faktor emosi juga harus dilihat dengan lebih serius.

Ini juga boleh dilihat dengan pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) iaitu:

"....melahirkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."

Sememangnya penting Kepentingan Kecerdasan emosi dalam pembelajaran. Melahirkan murid sekolah dan seterusnya pelajar atau penuntut IPT yang berjaya dalam akademik serta sahsiah diri yang sejati serta mempunyai motivasi yang kuat untuk berjaya, pastinya akan menghasilkan modal insan atau tenaga kerja yang cemerlang untuk ibu pertiwi.

Secara analogi, seorang murid atau pelajar yang bermotivasi untuk berjaya, akan memastikan segala usaha dan tenaga mereka bergerak ke arah kejayaan. Manakala yang kurang bermotivasi akan lemah dan layu untuk mencari peluang serta ruang untuk berjaya. Seterusnya, akan terus menggunakan alasan demi alasan dalam setiap langkah yang mereka lalui.

Ini disokong oleh Mc. Donald (1992) iaitu motivasi adalah perubahan tenaga yang dapat diukur atau dinilai dengan tindakan afektif dan reaksi dalam menggapai tujuan yang ditetapkan. Justeru, perubahan tenaga melalui tindakan yang afektif serta positif pastinya akan mendatangkan kejayaan. Contohnya, seorang murid atau pelajar yang inginkan kejayaan, akan mengubah kitaran hidupnya jika dia ingin berjaya melalui pengurangan aktiviti yang tidak berfaedah, pengurangan capai talian internet media sosial, pertambahan usaha dalam pemahaman pembelajaran, berinteraksi secara positif dengan mewujudkan kumpulan pembelajaran sewaktu ulang kaji pelajaran.

Dengan demikian, murid atau pelajar boleh menggunakan pendekatan "Motivasi Kendiri TAHNIAH" iaitu Tujuan, Aspirasi, Hati ke hati, ‘Nah kau’, Informasi, Abang adik, dan Hadiah.

1 Tujuan

Penetapan tujuan atau matlamat adalah amat penting dalam memotivasikan diri sendiri kerana tanpa tujuan dan matlamat, kita mungkin sesat ataupun tergapai-gapai dalam kegelapan. Kelazimannya, kita sering berbicara mengenai organisasi yang bergerak tanpa tujuan, matlamat dan ketua, akan hilang arah tuju seperti kapal yang berlayar tanpa nakhoda.

Oleh itu, tujuan juga boleh diguna pakai dalam diri semua murid mahupun pelajar supaya berjaya dalam pembelajaran dan kehidupan. Secara dasarnya, bila penetapan tujuan ingin mencapai 10 A, kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan 10 A tersebut. Segala tindak-tanduk kita akan berkisahkan kepada ingin mendapatkan 10 A. Insya-Allah, dengan izin-Nya, kita pasti mencapai tujuan dan matlamat kita setelah berusaha bersungguh-sungguh.

2 Aspirasi

Setiap murid dan pelajar seharusnya meletakkan aspirasi untuk pembangunan diri sendiri iaitu ingin menjadi seperti idolanya dan apakah yang ingin dicapai. Ini kerana dengan penetapan aspirasi, secara langsung akan menyebabkan kita akan mengkaji apa yang dilakukan oleh individu yang kita idolakan.

Sebagai contoh, untuk menjadi pemain bola yang hebat seperti Christiano Ronaldo, kita harus mencontohi apa yang dilakukan oleh beliau iaitu akan membuat latihan sendiri dua jam awal dari masa latihan yang ditetapkan oleh jurulatih. Inilah ciri-ciri yang perlu kita terapkan di dalam diri untuk menjadi seorang yang berjaya dalam setiap lapangan yang kita ceburi.

3 Hati ke Hati

Langkah motivasi kendiri ini merujuk kepada khidmat nasihat sama ada daripada rakan sebaya yang membina, guru yang paling rapat, ibu atau bapa yang mudah untuk kita berbicara. Kita seharusnya sentiasa menerapkan budaya bertanya, memohon pendapat, melihat dari perspektif yang berbeza. Sekiranya, kita hanya berada dalam dunia kita sendiri, maka ia akan menjurus kepada pemikiran yang sempit lagi terhad.

Pepatah Melayu menekankan perkara ini iaitu malu bertanya, sesat jalan. Jadi, berubahlah kita kepada individu yang tidak malu atau segan kepada perkara yang sepatutnya. Bertanyalah kita dengan penuh hikmah dan rendah diri. Nescaya, ramai pihak yang akan membantu kita. Bukalah hati kita untuk menerima kritikan dan pandangan orang lain, agar kita akan menjadi individu yang hebat.

4 "Nah Kau"

Langkah ini merujuk kepada hukuman terhadap diri sendiri. Apabila kita menetapkan tujuan dalam menggapai sesuatu, maka seharusnya segala usaha dan tindakan kita akan bergerak ke arah tujuan tersebut. Sekiranya, tindakan kita itu tersimpang, maka kita harus muhasabah diri bagi memastikan kita kekal berada di jalan yang betul.

Contohnya, kita menetapkan waktu ulang kaji pelajaran pada waktu malam ialah 1 jam 30 minit dengan waktu rehat lima minit setiap 30 minit, tetapi kita telah berehat lebih lama daripada masa yang diperuntukkan kerana kita sibuk membaca status kawan-kawan di laman sosial Instagram dan Facebook.

Namun harus diingat bahawa hukuman untuk diri sendiri mestilah tidak memudaratkan diri kita sendiri dan tidak terkeluar daripada landasan agama.

5 Informasi

Kemudahan teknologi zaman ini amat berguna sekiranya kita menggunakannya dengan cara yang betul. Pengwujudan pelbagai platform carian di alam siber sangat membantu.

Pencarian maksud perkataan yang kita kurang pasti akan dapat dilakukan dengan cepat melalui capaian pencarian daripada kamus on-line. Penggunaan youtube juga amat digalakkan untuk melihat video uji kaji dalam mata pelajaran sains ataupun video motivasi kejayaan yang setiap hari dimuat turun oleh pakar-pakar motivasi dunia.

6 Abang adik

Faktor abang adik atau kakak adik amat berguna dalam meningkatkan motivasi kendiri kerana ia akan menjadi penanda aras yang bagus untuk kita dalam mencapai kejayaan. Apabila kita menjadi abang atau kakak, kita seharusnya menjadi contoh terbaik untuk adik-adik. Kita juga akan menjadi tempat rujukan dan tempat untuk mereka meluahkan perasaan.

Manakala, jika dilihat dari perspektif kita sebagai adik, kita seharusnya menanam tujuan untuk menjadi lebih bagus daripada abang atau kakak kita. Contohnya, abang kita telah berjaya sebagai seorang doktor perubatan, maka kita harus menetapkan tujuan untuk menjadi pakar perubatan sekiranya kita juga minat dalam bidang perubatan. Ini adalah persaingan yang sihat yang harus kita sentiasa amalkan.

7 Hadiah

Faktor motivasi kendiri yang berbentuk hadiah ini amat penting untuk sentiasa memastikan kita akan sentiasa bermotivasi. Sekiranya, penetapan tujuan kita itu telah dicapai, seharusnya kita menghadiahkan sesuatu untuk diri kita sendiri, mengikut kemampuan diri.

Contohnya, kita ingin mencapai 10 A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sekiranya, ia tercapai, kita harus memikirkan hadiah yang wajar untuk kita hadiahkan buat diri sendiri, seperti basikal baharu mahupun makan di restoran yang kita amat gemari. Mungkin nampak remeh tetapi ia akan memastikan kita sentiasa bermotivasi. Akan terdetik di hati kita bahawa, berbaloi usaha yang aku curahkan dalam mencapai tujuan aku ini.

"Setiap tindakan kita seharusnya dimulakan dengan tujuan sebagai petunjuk untuk mencapai tujuan kita itu. Seterusnya, setiap tindakan dan usaha kita, seharusnya dilakukan dengan sepenuh hati agar ia berlaku sebagaimana yang kita impikan."

Pengakhirannya, hadiahkan sesuatu untuk diri kita sendiri sebagai balasan terhadap usaha kita supaya kita terus bermotivasi. Semoga artikel ini akan membantu murid dan pelajar untuk terus berjaya dalam segala yang diimpikan. Doa saya dari Widad College akan sentiasa bersama semua murid di bangku sekolah hinggalah kepada semua pelajar IPT. Sekiranya anda ingin melihat aktiviti yang telah kami lakukan di Widad College, silalah berkunjung ke laman web kami di www.widad.edu.my/college.


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan